Categories
AGENDA NASIONAL

Pasar Agro Selangor pandu lalu di Bangi lancar

SHAH ALAM, 22 APRIL: Pasar Agro Selangor di Laman Komuniti Bandar Baru Bangi berkonsep pandu lalu dan tempahan awal bermula hari ini beroperasi lancar.

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) memaklumkan program pasar segar terawal yang berlangsung pada Rabu dan Ahad itu bertujuan menyediakan barang keperluan dan hasil tani kepada penduduk setempat berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ia membabitkan penjualan tujuh komoditi terpilih dengan disertai 14 usahawan. Sempena hari pertama program, Fama mengadakan kempen lebihkan makan buah-buahan,” katanya menerusi Facebook.

Fama menyerahkan buah-buahan kepada petugas barisan hadapan sempena operasi hari pertama Pasar Agro Selangor di Laman Komuniti Bandar Baru Bangi. – Foto FB Fama

Agensi itu turut menyerahkan buah-buahan kepada 100 anggota petugas barisan hadapan serta 100 pengunjung terawal sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Antara barangan segar dijual adalah ayam, ikan, daging, sayur dan buah-buahan yang mana pesanan dibuka mulai jam 8 pagi hingga 3 petang menerusi WhatsApp ke 011-33372170.

Sembilan lokasi lain Pasar Agro Selangor ialah Holysmoke Cafe Seksyen 13 Shah Alam, Restoran Mak Uda Seksyen 15 Shah Alam, Mad About Cafe Petaling Jaya, selain Pusat Operasi Fama di Dengkil, Puchong, Kuala Selangor dan Sabak Bernam serta pasar tani kekal Selayang dan My Farm Outlet Putrajaya.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Sambutan galak, nilai jualan Pasar Agro Selangor hampir RM4 juta

SHAH ALAM, 17 APRIL: Nilai jualan kumulatif Pasar Agro Selangor setakat semalam mencecah hampir RM4 juta, kata EXCO industri asas tani.

Ir Izham Hashim berkata daripada RM3,819,040.05 nilai jualan, sebanyak RM2,911,355.86 diperoleh melalui pembelian terus dari cawangan.

“Sebanyak RM84,365.38 diperoleh melalui pembelian secara pandu lalu dan RM823,318.81 pula diperoleh melalui jualan dalam talian.

“Dengan nilai keseluruhan jualan hampir mencecah RM4 juta, ini menunjukkan rakyat Selangor cakna dan prihatin dengan inisiatif daripada Kerajaan Negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 26 Mac lalu, Kerajaan Negeri melancarkan Pasar Agro Selangor dengan dana pusingan RM1 juta bagi membeli hasil pertanian dan penternak sekali gus mengelakkan lambakan barangan bahan segar terbuang.

Program yang diselaraskan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan berkonsep penghantaran atau beli sendiri memanfaatkan kira-kira 300,000 pengguna di Selangor.

Categories
AGENDA NASIONAL SELANGOR

Pasar Agro Selangor tambah satu lagi lokasi minggu hadapan

SHAH ALAM, 17 APRIL: Satu lagi lokasi Pasar Agro Selangor akan ditambah bagi memastikan rantaian bekalan makanan mencukupi, kata Dato’ Menteri Besar.

“Insya-Allah kita akan tambah satu lokasi mulai minggu depan supaya bekalan makanan mencukupi,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika diwawancara di Facebook Pemuda Amanah malam tadi.

Sembilan lokasi sedia ada ialah Pusat Operasi Fama Dengkil, Puchong, Kuala Selangor, Sabak Bernam, Pasar Borong Tani Fama Selayang, Farm Outlet Putrajaya, Holysmoke Seksyen 13 Shah Alam, MadAboutCake Petaling Jaya dan MakUda Seksyen 15 Shah Alam.

Beliau berkata Pasar Agro Selangor membuka peluang lebih besar kepada petani dan penternak untuk memasarkan produk mereka secara terus kepada pembeli.

“Malah, komuniti akan mendapat harga sekitar 20 hingga 30 peratus lebih murah berbanding harga di pasaran,” katanya.

Amirudin berkata sebanyak RM3 juta nilai jualan dibuat dalam Pasar Agro Selangor setakat minggu lalu.

Categories
AGENDA NASIONAL

Selangor sedia teruskan pasar agro ikut garis panduan PKP

SHAH ALAM, 10 APRIL: Kerajaan Negeri sedia meneruskan penganjuran Pasar Agro Selangor yang mencatatkan nilai jualan lebih RM2 juta sejak dilancarkan 27 Mac lalu, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata lanjutan operasi pasar akan mengikut garis panduan seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu mematuhi jarak sosial.

“Alhamdulillah satu kutipan yang baik, kita akan teruskan dan lebarkan dengan disiplin pematuhan terhadap fizikal serta penjarakan sosial,” katanya ketika ditemui di Bilik Gerakan Covid-19 Selangor di sini hari ini.

Pasar agro yang diwujudkan di sembilan lokasi di seluruh negeri bertujuan mengatasi masalah lambakan bahan segar yang tidak terjual berkonsepkan penghantaran atau beli sendiri.

Lokasi Pasar Agro Selangor ialah:

  1. Pusat Operasi Fama Dengkil
  2. Pusat Operasi Fama Puchong
  3. Pusat Operasi Fama Kuala Selangor
  4. Pusat Operasi Fama Sabak Bernam
  5. Pasar Borong Tani Fama Selayang
  6. Farm Outlet Putrajaya
  7. Holysmoke Seksyen 13 Shah Alam
  8. MadAboutCake Petaling Jaya
  9. MakUda Seksyen 15 Shah Alam
Categories
AGENDA BERITA UTAMA EKONOMI

Lokasi Pasar Agro Selangor ditambah, penuhi keperluan rakyat

SHAH ALAM, 10 APRIL: Lokasi Pasar Agro Selangor ditambah bagi menampung keperluan dan permintaan rakyat yang dijangka meningkat menjelang Ramadan, kata EXCO industri asas tani.

Ir Izham Hashim berkata antara lokasi dicadangkan ialah Ampang dan Sungai Buloh kerana kawasan itu memiliki jumlah penduduk yang padat namun tiada lagi kemudahan berkenaan.

“Saya akan bermesyuarat dengan agensi berkaitan sehari dua ini untuk berbincang mengenai persiapan Ramadan yang mana kita akan memastikan Pasar Agro Selangor ditambah.

“Walaupun kemungkinan umat Islam menyambut Ramadan ketika dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kita faham orang ramai akan buat persiapan dengan membeli barangan basah dan keperluan lain,” katanya ketika dihubungi.

Ketika ini Pasar Agro Selangor beroperasi di sembilan lokasi iaitu Holysmoke Cafe Seksyen 13 Shah Alam, Restoran Mak Uda Seksyen 15 Shah Alam, Mad About Cafe Petaling Jaya, selain Pusat Operasi Fama di Dengkil, Puchong, Kuala Selangor dan Sabak Bernam serta pasar tani kekal Selayang dan My Farm Outlet Putrajaya.

Sementara itu, Ir Izham berkata pihaknya mencari jalan bagi menyelesaikan isu kekurangan bekalan bawang import di pasaran negeri ini.

“Secara umumnya bekalan barang basah, sayuran dan buah-buahan tiada masalah kerana sistem rantaian bekalan cukup tersusun, cuma ada sedikit isu berkaitan bawang import, ini kita akan cuba selesaikan,” katanya.

Categories
EXCO SELANGOR

Pasar Agro Selangor catat jualan lebih RM100,000 sehari

SHAH ALAM, 2 APRIL: Tidak sampai seminggu dilancarkan, Pasar Agro Selangor mencatat urus niaga bernilai RM150,000 sehari, baik secara dalam talian mahupun sembilan pasar fizikal, kata EXCO pertanian.

“Sejak lima hari lancar, peningkatan hasil tinggi sekitar puluhan ribu, bermula dengan RM100,000 hingga sekarang RM120,000 ke RM150,000 sehari jualan,” kata Ir Izham Hashim dalam siaran langsung di Facebook hari ini.

Beliau berkata produk pasar berkenaan mendapat sambutan ramai berikutan harganya 20 hingga ke 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran.

“Tambahan lagi pengguna mudah untuk mendapatkan pelbagai barangan segar dan berkualiti dari Pasar Agro Selangor, mereka tidak perlu keluar dan beratur panjang di pasar raya, hanya tunggu di rumah, kami akan hantar barang yang ditempah,” katanya.

Izham berkata petani, penternak atau nelayan yang ada masalah memasarkan hasil diminta menghubungi pejabat beliau atau agensi berkaitan untuk membolehkannya dijual dalam Pasar Agro Selangor.

Pada 26 Mac lalu, Kerajaan Negeri melancarkan Pasar Agro Selangor dengan dana pusingan RM1 juta bagi membeli hasil pertanian dan penternak sekali gus mengelakkan lambakan barangan bahan segar terbuang.

Program yang diselaraskan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan berkonsep penghantaran atau beli sendiri memanfaatkan 300,000 pengguna

Sembilan lokasi Pasar Agro Selangor mulai 26 Mac hingga 14 April ialah:

Pusat Operasi Fama Dengkil (012-3070806)
Pusat Operasi Fama Puchong (019-2874993)
Pusat Operasi Fama Kuala Selangor (019-5403791)
Pusat Operasi Fama Sabak Bernam (019-3084781)
Pasar Borong Tani Fama Selayang (012-5839485)
Farm Outlet Putrajaya (012-3002741)
Holysmoke Seksyen 13 Shah Alam (012-3100585)

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Sembilan lokasi Pasar Agro Selangor atasi bahan segar tidak terjual

SHAH ALAM, 26 MAC: Kerajaan Negeri melancarkan Pasar Agro Selangor di sembilan lokasi bermula esok bagi mengatasi masalah lambakan bahan segar yang tidak terjual.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program yang bakal memanfaatkan 300,000 pengguna diselaraskan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) berkonsepkan penghantaran atau beli sendiri.

“Kerajaan Negeri mengenal pasti terdapat masalah dalam rantaian pembekalan yang mengakibatkan lambakan bekalan tidak terjual dalam pasaran dan akhirnya membawa kepada pembuangan.

“Justeru, Kerajaan Negeri bersetuju melaksanakan beberapa langkah untuk fasa pertama iaitu Pasar Agro Selangor dengan dana kitaran RM1 juta untuk dimanfaatkan bagi penyimpanan dan jualan bahan asas,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Amirudin berkata langkah itu dapat memastikan pengguna memiliki bahan segar dengan diskaun antara 15 hingga 30 peratus sekali gus membantu petani dan nelayan supaya rangkaian bekalan tidak terputus.

Sementara itu, katanya, fasa kedua pula membabitkan perbincangan dengan pasar raya utama bagi bekalan dan edaran bahan tersebut.

Sembilan lokasi Pasar Agro Selangor ialah:

(Mulai 26 Mac-14 April)

  1. Pusat Operasi Fama Dengkil (012-3070806)
  2. Pusat Operasi Fama Puchong (019-2874993)
  3. Pusat Operasi Fama Kuala Selangor (019-5403791)
  4. Pusat Operasi Fama Sabak Bernam (019-3084781)
  5. Pasar Borong Tani Fama Selayang (012-5839485)
  6. Farm Outlet Putrajaya (012-3002741)
  7. Holysmoke Seksyen 13 Shah Alam (012-3100585)

(Mulai 1-14 April)

  1. MadAboutCake Petaling Jaya
  2. MakUda Seksyen 15 Shah Alam