Categories
AGENDA NASIONAL

Bank Rakyat nasihat pelanggan bersedia urus bayaran pascamoratorium

KUALA LUMPUR, 2 OKT: Bank Rakyat menasihatkan pelanggannya supaya bersedia untuk menguruskan pembiayaan mereka seperti biasa susulan tempoh moratorium telah berakhir pada Rabu lepas.

Ia berkata penting bagi mereka membuat persiapan terutama pelanggan yang membuat potongan gaji secara automatik supaya dapat mengelakkan sebarang kekeliruan.

“Pelanggan yang melakukan potongan gaji menerusi Biro Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (Angkasa), bayaran pembiayaan bermula Oktober ini sekiranya mereka tidak layak menerima lanjutan moratorium atau bantuan bersasar yang ditawarkan oleh bank ini,” menurutnya.

Ia menjelaskan tiada potongan ansuran bulanan dari April hingga September bagi pelanggan yang menerima moratorium automatik.

“Bagi pelanggan yang tidak mengambil moratorium atau membuat pembiayaan baharu selepas tempoh moratorium berkuat kuasa April lalu, potongan gaji mereka berjalan seperti biasa,” katanya.

Sebarang kekeliruan atau masalah berkaitan pembiayaan pasca moratorium, pelanggan boleh ke cawangan Bank Rakyat berhampiran atau hubungi Pusat Panggilan di talian 13000800800.

Pelanggan juga boleh melayari laman web korporat di www.bankrakyat.com.my atau laman media sosial rasmi Bank Rakyat, @mybankrakyat (Facebook, Instagram dan Twitter) untuk mendapatkan maklumat lanjut

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pascamoratorium: AKPK sedia khidmat nasihat bayar semula hutang

KUALA LUMPUR, 20 JUN: Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bersedia memberi khidmat nasihat serta penjadualan semula hutang kepada individu yang berdepan masalah pembayaran hutang pascamoratorium.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat AKPK Mohamad Khalil Jamaldin berkata agensi itu bersedia membantu mereka yang masih terkesan dari segi kewangan apabila pelaksanaan moratorium tersebut tamat pada 30 September ini.

“Bagi golongan yang pendapatannya tidak terjejas tetapi memilih untuk menerima moratorium dijangka tidak mempunyai masalah untuk membayar semula pinjaman setelah tamat tempoh moratorium.

“Namun bagi mereka yang masih terkesan dari segi kewangan dan menempuh saat sukar, diseru agar mendapatkan bantuan awal dengan menghubungi institusi kewangan masing-masing atau AKPK,” katanya dalam kenyataan hari ini.

AKPK turut menggariskan sembilan panduan bagi membantu mereka yang berkenaan membuat persediaan menghadapi cabaran kewangan pascamoratorium, antaranya bersedia dari segi mental dan emosi bahawa tiada lagi penangguhan bayaran selepas 30 September ini; tidak menunggu saat akhir dengan merancang awal pembayaran dan mengetahui ansuran bulanan terkini.

Mereka juga disaran menyemak semula kedudukan kewangan terkini; mengkaji semula bajet bulanan; menjana pendapatan baharu; mempelajari kemahiran baharu; meneroka pakej insentif Covid-19 dan tidak terjebak dalam skim penipuan kewangan.

Bagi mereka yang berminat mengetahui tip terkini pengurusan kewangan berhemat serta pembelajaran pengurusan kewangan dalam talian, bolehlah melayari laman sesawang power.akpk.org.my atau media sosial AKPK seperti Facebook, Twitter dan Instagram.

Bagi yang ingin mendapatkan bantuan, AKPK boleh dihubungi menerusi talian khidmat pelanggan 03-2616 7766 atau melalui laman web www.akpk.org.my serta pautan bit.ly/AKPKdmp2020.

– BERNAMA