Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PKPD Pangsapuri Damai tamat tengah malam ini, seminggu lebih awal

SHAH ALAM, 25 JULAI: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pangsapuri Damai PJS8, Damansara ditamatkan tengah malam ini, lebih awal daripada yang dijadualkan.

Kenyataan timbalan perdana menteri menunjukkan kawasan terbabit satu-satunya lokaliti yang tamat kawalan ketat seminggu awal berbanding tempoh asal pada 31 Julai.

Sementara PKPD di beberapa lokaliti lain sekitar Sabah tamat esok mengikut jadual.

“Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara setelah meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan Malaysia mengenai situasi semasa bersetuju untuk menamatkan PKPD di lokaliti tersebut,” kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Pada 16 Julai, kerajaan mengumumkan empat kawasan dalam empat daerah di Selangor dikenakan PKPD selama dua minggu mulai 18 Julai.

Kawasan tersebut ialah Pangsapuri Damai, mukim Damansara, Jalan Pandan Indah, mukim Ampang, Jalan Batu Nilam, mukim Klang dan Taman Samudera, mukim Batu.

Petang tadi, Pegawai Daerah Petaling Datuk Johary Anuar berkata seramai 1,279 penduduk pangsapuri berkenaan selesai menerima vaksin yang dimulakan sejak kelmarin.