Categories
NASIONAL

Banjir: PANTAS siap sedia digerak ke Sarawak

SHAH ALAM 21 FEB: Pertubuhan Misi Bantuan Kemanusiaan Selangor (PANTAS) mengarahkan anggotanya bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan digerakkan ke Saraak ekoran banjir semakin kritikal.

Pengerusi PANTAS, Hamsah Djabir, berkata arahan 24 jam siap sedia itu bagi kelangsungan khidmat kemanusiaan di sana.

Banjir SarawakKatanya, mesyuarat penyelarasan dalam masa terdekat ini bagi mempersiapkan anggota PANTAS bertugas secara berperingkat mengikut keadaan semasa.

“Diharap anggota Pantas dan sukarelawan dapat memberikan nama yang boleh menabur bakti secara langsung bagi misi kemanusiaan ini,” katanya dalam kenyataan media.

Sementara itu, hujan lebat sekali-sekala di beberapa tempat sekitar Sarawak sepanjang malam tadi mengakibatkan keadaan banjir sejak semalam berlarutan dan sehingga pagi ini.

Jumlah mangsa yang berada di pusat pemindahan melonjak kepada 2,869 orang, berbanding 486 malam tadi.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Sarawak, Siti Huzaimah Ibrahim berkata sebanyak 22 pusat pemindahan banjir dibuka pagi ini bagi menempatkan 2,869 mangsa daripada 779 keluarga itu.

Beliau berkata selain beberapa tempat di bahagian Kuching dan Serian, pagi ini turut menyaksikan satu lagi tempat di bahagian Samarahan terjejas akibat banjir.

Katanya setakat ini, lapan pusat pemindahan dibuka di kawasan sekitar daerah Kuching dan sembilan di daerah Bau, manakala dua di daerah Serian dan satu di Padawan.

Beliau yang dihubungi BERNAMA pagi ini memberitahu di bahagian Samarahan pula, satu pusat pemindahan banjir dibuka di Masjid Darul Ibadah, yang terletak di daerah Kota Samarahan, dan menempatkan 68 mangsa daripada 13 keluarga.

Menurutnya di kebanyakan tempat, air sungai kekal tinggi sebagaimana semalam.

EZY

Categories
SELANGOR

PANTAS MBSA siap siaga hadapi banjir

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 24 NOV: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) melalui Pasukan Tindakan Segera Selangor (PANTAS) bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir di kawasan pentadbirannya.

Datuk Bandarnya, Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad, berkata kekerapan hujan yang berlaku ketika ini memungkinan banjir berlaku di beberapa kawasan.

“PANTAS diarahkan bersiap sedia untuk membantu agensi keselamatan lain dalam mengendalikan mangsa banjir dan kes kecemasan yang lain.

IMG_9176“PANTAS bersedia sedia melaksanakan tugas mereka. Sekiranya banjir berlaku, kita akan memindahkan penduduk ke Dewan MBSA yang berhampiran dengan mereka,” katanya.

Minggu lalu, beberapa kawasan di sini mengalami banjir kilat buat kali kedua sejak semalam akibat hujan lebat, terutamanya di kawasan Seksyen 9 dan 13.

Banjir kilat menyebabkan Plaza Tol Shah Alam ditenggelami air menyebabkan laluan dari Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) dan Lebuhraya Guthrie (GCE) ditutup.

Gambar di laman sosial menunjukkan air membanjiri jalan sekitar Persiaran Akuatik dan pusat beli belah AEON D’Kayangan yang hampir siap, sehingga beberapa kereta sedikit tenggelam.

EZY

Categories
SELANGOR

Mangsa gempa bumi terharu kepantasan bantuan Selangor

Oleh: NAZLI IBRAHIM

RANAU, 15 JUN: Penduduk terjejas akibat gempa bumi yang berlaku 5 Jun lalu terharu apabila Selangor terlebih dahulu menghulurkan bantuan kepada mereka berbanding Kerajaan Sabah.

Mangsa gempa bumi di Kampung Poring berkata, sikap prihatin Kerajaan Selangor itu mampu mengurangkan bebanan akibat kerugian kesan bencana alam itu.

SABAHSumbangan kepada penduduk kg poring (8)“Selepas beberapa hari gempa bumi dah ada wakil Kerajaan Selangor datang kampung ini memeriksa kerosakan rumah penduduk untuk diberikan bantuan.

“Hari ini bantuan dah pun dapat dan ini amat bermakna kepada kami sekeluarga kerana sikap prihatin Kerajaan Selangor yang sanggup membantu walaupun jauh,” kata Hafizah Suman Abdullah, 41, yang rumahnya mengalami kerosakan rumah akibat gegaran kuat semasa gempa bumi itu berlaku.

Peniaga kraftangan, Juida Liman, 36, pula berharap bantuan dihulurkan itu sedikit sebanyak dapat menanggung kerugian perniagaannya akibat kemerosotan pengunjung di Poring Hot Spring di sini.

“Diharap selepas ini Kerajaan Sabah dan juga Persekutuan pula tampil memberikan bantuan kepada kami kerana Kerajaan Selangor yang jauh pun boleh bantu,” kata beliau kepada Selangor Kini.

jovini limanaSeorang lagi peniaga kraftangan di kawasan peranginan sama, Jovini Liman,32, pula tidak menyangka menerima bantuan pertama selepas kejadian gempa bumi dari Kerajaan Selangor.

“Tak sangka pula orang Selangor pula yang datang membantu. Tidak banyak tetapi membantu. Saya harap Kerajaan Sabah turunkan bantuan secepat mungkin kepada keluarga memerlukan,” kata beliau pula.

Terdahulu, pertubuhan Bantuan Kemanusiaan Selangor (PANTAS) di bawah Exco Kebajikan negeri itu menghantar pasukan bagi mengenal pasti dan menilai kerugian mangsa bencana sebaik sahaja berlaku gempa bumi itu.

Pasukan itu kemudiannya menghantar laporan terus kepada Kerajaan Selangor sebelum bantuan dapat disalurkan kepada mangsa terlibat secara terus tanpa melibatkan orang tengah.

EZY

Categories
SELANGOR

Delegasi misi bantuan Selangor selamat tiba di Kota Kinabalu

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KOTA KINABALU, 13 JUN: Delegasi Kerajaan Selangor yang diketuai Exco Kesihatan, Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Dr Daroyah Alwi selamat mendarat di Lapangan Terbang Kota Kinabalu kira-kira jam 8.15 malam tadi.

Delegasi seramai tujuh orang itu dijangka akan menyampaikan sumbangan kepada keluarga Malim Gunung yang terkorban, masjid, gereja, peniaga dan penduduk terjejas.

Sumbangan turut diberikan kepada 95 Malim Gunung, Persatuan Malim Gunung dan pasukan walkie talkie yang beroperasi di Gunung Kinabalu.

Lawatan tiga hari itu juga melibatkan beberapa kampung terjejas, hospital dan rumah anak yatim.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Selangor kongsi kekayaan rentasi sempadan

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 13 JUN: Kerajaan Selangor konsisten membantu mangsa bencana alam dengan berkongsi sumber kekayaan negeri itu tanpa mengira sempadan, kata Exco Kesihatan, Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Dr Daroyah Alwi

Daroyah berkata, ia termasuk peruntukan RM150,000 yang diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk disalurkan kepada mangsa gempa bumi di Sabah, baru-baru ini.

Gempa Sabah“Kerajaan Selangor prihatin dan simpati dengan mangsa yang terkorban, menanggung kesusahan dan mengalami kerosakan harta benda akibat bencana itu. Ia turut menjejaskan beberapa kawasan di Sabah.

“Saya bersama Unit Bencana Negeri Selangor akan berlepas ke Kota Kinabalu petang ini dan dijadual menyampaikan sumbangan itu esok di beberapa lokasi yang ditetapkan seperti Ranau dan Kundasang.

“Pertubuhan Misi Bantuan Kemanusian Selangor (PANTAS) dikerah ke sana lebih awal untuk membantu mangsa dan mengenalpasti lokasi yang terjejas teruk dan memerlukan bantuan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Katanya, bantuan yang diletak di bawah portfolio beliau itu akan disalurkan terus kepada golongan yang layak dan memerlukan.

pc dr daroyah 2“Sehingga kini, kita mengenalpasti dan mempunyai maklumat beberapa organisasi, sekolah, rumah ibadat dan individu yang perlu dibantu dengan harapan dapat meringankan beban mereka,” katanya.

Pada 5 Jun lalu, gempa bumi berukuran 5.9 pada skala ritcher berpusat di 6.1 utara, 116.6 timur, kira-kira 16 Kilometer Barat Daya Ranau berlaku, pada jam 7.15 pagi.

Gegaran selama kira-kira 30 saat itu menyebabkan salah satu puncak di Gunung Kinabalu yang digelar Donkeys Ears pecah, sekali gus berlakunya runtuhan batu.

-NFN-

Categories
SELANGOR

PANTAS sedia digerakkan ke Sabah bantu mangsa gempa

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 7 JUN: Kerajaan Selangor bersedia menghantar Pertubuhan Misi Bantuan Kemanusian Selangor (PANTAS) ke Sabah bagi membantu mangsa bencana gempa bumi di sana.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita Dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata ketika ini pihak beliau sedang meneliti perkembangan mangsa di sana.

PANTAS“Setakat ini belum diputuskan sebab kita sedang melihat, meneliti apakah bentuk bantuan yang kita boleh bantu untuk turunkan ke sana.

“Kalau ada keperluan, saya akan mohon peruntuntukan dan kita akan hantar pasukan PANTAS ke Sabah untuk bantu mangsa. Pada masa ini pasukan PANTAS sentiasa bersedia,” kata Dr Daroyah ketika dihubungi Selangor Kini di sini, hari ini.

Kira-kira jam 7.15 pagi Jumaat lalu gempa bumi berlaku dengan kekuatan 6.0 pada skala Richter berpusat di 6.1 utara, 116.6 timur, kira-kira 16 kilometer di barat daya Ranau.

Gempa itu turut dirasai di sekitar Ranau, Tambunan, kawasan pedalaman dan pantai barat termasuk Tuaran, Kota Kinabalu, Beaufort dan Kota Belud.

Bernama melaporkan sehingga semalam, 11 mayat dijumpai di kawasan Gunung Kinabalu, menjadikan jumlah mangsa yang terkorban akibat bencana itu 13 orang manakala enam pendaki masih hilang.

EZY

Categories
SELANGOR

Pantas Selangor ke Sabah bantu mangsa kebakaran

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 13 MAC: Pertubuhan Misi Bantuan Kemanusian Selangor (Pantas) akan ke Tawau, Sabah, Sabtu (14 Mac) ini dalam misi kemanusiaan membantu mangsa kebakaran di sana.

Ketua Pengarah Pantas, Hamsah Djabir, berkata pihaknya akan bekerjasama dengan penyelaras PKR di Sabah dalam usaha membantu sebahagian besar mangsa yang terbabit dalam kejadian malang memusnahkan lebih kurang 80 rumah itu.

11070376_417729825069811_7758953388429973937_n“Atas dasar kemanusiaan, Pantas mengambil inisiatif untuk membantu sekadar yang mampu bagi mengurangkan bebanan mangsa.

“Berdasarkan maklumat diterima, kira-kira 71 ketua keluarga akan dibantu dalam misi ini dan kita akan melihat apa bentuk keperluan bagi bantuan itu,” katanya kepada SelangorKini di sini, hari ini.

Hamsah berkata, penyelaras PKR di Sabah akan menyalurkan segala maklumat diperlukan bagi tujuan itu ekoran tindakan awal sudah dibuat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sabah.

Katanya, rombongan Pantas dijangka berada di sana empat hari sehingga Isnin ini.

EZY

Categories
SELANGOR

Bantu mangsa banjir terburuk, pengalaman berharga Pantas

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 3 MAC: Terpilih menyertai misi bantuan banjir terburuk sejarah negara ke Pantai Timur pengalaman berharga Skuad Pasukan Tindakan Segera (Pantas) mengerti makna kemanusian dan persiapan menghadapi bencana di masa hadapan.

Anggota Pantas PBT, Norhisham Osman, 42, dari Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), berkata kesukaran ditempuh membantu mangsa banjir menyentuh hati dan ia menaikkan semangat anggota Pantas untuk terus membantu.

noorihisham oasman“Saya teruja apabila terpilih menyertai misi bantuan banjir melalui skuad Pantas. Ia satu pengalaman berharga yang sukar diperoleh demi meringankan bebanan mangsa yang ditimpa musibah berkenaan,” katanya kepada SelangorKini di sini, hari ini.

Norhisham adalah seorang anggota skuad Pantas diraikan dalam majlis perbarisan dan penghargaan skuad Pantas PBT Selangor yang terbabit dalam program misi bantuan banjir di Kelantan yang disempurnakan Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah.

Petugas Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Siti Mariam Muar, 27, juga sependapat dan berkata misi bantuan banjir disertai di Dabong, Kuala Krai, Manik Urai serta daerah lain begitu bermakna dan bersedia seandainya tenaga diperlukan untuk misi bantuan akan datang.

siti“Bila kita menyertai misi sebegini, yang penting kita membantu pihak memerlukan bantuan dan misi kemanusiaan ini penting serta wajar berterusan supaya membawa kebaikan kepada semua.

“Saya berbangga sekiranya terpilih lagi untuk misi bantuan seterusnya,” katanya.

Alzulkifli Annas, 36, dari Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), berkata pembabitan skuad Pantas PBT dalam misi bantuan banjir itu adalah kerjasama baik bagi membantu dan meringankan beban mangsa dalam insiden berkenaan.

alzulikflib annas“Misi bantuan seperti pembersihan, pemindahan mangsa ke tempat selamat dan lainnya amat membantu.

“Saya yakin semua anggota Pantas bersedia untuk terus berkhidmat dalam misi seterusnya,” katanya.

Categories
SELANGOR

Imej Pantas dimantap, peruntukan RM109,000 set seragam

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 3 MAC: Imej Pasukan Tindakan Segera (Pantas) Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dimantapkan dengan peruntukan sejumlah RM109,650 bagi pembelian set pakaian seragam anggota itu.

Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah, berkata ia memperkenalkan imej seragam Pantas sebagai pasukan siapsedia memberikan bantuan awal sekiranya menerima aduan kecemasan dan bencana alam.

06Sejak ditubuhkan pada 2013, katanya, Kerajaan Negeri melaksanakan kursus asas sebanyak lima siri pada tahun lalu bagi meningkatkan kecekapan dan pengetahuan anggota Pantas.

“Bagi tahun ini, Kerajaan Negeri bercadang melaksanakan kursus lanjutan dan bengkel penyeragaman prosedur operasi standard (SOP) bagi kerjasama antara PBT Selangor.

“Diharap skuad Pantas bersiap sedia pada bila-bila masa bagi menghadapi cuaca panas melampau atau fenomena Ekuinoks yang dijangka berlarutan sehingga April,” katanya.

08Hian Wah berkata demikian ketika ucapan di majlis perbarisan dan penghargaan kepada anggota skuas Pantas PBT Selangor yang terbabit dalam program misi bantuan banjir di Kelantan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, bagi menjayakan misi itu, PBT Selangor menghantar jentera pembersihan seperti lori RORO, ‘backhoe’, lori kitar semula dan kelengkapan seperti ‘water jet’, ‘generator set’ dan yang lain.

“Misi bantuan diselaraskan bersama Pejabat SUK Kelantan adalah meliputi daerah Gua Musang, Dabong, Tanah Merah, Kuala Krai, Demit, Machang, Kota Bharu dan Salor membabitkan 562 orang terdiri daripada pasukan Pantas dan sukarelawan PBT.

“Antara sumbangan lain diberikan PBT adalah dari segi kewangan, barangan keperluan, masa dan terpenting adalah tenaga anggota Pantas.

“Ini adalah nilai kemanusiaan dan ihsan yang baik dan patut diteruskan kepada negeri lain yang memerlukan bantuan akibat ditimpa musibah dan bencana alam,” katanya.

Dalam majlis itu, Hian Wah menyampaikan penghargaan RM5,000 kepada skuad Pantas setiap PBT Selangor sebagai tanda terima kasih Kerajaan Negeri.

EZY

Categories
SELANGOR

Pantas tukar gerak kerja harian, turun padang ke Kelantan setiap minggu

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 12 JAN: Pertubuhan Misi Bantuan Kemanusian Selangor (Pantas) menukar gerak kerja harian kepada mingguan bagi operasi pembersihan di Taman Orkid, Kuala Krai ekoran sesi persekolahan yang bermula hari ini.

Ketua Pengarah Pantas, Hamsah DJabir ketika dihubungi berkata, kerja pembersihan itu akan dibuat sehingga selesai kerana Taman Orkid adalah kawasan angkat pertubuhan berkenaan.

PANTAS“Memandangkan semua dah ada komitmen kerana anak kembali ke sekolah. Selepas ini, kita fokus membersihkan taman berkenaan pada hujung minggu iaitu hari Jumaat, Sabtu dan Ahad,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini.

Hamsah berkata, Pantas mempunyai 70 orang sukarelawan berdaftar dan akan dipecahkan kepada 30 orang untuk setiap misi bagi memudahkan pengurusan kerja.

Beliau berkata, Pantas sudah berada di Taman Orkid, sejak 9 Januari bagi misi bantuan pasca banjir sesi kedua yang berakhir, hari ini.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Pantas berterusan bantu mangsa banjir 5 negeri

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 4 JAN: Pertubuhan Misi Bantuan Kemanusiaan Selangor (Pantas) menyalurkan sumbangan dan membantu mangsa banjir berterusan di semua negeri yang dilanda musibah banjir.

Pengerusinya, Hamsah Djabir berkata, semua sumbangan berbentuk barangan keperluan, pakaian dan tenaga kerja disalurkan melalui saluran bantuan di setiap negeri dan diagih secara berperingkat berdasarkan keperluan semasa.

Katanya, Pantas menggerakkan bantuan di Pantai Timur ke Kelantan, Pahang, Terengganu, selain Perak dan Selangor..

PANTAS“Kini, kita tumpukan perhatian di Kuala Krai, Kelantan, yang mana hari ini dengan kerjasama Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), kita akan menggerakkan kira-kira 40 sukarelawan untuk tujuan pembersihan di kawasan awam.

“Kita turut bersama Exco Selangor, Dr Daroyah Alwi menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir di Kampung Guchil, Kuala Krai,” katanya kepada Selangor Kini, di sini, hari ini.

Selain itu, Hamsah berkata, Pantas dengan kerjasama Jawatankuasa Banjir Kerajaan Kelantan turut menubuhkan Pusat Operasi Banjir di Kuala Krai, Kelantan.

IMG-20141230-WA0006Katanya, Pantas tidak membuka pusat sama di negeri lain, namun bantuan terus disalurkan ke lokasi ditetapkan.

“Pantas menerima bantuan daripada pelbagai pihak dan NGO dari Selangor, Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan beberapa pihak lain yang memberikan bekalan barangan keperluan untuk diagihkan kepada mangsa banjir.

“Kita turut menbantu mereka yang menghadapi masalah kesihatan melalui pusat rawatan bergerak,” katanya.

Hamsah berkata, bekalan elektrik dan air di Kuala Krai kembali pulih hari ini dan memudahkan lagi kerja bantuan Pantas yang mula berkampung di lokasi berkenaan, sejak empat hari lalu.

-NFN-

Categories
SELANGOR

PANTAS ke Perak & Pantai Timur bantu mangsa banjir

SHAH ALAM 29 DIS: PANTAS pergi ke Perak dengan empat buah 4X4 dan sebuah lori tiga tan bagi menyampaikan sumbangan barang kepada mangsa banjir.

Pengerusinya, Hamsah Djabir berkata antara tempat ditinjau ialah pusat pemindahan mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Sungai Sayong, Kuala Kangsar dengan 351 mangsa banjir ditempatkan.

PANTAS“Kami mengedarkan barang sumbangan di pusat pemindahan dan kawasan berdekatan.

“Kami juga pergi mengedar barang sumbangan ke Pusat Pemindahan Mangsa Banjir di Lenggong yang menempatkan 93 mangsa banjir. Begitu juga sama di Gerik,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau merayu kepada para sukarelawan dan penyumbang untuk bekerjasama dengan bagi menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir.

“Kami juga telah melancarkan Misi Sukarelawan PANTAS untuk ke Pantai Timur. Sepasukan akan bertolak malam ini ke Terengganu. Pusat operasi induk di Terengganu dan Pahang sudah dikenal pasti,” katanya.

EZY