Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kerajaan sasar 200 pasar nelayan di seluruh negara tahun ini

SHAH ALAM, 30 JAN: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menyasarkan untuk menambah 70 lagi pasar nelayan di seluruh negara menjelang akhir tahun ini, kata menterinya.

Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata sehingga kini terdapat lebih 130 pasar nelayan yang memberi peluang kepada mereka memasarkan hasil tangkapan terus kepada pengguna, lapor Berita Harian.

“Nelayan juga memperoleh margin pulangan harga yang lebih baik dan menguntungkan, manakala pengguna pula mendapat bekalan segar pada harga berpatutan, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pasar Nelayan Pulau Gajah di Kota Bharu hari ini.

Beliau turut berjanji pendapatan nelayan akan bertambah sekiranya perairan negara dijaga dengan baik dan dimaklumkan tiada lagi vesel asing yang masuk.

“Pihak kami akan bekerja lebih kuat bagi memastikan pengawalan Op Naga dapat diteruskan dan pada masa sama, laut kita bebas daripada ancaman nelayan asing serta kemudahan pasar nelayan akan terus dipertingkatkan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM),” katanya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Pasar nelayan: Tambah pendapatan, tangani orang tengah

BANTING, 3 JAN: Pasar nelayan yang diwujudkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di seluruh negara berjaya meningkatkan pendapatan nelayan, selain membantu menangani isu orang tengah.

Muhamad Shukur Haris, 50, nelayan laut dalam berkata pendapatannya kini meningkat dua kali ganda dengan adanya pasar nelayan di Kelanang di sini.

“Kalau dulu dapat RM1,000 lebih sebulan, sekarang kita dapat RM3,000 setiap bulan,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Pasar Nelayan Kelanang di sini, baru-baru ini.

Muhammd Shukur yang menjadi nelayan lebih tiga dekad berkata pasar ini banyak membantu beliau dan rakan nelayannya menjual hasil tangkapan mereka secara terus kepada pelanggan.

“Kita jual terus jadi kita tidak dibebani orang tengah, dapat terus jual. Untuk pelanggan pula mereka dapat ikan yang segar dengan harga murah. Jualan juga mencecah sehingga satu tan sebulan,” katanya

Bagi nelayan Airul Azwan Abu Bakar, 42, pula dengan adanya pasar nelayan ini mereka tidak lagi perlu bergantung kepada peraih untuk menjual hasil tangkapan dan ini menyebabkan harga ikan yang dijual di pasar jauh lebih murah berbanding harga pasaran.

“Kalau di luar ikan pari boleh mencapai RM25 sekilo, tapi di sini antara RM17 hingga RM18 sekilo, dan ikan pun masih segar,” katanya.

Mohd Khairul Nizam Ramli, 37, (kanan) dan rakannya Airul Azuan Abu Bakar, 41, menarik pukat selepas sejam menunggu di perairan Selat Melaka 15 minit dari jeti Kampung Kelanang di sini. Foto BERNAMA

Sementara itu, nelayan Muhamad Khairul Nizam Ramli, 34, berkata mereka mendapat keuntungan yang lebih menerusi jualan secara terus di pasar nelayan yang sekaligus membantu meningkatkan pendapatan.

“Kalau dulu saya tolak dengan tauke (peraih) baru dapat RM45, kalau jual sendiri dapat RM60 sekilo jadi untung,” katanya.

Pelanggan tetap pasar itu, yang tinggal di kawasan perumbahan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Shamsuddin Joned, 60, berkata beliau sanggup datang dari jauh untuk mendapatkan stok bekalan ikan kerana yakin dengan kesegaran ikan yang dijual di situ.

Terdapat 129 buah pasar nelayan di seluruh negara dengan anggaran kos pembinaan RM200,000 bagi setiap pasar yang dilengkapi dengan air, elektrik, meja jualan, ruang parkir dan kemudahan asas lain bagi memudahkan urusan jual beli di antara nelayan dan pembeli.

Sementara itu, Ketua Pengarah LKIM Jamaludin Othman berkata pelaksanaan pasar nelayan dapat membantu mengurangkan kos sara hidup nelayan berikutan tiada kos tambahan yang diperlukan untuk jualan hasil tangkapan mereka kepada peraih.

“Kalau jual secara terus dia dah potong kos-kos operasi yang terlibat dalam penjualan tadi seperti pembungkusan plastik, air batu. Saya merasakan ini yang dikehendaki pengguna di luar sana untuk mendapat bekalan pada harga yang perpatutan dan nelayan sendiri puas hati, harga pulangan memberi faedah dan pendapatan yang lebih untuk mereka,” tambahnya.

Jamaluddin berkata lokasi pasar nelayan juga dipilih berdasarkan jarak terdekat dengan jeti pusat pendaratan ikan supaya mudah untuk nelayan membawa hasil tangkapan mereka ke pasar yang seterusnya dijual kepada pembeli.

Untuk tahun ini, empat buah lagi pasar nelayan akan dibangunkan di seluruh negara, 57 projek peningkatan dan 34 program promosi pasar nelayan melibatkan dana RM4.5 juta.

-BERNAMA