Categories
AGENDA NASIONAL

Majikan dinasihat hantar pekerja terima vaksin ikut janji temu

KUALA LUMPUR, 29 JULAI: Polis menasihati majikan agar menghantar pekerja mereka terutama warga asing yang menerima suntikan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) mengikut waktu janji temu ditetapkan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata ini bagi mengelakkan kesesakan di kawasan PPV itu.

“Ramai pekerja warga asing dari Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan akan dihantar ke PPV KLCC… majikan dimohon tidak menghantar pekerja terlalu awal ke PPV yang ditetapkan dan patuhi janji temu,” menurutnya dalam kenyataan.

Terdahulu, tular di laman sosial video berdurasi 26 saat memaparkan keadaan sesak orang ramai beratur di pekarangan PPV KLCC.

Dalam kes berasingan, seorang lelaki yang videonya tular di media sosial semalam kerana meninggikan suara kepada seorang warga emas lelaki dikenakan kompaun RM1,500 kerana tidak memakai pelitup muka.

Mohamad Zainal berkata kompaun dikeluarkan selepas siasatan mendapati lelaki berusia 34 tahun itu tidak memakai pelitup muka ketika menyampaikan ceramah di Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur, Jalan Pahang.

“Hasil siasatan mendapati kejadian itu berlaku kira-kira 11.30 pagi semalam (Selasa lalu) dan kita mengesan satu rakaman video berdurasi 49 saat di media sosial menunjukkan seorang individu tidak memakai pelitup muka memarahi warga emas,” katanya sambil menambah lelaki itu dikompaun selepas dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada kira-kira 5.20 petang.

– BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Majikan dikompaun RM10,000, pemandu kena RM2,000 bawa lebih penumpang

KUALA LUMPUR, 16 JUN: Seorang majikan dikompaun RM10,000 kerana membenarkan 34 pekerja menaiki bas melebihi kapasiti ditetapkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Ketua Polis Daerah Dang Wangi.

Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata pemandu bas yang membawa pekerja binaan warga Bangladesh ditahan di Jalan Tun H S Lee pada jam 7.30 pagi tadi, lapor portal Kosmo!.

“Berdasarkan tatacara operasi piawai (SOP) sepanjang PKP, semua pengangkutan awam hanya dibenarkan membawa 50 peratus jumlah penumpang daripada kapasiti penuh.

“Dalam kes ini, kapasiti penuh bas terbabit adalah 44 penumpang dan sepatutnya hanya membawa 22 penumpang sahaja, ” katanya ditemui di Balai Polis Tun H S Lee di sini hari ini.

Beliau berkata, pemandu bas warga tempatan berusia 40-an turut dikenakan kompaun RM2,000.

Categories
AGENDA NASIONAL

32 termasuk empat penjawat awam ditahan sertai parti liar

KUALA LUMPUR, 6 JUN: Empat penjawat awam antara 32 individu ditahan selepas disyaki terlibat dalam parti liar yang diadakan di sebuah hotel mewah di Jalan Pinang, di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata mereka yang ditahan dalam serbuan 2 pagi di dua bilik berasingan di hotel berkenaan terdiri daripada lapan warga asing dan 18 wanita berusia 20 hingga 50 tahun.

“Siasatan awal mendapati, seorang daripada penjawat awam itu adalah penganjur kegiatan berkenaan dan tempahan bilik juga dibuat olehnya dengan kadar sewa RM500 dan RM700 semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata polis membuka kertas siasatan bagi kes penjawat awam dan warga asing manakala 20 individu yang juga warga tempatan dikompaun sebanyak RM2,000 seorang.

Mohamad Zainal berkata kes disiasat di bawah Seksyen 21A Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) kerana gagal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dan Peraturan 17(1) Akta Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Perjangkit (PPPDPPB) (No 2) 2021 kerana melakukan aktiviti sosial dalam tempoh PKP.

Katanya, mereka akan dituduh di mahkamah setelah mendapat arahan daripada pihak Timbalan Pendakwa Raya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis kesan individu promosi iklan judi dalam talian

KUALA LUMPUR, 23 APRIL: Polis sedang mengesan seorang lelaki tempatan, yang disyaki terlibat dalam penyebaran video mempromosikan perjudian dalam talian yang tular di media sosial, baru-baru ini.

Lelaki berkenaan dikenali sebagai Jonathan Tan Tee Hoe, berumur 34 tahun dengan nombor kad pengenalan 871128-14-5123.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, individu yang dikehendaki itu bersabit siasatan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia dan Seksyen 4 (1) (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Zairil Hazly bin Zulkifli di talian 017-4589997, atau boleh juga menghubungi mana-mana Balai Polis yang berhampiran.

“Kerjasama daripada semua pihak amatlah dihargai bagi membantu siasatan polis,” katanya dalam kenyataan semalam.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis terima 15 laporan berhubung penipuan pelaburan BIA

KUALA LUMPUR, 21 APRIL: Polis menerima sebanyak 15 laporan berkaitan penipuan pelaburan berasaskan minyak dan gas dikenali sebagai Brunei Investment Agency (BIA) melibatkan kerugian lebih RM500,000, Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, sindiket tersebut dikesan sejak Oktober tahun lepas sehingga awal April tahun ini dengan kesemua pelabur atau mangsa menerima sebahagian keuntungan wang pelaburan mereka sebelum ditipu.

“Penipuan dikesan oleh mangsa pada 16 April lepas apabila ‘admin’ kumpulan WhatsApp yang diwujudkan telah gagal dihubungi dan tidak memberi maklum balas. Jumlah pelaburan yang dibuat oleh mangsa dianggarkan RM508,005,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, mangsa ditawarkan pelaburan serendah RM120 dan tiada had maksimum serta maklumat berkaitan pelaburan itu diberikan sindiket melalui laman sosial Facebook dan satu kumpulan WhatsApp.

Katanya, sindiket itu menawarkan pakej pelaburan jangka pendek yang menjanjikan pulangan dalam tempoh tujuh hingga 40 hari dan pakej jangka panjang dalam tempoh dua bulan hingga empat bulan dengan pulangan 200 peratus.

“Satu kertas siasatan sudah dibuka berhubung kes untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, kerana melakukan penipuan dan suspek yang terlibat masih dikesan,” katanya.

Mohamad Zainal menasihatkan, orang ramai supaya tidak terpedaya dengan mana-mana pelaburan yang ditawarkan melalui laman sosial dan membuat semakan sewajarnya berkenaan latar belakang syarikat, supaya tidak menjadi mangsa seterusnya.

Sebarang maklumat berkaitan penipuan pelaburan tersebut boleh disalurkan ke Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Dang Wangi Kuala Lumpur, di talian 03-2600222 atau ‘hotline’ Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Sindiket Macau Scam, judi dalam talian aktif sekitar KL tumpas

KUALA LUMPUR, 23 DIS: Polis berjaya menumpaskan sindiket Macau Scam dan judi dalam talian, selepas 11 individu ditahan termasuk empat warga China dalam tiga serbuan sekitar ibu negara pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, serbuan pertama kira-kira 3.30 petang itu, tiga lelaki warga China berusia 28 hingga 34 tahun ditahan di sebuah kondominium di Jalan Doraisamy, Off Jalan Sultan Ismail di sini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan menemui 40 unit telefon bimbit pelbagai jenama, dua unit komputer, wang tunai negara China berjumlah 1,168 yuen (RM725) dan wang tunai kira-kira RM5,011.

“Siasatan mendapati sindiket ini menjalankan aktiviti penipuan pelaburan iaitu Macau Scam dan kesemua mereka direman empat hari sehingga 25 Disember untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan semalam.

Mohamad Zainal berkata dua serbuan seterusnya dilakukan sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sebuah residen di Jalan Conlay dekat sini.

Menurutnya, dalam serbuan di sebuah bilik di residen tersebut kira-kira 5.30 petang, pihaknya menahan seorang lelaki warga China berusia 35 tahun, yang disyaki terbabit dalam judi dalam talian dan kini ditahan reman sehingga 25 Disember.

Katanya, setengah jam kemudian, pihaknya menyerbu sebuah bilik di residen yang sama dan menahan tujuh individu termasuk dua wanita warga asing dari Thailand dan Vietnam, berusia lingkungan 21 hingga 33 tahun.

“Hasil pemeriksaan polis menemui antaranya daun terup, kertas catitan perjudian dan wang tunai RM23,200. Kesemua mereka direman dua hari sehingga esok untuk siasatan lanjut,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis tahan 20 individu sertai pesta liar, dadah di kondominium

KUALA LUMPUR, 6 DIS: Polis menahan 20 individu dalam serbuan di dua unit kondominium ketika mereka disyaki sedang leka berpesta liar termasuk menghisap dadah di Jalan Sultan Ismail dekat sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata dalam serbuan pertama pada kira-kira 1 pagi di sebuah unit kondominium, polis menahan enam individu terdiri daripada lima lelaki dan seorang perempuan berusia lingkungan 21 hingga 27 tahun.

Beliau berkata pemeriksaan di dalam premis membawa kepada penemuan pelbagai jenis dadah iaitu 2.05 gram ganja, dua pil erimin 5, satu gram ketamin dan sebiji pil ecstasy serta botol plastik disyaki alat untuk menghisap ganja.

“Hasil saringan mendapati empat lelaki posititf dadah jenis metamfetamin serta ketamin dan kesemua mereka ditahan reman dua hari untuk siasatan lanjut,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Zainal berkata dalam serbuan kedua di lokasi sama pada kira-kira 2 pagi, 14 lelaki berusia lingkugan 20 hingga 27 tahun ditahan dan pelbagai jenis dadah turut ditemukan.

Beliau berkata ujian air kencing mendapati 13 suspek positif dadah jenis metamphetamin, tetrahidrokanabinol, amfetamin serta ketamin dan kesemua mereka ditahan reman sehari untuk siasatan lanjut.

Katanya semakan mendapati kedua-dua unit kondominium disewa pada kadar RM225 dan RM500 sehari dan jemputan untuk menghadiri parti itu dibuat menerusi kenalan serta laman sosial.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Dua lagi suspek ditahan kes gaduh di Plaza Low Yat

KUALA LUMPUR, 5 Dis: Polis telah menahan dua lagi suspek berhubung insiden pergaduhan di depan Plaza Low Yat di Bukit Bintang semalam, menjadikan jumlah individu yang ditahan ialah 44 orang.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata kedua-dua suspek telah ditahan malam tadi pada kira-kira 1 pagi selepas menyerah diri kepada polis.

“Jumlah keseluruhan tangkapan ialah 44 penduduk tempatan iaitu 41 lelaki dan tiga perempuan yang terdiri daripada pemilik kedai, pekerja dan orang awam berusia lingkungan 20 hingga 35 tahun.

“Mereka kini ditahan reman selama tiga hari mulai 5 hingga 7 Disember untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh,” menurutnya dalam satu kenyataan.

Pada Sabtu, polis menerima panggilan orang awam berhubung satu pergaduhan membabitkan pelanggan di kedai menjual komputer dan komputer riba.

Beberapa klip video yang dimuat naik di laman media sosial menunjukkan sekumpulan lelaki bergaduh di depan plaza itu yang kemudian berlanjutan sehingga ke dalam premis tersebut.

– BERNAMA