Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Gangguan khidmat Bank Rakyat 9-12 Okt, naik taraf sistem

KUALA LUMPUR, 8 OKT: Bank Rakyat mengingatkan pelanggannya untuk merancang urusniaga perbankan sebelum tempoh gangguan perkhidmatan bermula dari Jumaat, 9 Oktober, jam 4 petang hingga Isnin, 12 Oktober, jam 12 tengah hari.

Gangguan itu disebabkan proses menaik taraf sistem.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Rosman Mohamed berkata pelanggan tidak perlu bimbang kerana segala maklumat berkaitan simpanan dan rekod pembiayaan mereka di Bank Rakyat tidak akan terjejas selepas sistem ini dinaik taraf.

“Ini termasuk bagi wang yang didepositkan dan disimpan di Bank Rakyat, urusan pembayaran wang pencen serta potongan gaji bulanan pelanggan. Seluruh warga kerja Bank Rakyat juga komited dalam memastikan sistem baharu ini beroperasi dengan baik ketika pelaksanaan sistem baharu tersebut pada 12 Oktober 2020,” katanya dalam satu kenyataan di keluarkan di sini hari ini.

Gangguan bagi semua perkhidmatan perbankan ini kecuali Kad Kredit-i adalah kerana proses transformasi digital ke sistem Perbankan Teras (Core Banking, CoBRa) baharu bagi menaik taraf serta mempertingkatkan mutu dan operasi perbankannya.

Antara jenis perkhidmatan yang tidak boleh digunakan pada tarikh dan waktu tersebut termasuk, perkhidmatan kaunter di semua cawangan Bank Rakyat/Ar-Rahnu, perbankan internet (iRakyat), ibizRakyat, Kad Debit-i dan semua terminal layan diri Bank Rakyat, iaitu Mesin Juruwang Automatik (ATM), Mesin Deposit Tunai (CDM), Mesin Deposit Duit Syiling (CoDM), Mesin Cash-In Cash-Out (CICO) serta Ejen Bank (Rakyat Care).

Semasa tempoh berkenaan pelanggan masih boleh menggunakan perkhidmatan Kad Kredit-i Bank Rakyat untuk semua urusniaga bagi pembelian di kaunter, dalam talian, serta melakukan pengeluaran tunai di ATM bank-bank lain yang mempunyai logo Mastercard.

Untuk maklumat lanjut, pelanggan boleh menghubungi talian tele-Rakyat di 1300-80-5454 atau kunjungi laman web korporat di www.bankrakyat.com.my dan laman media sosial rasmi Bank Rakyat, @mybankrakyat di Facebook, Instagram dan Twitter.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bank Rakyat nasihat pelanggan bersedia urus bayaran pascamoratorium

KUALA LUMPUR, 2 OKT: Bank Rakyat menasihatkan pelanggannya supaya bersedia untuk menguruskan pembiayaan mereka seperti biasa susulan tempoh moratorium telah berakhir pada Rabu lepas.

Ia berkata penting bagi mereka membuat persiapan terutama pelanggan yang membuat potongan gaji secara automatik supaya dapat mengelakkan sebarang kekeliruan.

“Pelanggan yang melakukan potongan gaji menerusi Biro Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (Angkasa), bayaran pembiayaan bermula Oktober ini sekiranya mereka tidak layak menerima lanjutan moratorium atau bantuan bersasar yang ditawarkan oleh bank ini,” menurutnya.

Ia menjelaskan tiada potongan ansuran bulanan dari April hingga September bagi pelanggan yang menerima moratorium automatik.

“Bagi pelanggan yang tidak mengambil moratorium atau membuat pembiayaan baharu selepas tempoh moratorium berkuat kuasa April lalu, potongan gaji mereka berjalan seperti biasa,” katanya.

Sebarang kekeliruan atau masalah berkaitan pembiayaan pasca moratorium, pelanggan boleh ke cawangan Bank Rakyat berhampiran atau hubungi Pusat Panggilan di talian 13000800800.

Pelanggan juga boleh melayari laman web korporat di www.bankrakyat.com.my atau laman media sosial rasmi Bank Rakyat, @mybankrakyat (Facebook, Instagram dan Twitter) untuk mendapatkan maklumat lanjut

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lanjutan moratorium: Bank Rakyat anjur hari terbuka bantu pelanggan

LANGKAWI, 12 SEPT: Bank Rakyat akan mengadakan hari terbuka di 17 cawangan seluruh negara, mulai hari ini, pada 19 dan 26 September depan bagi memberi peluang kepada pelanggannya untuk memohon bantuan bagi menangguhkan pembayaran pembiayaan, selepas tamat tempoh moratorium, 30 September ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat Datuk Rosman Mohamed berkata cawangan terlibat ialah Johor Bahru, Johor, Jalan Hang Tuah, Melaka, Seremban, Negeri Sembilan, Presint 8, Putrajaya, Seksyen 14, Shah Alam, Sungai Buloh, Selangor dan Jalan Tangsi, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

Cawangan lain termasuk di Medan Gopeng, Ipoh, Teluk Intan, Perak, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, Temerloh, Kuantan, Pahang, Kuala Terengganu, Terengganu, Kota Bharu, Kelantan, Satok, Kuching, Sarawak dan Kota Kinabalu, Sabah.

“Hari terbuka di cawangan terlibat akan diadakan bermula 10 pagi hingga 3 petang. Sempena hari terbuka ini, kita boleh berbincang dan akan cuba membantu pelanggan yang terjejas dan mereka yang memerlukan bantuan,” katanya pada sidang media selepas majlis makan malam Bank Rakyat bersama media Langkawi, di sini malam tadi.

Turut hadir Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Perniagaan Bank Rakyat Dr Mohammad Hanis Osman.

Mengulas lanjut, Rosman berkata permohonan bagi melanjutkan tempoh moratorium selepas 30 September ini semakin banyak.

“Permohonan sentiasa ada, kita melihat trend semakin dekat tempoh moratorium tamat, jumlah permohonan semakin banyak. Insya-Allah Bank Rakyat bersedia membantu pelanggan dalam apa jua keadaan,” katanya.

Sementara itu, Rosman berkata Bank Rakyat menganjurkan Karnival Mai Pakat Mai@Langkawi bermula semalam (11 September) hingga 10 Okt bagi memberi peluang kepada pelanggan memenangi hadiah menarik sehingga RM12,000.

Katanya, pelanggan hanya perlu melanggan sebarang produk di cawangan Langkawi dan Ar-Rahnu X’Change Langkawi bagi mendapat peluang memenangi hadiah cabutan bertuah yang berupa motosikal, basikal, komputer riba, telefon pintar, penggoreng kering dan wang tunai RM1,000.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Noripah dilantik Pengerusi baharu Lembaga Pengarah Bank Rakyat

PUTRAJAYA, 6 DIS: Bekas Penasihat CIMB Islamic Bank Bhd (CIMB Islamic), Datuk Noripah Kamso dilantik sebagai Pengerusi baharu Lembaga Pengarah Bank Rakyat, berkuat kuasa serta-merta.

Pelantikan beliau yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif CIMB-Principal Islamic Asset Management Sdn Bhd, diumumkan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof melalui satu kenyataan, di sini hari ini.

Katanya, Noripah menggantikan Tan Sri Shukry Mohd Salleh yang disingkirkan daripada jawatan itu, pada 26 November lalu ekoran keterbabitan beliau dalam Laporan Asal Audit 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

“Noripah pada masa ini adalah Ahli Lembaga Pengarah BIMB Investment Management Berhad dan Top Glove Corporation Berhad serta Pengerusi bersama Majlis Industri Kewangan Islam juga Dewan Perniagaan Malaysia Amerika yang berpusat di Washington, Amerika Syarikat.

“Beliau juga adalah bekas Presiden Persatuan Broker Niaga Hadapan Malaysia (MFBA) dan kini menjadi Ahli Jawatankuasa Rayuan Pusat Penyelesaian Industri Sekuriti, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia,” katanya.

Selain itu, Mohd Redzuan turut mengumumkan pelantikan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan, Wan Suraya Wan Mohd Radzi sebagai Ahli Lembaga Pengarah Bank Rakyat baharu.

Beliau berkata, kedua-dua pelantikan baharu yang berkuat kuasa serta-merta itu adalah selaras kuasa diperuntukkan kepada Menteri Pembangunan Usahawan di bawah sub perenggan 1(2) Jadual Pertama, Akta Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Peruntukan Khas) 1978 Akta 202.

“Pelantikan ahli Lembaga Pengarah baharu Bank Rakyat lainnya akan diumumkan sebaik sahaja dimuktamadkan, tertakluk kepada proses penentusahan ‘layak dan sesuai’ oleh Bank Negara Malaysia selaras dengan seksyen 6 Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002 Akta 618,” katanya.

*Sumber: BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA PENDIDIKAN

KUIS-Bank Rakyat meterai kerjasama perkenal skim PhD

OLEH SHEEDA FATHIL

BANGI, 23 FEB: Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat) memeterai Perjanjian Persefahaman (MOA) bersama Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dan Yayasan KUIS serta Yayasan As-Shafie.

Rektor KUIS, Prof Dato’ Dr Ab Halim Tamuri berkata, majlis MOA itu bertujuan bagi memperkenalkan Skim Zamalah Pascasiswazah Bank Rakyat.

“Ia adalah skim terbuka kepada pelajar sepenuh masa sahaja yang ingin mengikuti pengajian ijazah Doktor Falsafah (PhD) bagi program pengajian Islam, selama tempoh tiga tahun.

“Tajaan di bawah Skim Zamalah ini hanya terbuka kepada tiga pelajar sahaja yang ditapis pemilihannya oleh KUIS,” katanya pada sidang media selepas Majlis Menandatangani MOA bersama Bank Rakyat, di KUIS, semalam.

Ab Halim berkata, skim berkenaan tidak hanya terbuka kepada pelajar KUIS sahaja, namun ia boleh dipohon oleh semua orang yang berminat.

“Menariknya berhubung skim ini, mereka yang mengikuti pengajian PhD tidak hanya belajar, namun turut menjadi tenaga pengajar di KUIS,”katanya.

Sementara itu, Ab Halim berkata, Skim Zamalah itu adalah hasil sumbangan zakat daripada Bank Rakyat kepada Yayasan KUIS berjumlah RM415,450.

“Bank Rakyat bertanggungjawab memastikan pelajar yang melanjutkan pengajian dalam PhD memenuhi kriteria asnaf mengikut hukum syarak.

“Mereka juga berperanan memantau Yayasan KUIS untuk mengeluarkan sumbangan zakat, malahan berhak menggantung atas budi bicara mereka,”katanya.

“Sumbangan zakat di bawah Skim Zamalah ini antaranya yuran program, yuran pendaftaran, yuran asas, yuran penginapan, yuran konvokesyen dan elaun sara diri secara bulanan,” katanya.

 

Categories
SELANGOR

Bank Rakyat sokong inisiatif ‘PJ City Food Truck’

OLEH NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 4 MEI: Bank Rakyat komited memberi sokongan terhadap inisiatif ‘PJ City Food Truck’ menerusi kerjasamanya dengan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Ketua Pegawai Perbankan Runcit, Mohd Sharil Isa berkata, projek ‘PJ City Food Truck’ merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) antara Bank Rakyat bersama MBPJ untuk menghulurkan sumbangan makanan kepada golongan memerlukan terutamanya pelajar sekolah.

Katanya, sumbangan makanan itu merupakan lambang keprihatinan Bank Rakyat memakmurkan masyarakat serta bertepatan agensi Bank Koperasi Islam Penyayang.

DSC_3177“Sumbangan ini memberi manfaat kepada anak-anak dengan sebaik-baiknya dan dapat menggerakkan generasi muda agar menjadi pewaris negara menerusi pembinaan modal insan yang cemerlang,” katanya dalam kenyataan.

Sharil berkata melalui kerjasama itu, dianggarkan 300 pelajar dan golongan gelandangan akan menerima manfaat ini setiap hari.

“Bank Rakyat melihat program ini sebagai peluang terbaik untuk Bank Rakyat bersama MBPJ meningkatkan taraf sosio-ekonomi negara serta merupakan salah satu usaha memberi balik kepada masyarakat setempat yang setia melanggan produk Bank,” katanya.

 

Categories
NASIONAL

Skandal Bank Rakyat, Ahmad Maslan gagal bagi jawapan meyakinkan

KUALA LUMPUR, 12 JUN: Jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berhubung skandal Bank Rakyat yang membabitkan ahli perniagaan bukan sahaja tidak menjawab persoalan yang dibangkitkan tetapi turut menimbulkan banyak pertanyaan.

Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin, berkata jawapan Ahmad tidak dijelaskan secara menyeluruh terutama kenapa bank tidak memerlukan keuntungan dalam urusan pinjaman yang diberikan.

“Kalau urusan pinjaman tetapi bayaran balik tidak memerlukan keuntungan, ia adalah satu yang gagal dilakukan bank. Ini menunjukkan bank memberi pinjaman tanpa memikirkan keuntungan kerana dalam setiap urusan intitusi itu perlu memikirkan pendeposit dan mereka ada hak dalam setiap pelaburan,” katanya yang dipetik daripada Harakah Daily.

bank rakyatAhmad ketika penggulungan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan 2014 berkata, ia menjadi prosedur biasa kepada sesebuah bank untuk mendapat balik pinjaman yang dikategorikan kepada Pinjaman Tidak Berbayar ‘Non Performing Loan’ (NPL)

Katanya, bank mempunyai tanggungjawab untuk mendapatkan balik duit yang dipinjamkan bagi mengelakkan kerugian dan keputusan bayaran balik tanpa faedah adalah keputusan terbaik daripada bank.

Pada masa sama, Hanipa yang turut mempersoalkan perkara itu ditimbulkan sekian lama, namun sehingga kini Bank Rakyat tidak mengeluarkan sebarang kenyataan.

“Kita juga hairan kenapa Deepak Jaikishnan begitu kebal dan istimewa apabila beliau diberikan keistimewaan walaupun sebelum ini banyak pendedahan dilakukannya membabitkan pimpinan tertinggi negara.

“Yang pasti jawapan menteri itu tidak menyakinkan, hanya sekadar menjawab bukannya menepati persoalan yang timbul,” katanya.

Sebelum itu, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar ketika perbahasan bagi RUU Perbekalan Tambahan 2014 turut mempersoalkan pendedahan yang dilakukan bekas Pengerusi Bank Rakyat, Tan Sri Sabbaruddin Chik yang dipecat kerana tidak setuju dengan arahan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Sri Hasan Malek berhubung penyelesaian hutang RM32 juta.

hanipa maidinAhmad yang menjawab persoalan itu memberitahu dakwaan berkenaan tidak benar, selain menyatakan Sabbaruddin turut memberitahu kenyataannya sudah diputar belit media pembangkang.

Selain itu, beliau turut menjelaskan campur tangan menteri dalam urusan Bank Rakyat turut mendapat penafian daripada menteri terbabit.

“Tidak timbul bayaran yang sama seperti yang dipinjam, kita sudah campur semua. Jika ada individu kata begitu, dia sebenarnya keliru.

“Cek tertunda tarikh itu tiada masalah sebaliknya dia bayar. Kononnya menteri campurtangan itu tidak ada, saya sudah tanya menteri dan beliau sedia disiasat,” katanya.

 

Categories
NASIONAL

Kerajaan Pusat patut perjelas Bank Rakyat beri pinjam RM32 juta tanpa faedah

Oleh: Norhayati Umor

SHAH ALAM 4 JUN : Pinjaman tanpa faedah yang diberikan kepada ahli perniagaan, Deepak Jaikishan perlu diperjelaskan Kerajaan Pusat kerana ia terbukti menyalah gunakan polisi perniagaan Bank Rakyat yang ditubuhkan membantu golongan berpendapatan rendah.

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua berkata institut kewangan itu ditubuhkan dengan fungsi sosial yang tidak sama fungsi dengan bank kebanyakan yang terdapat di negara ini.

bank rakyat1Katanya, oleh kerana itu, Bank Rakyat tidak sepatutnya digunakan untuk kepentingan kroni Barisan Nasional.

“Ini isu yang perlu diperjelaskan kerana Bank Rakyat ditubuhkan untuk membantu golongan yang berpendapatan rendah dan tidak sama fungsi dengan bank lain.

“Jadi ia tidak seharusnya digunakan dengan sewenangnya demi kepentingan kroni,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini.

Sehubungan itu, Tian Chua mendesak pihak bertanggungjawab tampil memberi penjelasan sewajarnya dan mengambil tindakan kepada pihak terbabit kerana menyalahguna kuasa dan polisi.

tian“Kita tidak tahu apa tujuannya untuk diberikan pinjaman itu, oleh itu kita mahu ia diperjelaskan,” katanya.

Sebelum ini, Bekas menteri kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah turut mempersoalkan polisi Bank Rakyat untuk membenarkan peniaga permaidani Deepak Jaikishan membayar pinjaman RM32 jutanya tanpa faedah, mengatakan ianya bukan amalan biasa perbankan.

Katanya, peniaga Bumiputera juga tidak mendapat perjanjian istimewa seperti itu apabila membuat pinjaman dengan bank kerajaan, walaupun Putrajaya mempunyai polisi perniagaan pro-Bumiputera.

EZY

JURNAL BERITA – MB : RM10juta bina infra pam air ke Sungai Selangor

1. MB: Peruntukkan RM10 juta, bina infra untuk pam air ke Sg Selangor

2. MB: MOU air bukan rahsia, rakyat boleh teliti dokumen

3. KEMASKINI: Adun dan media dihalang lawat Empangan Sungai Selangor

4. Wan Azizah: Perancangan jahat Umno halang Anwar jadi Presiden PKR

5. Sultan Selangor terima Zakat Perniagaan Bank Rakyat RM4.47 juta

6. Tian: Kapal disamun dekat Pulau Ketam, apa sudah jadi keselamatan negara?

7. Nurul Izzah: Perjelaskan perjanjian projek janakuasa, elak kerugian

8. Anwar: Penyebaran fitnah tahlil untuk Karpal perbuatan ‘macai’ Umno

9. Geran Mosti: Kos projek RM130 juta tapi dapat RM150 juta

10. Harga Getah terus jatuh, peneroka tekad demo di kubu kuat Umno

11. MH370: Tolak kaji selidik Merdeka Center, menteri tak hormat pandangan rakyat

12. Peguam: Mahkamah tolak masa rayuan kes Anwar, tak simpati kematian Karpal

13. Saingan sengit Timb. Presiden PKR, demokrasi dalam parti

14. PKR sasar tambah 50,000 ahli baru masyarakat Tionghua dalam 5 tahun