Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Denda maksimum RM100,000, penjara 3 tahun untuk berita palsu Covid-19, darurat

KUALA LUMPUR, 12 MAC: Mana-mana individu mencipta, menerbit atau menyebarkan berita tidak benar berhubung Covid-19 atau proklamasi darurat boleh berdepan dengan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-dua sekali, mulai 12 Mac.

Bagi kesalahan yang berterusan pula, denda yang dikenakan tidak lebih RM1,000 bagi setiap hari selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan.

Ini berikutan kerajaan telah mewartakan Ordinan Darurat Kuasa-kuasa Perlu (No.2) 2021, yang berkuat kuasa 12 Mac, menurut Warta Kerajaan Persekutuan yang disiarkan oleh Jabatan Peguam Negara pada 11 Mac.

Ordinan tersebut dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong menurut Fasal (2B) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

Menurut tafsiran Ordinan tersebut, ‘berita tidak benar’ termasukah apa-apa berita, maklumat, data dan laporan keseluruhan atau sebahagiannya palsu yang berhubungan dengan Covid-19 atau proklamasi darurat sama ada dalam bentuk rencana, visual atau rakaman audio atau dalam apa-apa bentuk lain yang boleh menggambarkan perkataan atau idea.

Ordinan itu menetapkan mana-mana orang melalui apa-apa cara, dengan niat untuk menyebabkan atau berkemungkinan menyebabkan ketakutan atau kebimbangan kepada orang awam dengan mengadakan, menawar, menerbitkan, mencetak, mengedar, mengelilingkan atau menyebarkan apa-apa berita tidak benar atau penerbitan tidak benar boleh diambil tindakan.

Selain itu, mana-mana orang yang secara langsung atau tidak langsung, menyediakan atau menjadikan tersedia bantuan kewangan dengan niat supaya bantuan kewangan itu digunakan atau mengetahui atau mempunyai alasan yang munasabah untuk mempercayai bahawa bantuan kewangan itu digunakan bagi maksud melakukan atau memudahkan pelakuan kesalahan di bawah seksyen tersebut, melakukan suatu kesalahan.

Ia memperuntukan denda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan maksimum enam tahun atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah juga boleh memerintahkan orang yang disabitkan kesalahan di bawah subseksyen itu untuk membuat permohonan maaf kepada orang yang terjejas dan jika tidak mematuhi perintah, boleh disabitkan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya.

Mereka yang yang mempunyai dalam milikan atau kawalannya apa-apa penerbitan mengandungi berita tidak benar untuk menghapuskan penerbitan itu dalam masa 24 jam dari masa arahan diberikan oleh seorang pegawai polis atau pegawai diberi kuasa.

Kegagalan berbuat demikan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 dan didenda selanjutnya tidak melebihi RM3,000 bagi tiap-tiap hari selama kesalahan berterusan selepas sabitan.

Mana-mana orang yang terjejas oleh arahan penghapusan penerbitan oleh pegawai polis atau pegawai diberi kuasa boleh memohon kepada Mahkamah Tinggi untuk menyemak arahan itu.

Di bawah penguatkuasaan, tiap-tiap kesalahan di bawah Ordinan ini adalah ‘kesalahan boleh tangkap’ dan seseorang pegawai polis atau pegawai diberi kuasa boleh menangkap mana-mana orang yang dipercayai dengan munasabah melakukan atau cuba melakukan kesalahan di bawah Ordinan itu.

Polis atau pegawai juga diberi kuasa menjalankan penggeledahan, juga diberikan capaian kepada data berkomputer sama ada disimpan dalam satu komputer atau selainnya.

Capaian itu termasuklah kata laluan, kod penyahsulitan, perisian atau perkakasan yang perlu.

“Mana-mana orang yang tidak mematuhi permintaan pegawai polis atau pegawai diberi kuasa, melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya,” menurut Ordinan itu.

Ia juga menyatakan tiada tindakan, guaman, pendakwaan atau apa-apa prosiding lain boleh diambil atau dibawa, dimulakan atau dikekalkan dalam mana-mana mahkamah terhadap kerajaan Malaysia atau mana-mana pegawai polis atau pegawai diberi kuasa berkenaan apa-apa perbuatan, pengabaian atau keingkaran yang dibuat atau ditinggalkan dengan suci hati dalam melaksanakan peruntukan Ordinan ini.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 diwartakan 14 Januari

KUALA LUMPUR, 15 JAN: Kerajaan mewartakan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 yang berkuat kuasa mulai 11 Jan 2021 sebagai langkah proaktif membendung wabak Covid-19 di Malaysia.

Ordinan setebal 12 muka surat yang mengandungi 18 perkara itu dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Abdulaziz di Indera Mahkota, Kuantan semalam (14 Jan).

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, ordinan itu antara lain memperuntukan penubuhan sebuah Jawatankuasa Khas Bebas untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai kewujudan berterusan darurat besar yang mengancam keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam dalam persekutuan berikutan pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, tiada perincian dinyatakan berhubung jawatankuasa itu termasuk keahliannya.

Selain itu, juga dijelaskan peruntukan ordinan berkenaan mengatasi peruntukan undang-undang bertulis yang lain sekiranya terdapat sebarang percanggahan atau ketidakselarasan di antara peruntukan ordinan dengan mana-mana undang-undang bertulis lain.

Ordinan itu juga memperuntukkan kuasa tambahan kepada angkatan tentera yang mana segala kuasa polis di bawah Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) kini turut diberikan kepada anggota tentera.

Berhubung kuasa eksekutif dan perundangan pula, perdana menteri dan jemaah menteri hendaklah terus menjalankan kuasa eksekutif persekutuan dan diberikan kuasa membuat undang-undang subsidiari, manakala menteri besar atau ketua menteri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri meneruskan kuasa eksekutif dan membuat undang-undang di peringkat negeri.

Pilihan raya umum, pilihan raya negeri dan pilihan raya kecil serta persidangan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri juga tidak akan diadakan sepanjang tempoh darurat dilaksanakan.

Bagi memerangi wabak Covid-19, dalam tempoh darurat berkuat kuasa, Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana individu yang diberi kuasa oleh Seri Paduka boleh melantik seseorang untuk mengeluarkan arahan bagi rawatan, imunisasi, pengasingan, pemerhatian atau pengawasan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Selain itu, tiada tindakan guaman, pendakwaan atau apa-apa prosiding lain boleh diambil terhadap kerajaan atau penjawat awam yang melaksanakan tugas untuk mencegah dan membendung penularan pandemik Covid-19.

Ordinan itu juga menggariskan menjadi kesalahan bagi mana-mana individu yang gagal mematuhi arahan atau tatacara operasi piawai (SOP) dalam usaha membendung penularan Covid-19.

Selain itu, ordinan itu juga membolehkan milikan sementara mana-mana tanah, bangunan, harta alih serta apa-apa sumber termasuk sumber manusia, kemudahan dan aset yang dianggap perlu demi kepentingan negara dengan pihak yang ingkar dengan arahan Yang di-Pertuan Agong dalam hal ini boleh didenda hingga RM5 juta dan penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya,

Perincian ordinan itu boleh diakses menerusi portal rasmi Jabatan Peguam Negara di http://www.federalgazette.agc.gov.my.

Istana Negara pada Selasa (12 Jan) telah mengeluarkan kenyataan bahawa Al-Sultan Abdullah telah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan hingga 1 Ogos 2021 sebagai langkah proaktif membendung wabak Covid-19.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pengumuman khas darurat pada hari sama menjelaskan bahawa jemaah menteri telah menasihati Yang di-Pertuan Agong mengeluarkan proklamasi darurat bagi seluruh negara menurut Perkara 150(1) Perlembagaan Persekutuan, berkuat kuasa 11 Jan 2021 hingga 1 Ogos 2021.

Perkara 150(1) itu antara lainnya memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh mengisytiharkan darurat jika baginda berpuas hati suatu darurat besar sedang berlaku menyebabkan keselamatan atau kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam dalam persekutuan sedang terancam.

Ancaman pandemik Covid-19 kini menjadi ancaman besar terhadap kehidupan ekonomi rakyat di negara ini.

– BERNAMA