Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

RM430,000 bantu 1,072 penerima Blueprint Pembasmian Kemiskinan

SHAH ALAM, 29 JUN: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM430,000 kepada 1,072 penerima bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan yang terjejas akibat Covid-19.

EXCO Kerajaan Prihatin berkata bantuan menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin 2.0 itu membolehkan penerima mendapat RM400 seorang yang diserahkan kepada wakil setiap Pejabat Daerah Tanah.

“Saya kira di dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini, bantuan RM400 sedikit sebanyak dapat dijadikan modal untuk memulakan kembali perniagaan.

“Namun, Kerajaan Negeri sentiasa menekankan agar penerima mematuhi garis panduan ditetapkan Kementerian Kesihatan, Majlis Keselamatan Negara mahupun pihak berkuasa tempatan,” kata V Ganabatirau ketika majlis penyerahan cek cura di Bilik Mesyuarat Kekwa, Bangunan SUK Selangor.

V. Ganabatirau meluangkan masa berbual bersama penerima pada sesi penyerahan Program Kewangan Bantuan Khas kepada Penerima Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan di Bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin Fasa 2 Tahun 2020 di Bangunan SUK, Shah Alam pada 29 Jun 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Daerah Hulu Selangor menerima peruntukan tertinggi berjumlah RM80,400 diikuti Kuala Langat (RM57,200), Sepang (RM68,000) dan Sabak Bernam (RM67,600).

Selain itu Klang menerima RM44,000 diikuti Kuala Selangor (RM41,000), Hulu Langat (RM30,400), Gombak (RM22,800) dan Petaling (RM18,000).

Ganabatirau berkata majoriti penerima menjalankan perniagaan kecil-kecilan berasaskan makanan dengan pecahan kaum 954 Melayu, 78 India dan 40 Cina.

Beliau menjelaskan sejumlah RM400.28 juta diperuntukkan dalam Pakej Rangsangan Selangor Prihatin bagi membantu rakyat susulan pandemik.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Covid-19: Wakil rakyat kerajaan, pembangkang sambut baik tambahan RM30,000

SHAH ALAM, 2 APRIL: Ahli Dewan Negeri (ADN) kerajaan dan pembangkang menyambut baik tambahan RM30,000 yang diumumkan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin 2.0, semalam.

ADN Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri berkata peruntukan kali kedua memudahkan wakil rakyat mengagihkan bantuan kepada golongan terjejas susulan penularan Covid-19.

“Ramai yang bergaji harian kini terjejas pendapatan mereka kerana tidak dapat bekerja dan berniaga, maka golongan yang perlu dibantu semakin bertambah,” katanya.

ADN Kota Anggerik Mohd Najwan Halimi pula menyifatkan peruntukan tambahan itu satu keperluan kepada mereka dalam melancarkan gerak kerja membantu rakyat.

“Kami boleh menggunakannya untuk menyalurkan bantuan dengan segera ketika saat-saat getir seperti ini,” katanya.

Ketua Pembangkang Rizam Ismail turut menyambut baik perkara tersebut, namun mahu Kerajaan Negeri melancarkan prosedur dan memastikan ia dinikmati semua wakil rakyat.

“Inilah masa kita bersolidariti tanpa mengira fahaman politik kerana tujuan akhirnya untuk memastikan nasib rakyat terjamin,” katanya yang turut menyokong pemotongan gaji ADN untuk disalurkan ke Tabung Covid-19 Selangor.

Semalam, Dato’ Menteri Besar Dato’Seri Amirudin Shari mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin fasa kedua bagi menangani dampak Covid-19 berjumlah RM272.5 juta.