Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia Airlines lanjut kemudahan pelanggan ubah tarikh perjalanan

KUALA LUMPUR, 16 APRIL: Malaysia Airlines menawarkan fleksibiliti kepada penumpang untuk menempah semula tiket mereka berikutan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan dan sekatan perjalanan antara negeri.

Dalam kenyataan hari ini, syarikat penerbangan itu berkata ia telah melanjutkan fleksibiliti perjalanan dengan menawarkan kesahan tiket yang lebih lama dengan perbezaan tambang sekali dan perkhidmatan pengecualian fi.

“Penumpang yang layak kini boleh menempah semula tiket penerbangan mereka pada atau sebelum 31 Disember 2021 untuk perjalanan sehingga Jun 2022.

“Sebelum ini, Malaysia Airlines telah menawarkan fleksibiliti kepada pelanggan untuk menempah semula tiket pada atau sebelum 30 Jun 2021 untuk perjalanan sehingga Disember 2021,” katanya.

Sementara itu, syarikat penerbangan itu menggalakkan penumpang merancang tempahan lebih awal untuk perjalanan akan datang bagi memilih tiket ekonomi flex.

“Tiket ekonomi flex bertujuan memberikan proses perjalanan tanpa tekanan dan mudah. Ia dilengkapi dengan manfaat seperti perubahan tarikh tanpa had tanpa dikenakan fi berserta faedah perjalanan lain termasuk bayaran balik percuma tanpa dikenakan fi,” katanya.

Faedah lain adalah fleksibiliti ‘Go Show’ (yang membolehkan penumpang bersiap sedia untuk penerbangan lebih awal pada hari yang sama ke destinasi yang sama), keutamaan daftar masuk dan berlepas dengan elaun bagasi daftar masuk sebanyak 35 kg.

Seiring dengan normal baharu, Malaysia Airlines akan memperkenalkan Pas Kesihatan Perjalanan Digital, ciri yang akan melancarkan perjalanan penumpang dengan dasar berkaitan Covid-19 di seluruh dunia.

“Berikutan Malaysia terus mengenakan arahan kuarantin bagi ketibaan antarabangsa daripada destinasi tertentu, MHholidays, cabang operasi pelancongan Malaysia Airlines menawarkan pakej kuarantin yang didatangkan dengan hospitaliti premium di rakan hotel terpilih.

“Selain itu, pelanggan boleh menjalani proses kuarantin yang baik dan selesa di hotel yang diluluskan Kementerian Kesihatan, sekurang-kurangnya tujuh malam,” katanya.

Penumpang yang ingin menempah semula perjalanan mereka boleh membuat perubahan secara dalam talian di www.malaysiaairlines.com atau menghubungi pusat panggilan di talian 1-300-88 3000 (dalam Malaysia) atau +60-3-7843 3000 (luar Malaysia).

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Pas kesihatan digital pastikan perjalanan selamat pascawabak

KUALA LUMPUR, 25 FEB: Syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines merancang untuk memperkenalkan Pas Kesihatan Perjalanan Digital bagi membolehkan perjalanan udara yang selamat dalam tempoh pasca-Covid-19.

Dalam kenyataan pada Rabu, syarikat penerbangan itu menjelaskan kad kesihatan itu akan menyepadu dengan modul daripada Pas Perjalanan yang dilaksanakan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), sekali gus membolehkan penumpang membuat pasport digital pada aplikasi mudah alih Malaysia Airlines.

“Pengenalpastian secara digital ini akan membuka jalan untuk penumpang Malaysia Airlines yang akhirnya memanfaatkan pilihan teknologi tanpa sentuh sepanjang proses perjalanan.

“Penumpang boleh membuat janji temu secara mudah dengan pihak perubatan diperakui yang mengambil bahagian, untuk melakukan ujian Covid-19 RT-PCR atau melampirkan sijil vaksinasi Covid-19 mereka di telefon bimbit, menjadikan proses keperluan perjalanan lebih lancar,” menurutnya.

Pas kesihatan itu juga akan mengesahkan ujian Covid-19 atau keperluan vaksinasi, dan kemudian berkongsi status “OK to Travel’ penumpang dengan pihak berkuasa yang berkaitan.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Aviation Group, Izham Ismail berkata kaedah itu akan memberi keyakinan kepada penumpang di samping menyediakan akses kepada proses perjalanan yang lancar untuk penumpang bersedia bagi perjalanan.

Naib Presiden Kanan (Lapangan Terbang, Penumpang, Kargo dan Keselamatan) IATA, Nick Careen berkata aplikasi perjalanan IATA merupakan satu penyelesaian yang boleh dipercayai kerajaan dan penumpang sama ada ia berfungsi secara sendirian atau disepadukan dengan aplikasi perjalanan syarikat penerbangan.

Malaysia Airlines kini bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan untuk melancarkan kad kesihatan dan akan berkongsi butiran lanjut dalam tempoh terdekat.

-BERNAMA