Categories
AGENDA SUKANKINI

Perangsang Selangor peruntuk RM100,000 lahir pemain badminton orang pekak

KUALA LUMPUR, 25 NOV: Kumpulan Perangsang Selangor (Perangsang Selangor) memperuntukkan RM100,000 untuk Program Pembangunan Bakat Badminton bagi Orang Pekak dalam usaha melahirkan pemain terbaik daripada golongan tersebut.

Pengarah Bersekutu, Perhubungan Pelabur dan Komunikasi Strategik Perangsang Selangor Mohd Fauzi Mohd Ghazali berkata program yang dimulakan sejak 2014 itu merupakan salah satu daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) kumpulan itu.

Katanya, prihatin terhadap golongan tersebut, justeru Perangsang Selangor menyediakan platform khas melalui program itu bagi mencungkil bakat dan potensi mereka, sekali gus bertujuan melahirkan atlet negara.

“Melalui program ini, kita menyediakan pelbagai latihan yang bersesuaian dan lengkap di samping memantapkan kemahiran mereka dalam sukan badminton untuk mewakili Malaysia ke Deaflympics.

“Atlet pekak yang telah kita (Perangsang Selangor) kenal pasti untuk mewakili negara adalah Boon Wei Ying dan Muhammad Shafiq Hassan, kedua-dua mereka ini sangat berbakat dan pernah memenangi beberapa pertandingan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama ketika menyaksikan sesi latihan atlet pekak bagi program pembangunan bakat badminton itu di BSC Clubhouse, Bandar Sri Coalfields di sini, hari ini.

Sementara itu, jurulatih program tersebut Jason Wong berkata kedua-dua atlet itu sememangnya menunjukkan prestasi dan komitmen sangat baik untuk berjaya dalam sukan itu.

“Justeru, sebagai jurulatih mereka, saya akan memastikan rutin latihan berjalan dengan lancar sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan mengikut tatacara operasi piawai (SOP).

“Tidak dinafikan banyak pertandingan terpaksa ditangguhkan akibat pandemik Covid-19 namun kita tetap membuat persediaan yang mencukupi kepada para atlet untuk menyertai Sukan Orang Pekak Asean dan Sukan Orang Pekak Asia Pasifik tahun hadapan,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR SUKANKINI

Atlet sukan orang pekak terus bangkit

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 6 JAN: Pengalaman membimbing skuad bola sepak orang pekak Malaysia memberikan kenangan manis buat bekas pemain Selangor, Azlan Johar walaupun terpaksa memberikan sepenuh perhatian kepada mereka.

azlan-joharKatanya, walaupun ada kala menguji kesabaran belia, namun komitmen yang diberikan sangat dikagumi.

“Saya terpaksa memberikan penerangan dan demonstrasi berulang kali serta penjelasan yang panjang dalam mengurukan pasukan orang pekak.

“Saya mengagumi cara mereka menghormati walaupun satu ketika dahulu tidak diberikan pendedahan luas,” katanya.

Menyingkap pengalaman beliau dalam satu temuramah esklusif bersama SelangorKini bagi membincangkan perkembangan semasa bola sepak tempatan, Azlan berkata, nasib orang pekak dalam arena sukan tanah air mula diberikan perhatian Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negeri (MSN).

Selaku Naib Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Selangor, beliau pernah membimbing skuad bola sepak orang pekak kebangsaan pada 2015 pada kejohanan Sukan Bola Sepak Oceania.

Kejayaan itu menyaksikan pasukan kebangsaan bakal beraksi dalam Sukan Bola Sepak Asia Orang Pekak 2017 yang bakal berlangsung di Hokkaido, Jepun.

-NFN-

Categories
SUKANKINI

114 peserta seluruh negara sertai Futsal Orang Pekak Selangor

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 25 OGOS: Penganjuran Pertandingan Futsal Orang Pekak Selangor, baru-baru ini mendapat sambutan yang menggalakkan dari 114 peserta seluruh Malaysia.

msnPertandingan itu membabitkan 22 pasukan antaranya Pulau Pinang, Kelantan, Perak, Pahang, negeri Sembilan dan Kuala Lumpur.

Timbalan Pengarah Bahagian Pembangunan Belia MSNS, Mohd Najwan Halimi, berkata kejohanan itu adalah inisiatif MSNS melalui Bahagian Pembangunan Belia dan Persatuan Orang Pekak Selangor (POPS) untuk menyambut hasrat Kerajaan Negeri dalam merancakkan pembangunan sukan di setiap daerah.

Katanya, ia selaras dengan Dasar Pembangunan Belia (DBS) yang merangkumi 10 bidang keutamaan dan antara teras tersebut adalah ‘Sukan dan Kecergasan’.

“Kerajaan Negeri komited untuk terus memartabatkan pembangunan sukan di pelusuk daerah,” katanya di Majlis Perasmian Penutup pertandingan futsal itu, di sini, baru-baru ini.

Hadir sama, bekas Rektor UiTM Shah Alam, Prof Dato’ Dr Mansor Salleh yang juga penasihat POPS.

Ia dianjurkan Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) bersama POPS bertempat di Perindu Futsal Court UiTM Shah Alam, pada 13 dan 14 Ogos lalu.

-NFN-