Categories
ADN SELANGOR

ADN: 40 penjaja, pekerja pasar jalani saringan Covid-19

SHAH ALAM, 29 OKT: Kira-kira 40 penjaja dan pekerja Pasar Sea Park, Petaling Jaya menjalani ujian saringan Covid-19 dikendalikan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling semalam.

Ahli Dewan Negeri Kampung Tunku Lim Yi Wei berkata saringan bermula 9.30 pagi hingga 1 petang diadakan susulan seorang penjaja di pasar berkenaan disahkan positif wabak.

“Mereka dijangka memperoleh keputusan dalam tempoh 48 jam dan diharap semuanya negatif (Covid-19) namun pengesanan kontak rapat seterusnya akan diperluaskan sekiranya terdapat kes positif,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata buat masa ini pasar berkenaan masih belum dibenarkan beroperasi sehingga satu tempoh akan diumumkan kelak.

“Kita sedang tunggu keputusan PKD (untuk benarkan Pasar Sea Park beroperasi),” katanya.

Pada 23 Oktober, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya memutuskan menutup operasi Pasar Sea Park bagi membolehkan pelaksanaan kerja pembersihan dan sanitasi selepas seorang penjaja diuji positif Covid-19.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pasar Sea Park PJ ditutup, seorang penjaja positif Covid-19

SHAH ALAM, 24 OKT: Operasi Pasar Sea Park, Petaling Jaya ditutup bermula semalam sehingga satu tempoh diumumkan kelak susulan seorang penjaja disahkan positif Covid-19.

Ahli Dewan Negeri Kampung Tunku, Lim Yi Wei berkata keputusan itu dicapai selepas lawatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) ke pasar terbabit petang semalam.

“Penutupan ini bagi membolehkan pelaksanaan kerja pembersihan dan sanitasi secara menyeluruh di pasar berkenaan,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau juga meminta penjaja dan pelanggan yang berkunjung ke tapak perniagaan itu dalam tempoh 14 hari supaya tidak panik, sebaliknya memulakan kuarantin kendiri di rumah sehingga mendapat panggilan KKM untuk pengesanan kontak serta saringan.

Menurutnya, individu berkaitan disaran melakukan aktiviti di bilik sendiri kecuali atas sebab tidak boleh dielakkan selain memakai pelitup muka di ruang yang dikongsi ahli keluarga seperti ruang tamu, dapur dan bilik air.

“Cuci tangan sekerapnya dan amalkan penjarakan sosial dari ahli keluarga termasuk menggunakan perkakas berasingan misalnya sudu, garfu serta cawan,” katanya.

Semalam, Selangor merekodkan 62 kes baharu, turun berbanding kelmarin dengan 137 kes menjadikan jumlah keseluruhan 3,804 kes.