Categories
AGENDA NASIONAL

Nenek antara 17 individu ditahan sertai parti liar

KUALA LUMPUR, 4 SEPT: Seorang nenek kepada dua orang cucu berusia 54 tahun dan seorang remaja lelaki berumur 13 tahun antara 17 individu ditahan kerana disyaki sedang leka berpesta liar termasuk menghisap dadah di sebuah apartmen di Jalan Sultan Ismail, di sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur ACP Sahar Abd Latif berkata kesemua individu yang ditahan terdiri daripada sembilan wanita dan lapan lelaki tempatan berumur lingkungan 13 hingga 54 tahun.

Beliau berkata dalam serbuan itu, polis turut merampas pil ekstasi dan ketamin seberat 13.61 gram bernilai RM864 serta satu set kunci, kad akses premis dan sebuah pembesar suara.

“Selain itu, ujian saringan air kencing mendapati seramai empat lelaki dan empat wanita disahkan positif syabu dan ketamin,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Sahar berkata hasil siasatan awal mendapati bahawa penganjur parti liar adalah seorang wanita tempatan berumur 23 tahun bertujuan menyambut hari lahir.

Beliau berkata kesemua individu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk direman selama empat hari hingga Isnin depan.

Kesemua mereka turut dikompaun RM2,000 setiap seorang di bawah Peraturan 17(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) (Pelan Pemulihan Negara) (2) 2021.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

32 termasuk empat penjawat awam ditahan sertai parti liar

KUALA LUMPUR, 6 JUN: Empat penjawat awam antara 32 individu ditahan selepas disyaki terlibat dalam parti liar yang diadakan di sebuah hotel mewah di Jalan Pinang, di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata mereka yang ditahan dalam serbuan 2 pagi di dua bilik berasingan di hotel berkenaan terdiri daripada lapan warga asing dan 18 wanita berusia 20 hingga 50 tahun.

“Siasatan awal mendapati, seorang daripada penjawat awam itu adalah penganjur kegiatan berkenaan dan tempahan bilik juga dibuat olehnya dengan kadar sewa RM500 dan RM700 semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata polis membuka kertas siasatan bagi kes penjawat awam dan warga asing manakala 20 individu yang juga warga tempatan dikompaun sebanyak RM2,000 seorang.

Mohamad Zainal berkata kes disiasat di bawah Seksyen 21A Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) kerana gagal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dan Peraturan 17(1) Akta Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Perjangkit (PPPDPPB) (No 2) 2021 kerana melakukan aktiviti sosial dalam tempoh PKP.

Katanya, mereka akan dituduh di mahkamah setelah mendapat arahan daripada pihak Timbalan Pendakwa Raya.

– BERNAMA