Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

BNM: PKS boleh mula bincang dengan bank struktur pinjaman

KUALA LUMPUR, 15 OGOS: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang memerlukan penstrukturan semula pembiayaan untuk menyokong aktiviti perniagaan mereka sementara perlahan-lahan pulih daripada pandemik Covid-19, boleh mula berbincang dengan bank, kata Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Beliau berkata bantuan kewangan yang disediakan bank termasuk pengurangan kadar faedah, lanjutan moratorium bersasar atau mengambil pinjaman baharu untuk menjana aliran tunai baharu bagi perniagaan baharu masing-masing.

Sejak Januari tahun ini, BNM telah menurunkan kadar dasar semalaman (OPR), secara kumulatif sebanyak 125 mata asas kepada 1.75 peratus, kadar paling rendah selama ia ditetapkan sejak 16 tahun lepas.

Sementara itu, moratorium yang berkuatkuasa pada 1 April, menyaksikan lebih 90 peratus peminjam memanfaatkan bantuan berkenaan dan setakat 31 Julai, berjumlah sehingga RM66.6 bilion.

Daripada jumlah itu, RM23.3 bilion telah dimanfaatkan oleh sektor perniagaan manakala sejumlah RM43.3 bilion oleh rakyat.

Pembayaran semula secara fleksibel itu akan berakhir pada 30 September, 2020 tetapi institusi perbankan dijangka menyediakan peminjam yang terjejas dengan cara lain atau bantuan bersasar.

“Bank-bank telah lama menyokong para pelanggan dan mereka tahu kekuatan pelanggan masing-masing. Mereka juga boleh menyesuaikan produk kewangan mengikut keserasian bagi membolehkan pelanggan terus berdaya maju,” kata beliau dalam taklimat kepada editor kanan pada Khamis.

Sehubungan itu, Nor Shamsiah menggesa PKS, tulang belakang ekonomi untuk menghubungi bank masing-masing dan mengadakan perbincangan,

Sebagai contoh, beliau berkata pandemik yang berlaku sekarang ini telah memberi peluang kepada mereka yang bergiat dalam sektor penjagaan kesihatan untuk menghasilkan alat pelindung diri bagi meningkatkan perniagaan mereka.

Bagaimanapun, beliau menegaskan logistik turut memainkan peranan penting bagi mempercepatkan proses penghantaran.

Untuk suku kedua sahaja, bank telah menyediakan sokongan kewangan kepada perniagaan pada kadar yang rendah, mengagihkan sekitar RM181 bilion dengan RM56 bilion untuk PKS.

Sementara itu, ketika mengumumkan data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua, gabenor berkata, berkuatkuasa 1 September, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) akan mula menawarkan penyelesaian khusus bagi membantu PKS, termasuk PKS mikro untuk menguruskan hutang mereka dan mempromosikan pengurusan kewangan yang mantap.

Ini berikutan pemindahan fungsi Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil (SDRS) daripada BNM kepada AKPK.

“Dengan pemindahan ini, AKPK akan bertindak sebagai platform sehenti untuk kedua-dua individu dan PKS yang mencari perkhidmatan penyusunan semula hutang serta pendidikan dan nasihat kewangan,” kata Nor Shamsiah.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

AKPK: 88 peratus pilih tangguh bayar balik pinjaman bank

KUALA LUMPUR, 3 JULAI: Sebanyak 88 peratus atau 2,342 daripada 2,661 responden undian dalam talian yang dijalankan oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) memilih untuk mengambil moratorium atau penangguhan bayaran balik kewangan yang diperkenalkan oleh Bank Negara.

Ketua Unit Pembangunan Modul Jabatan Pendidikan Kewangan AKPK Nirmala Supramaniam berkata daripada jumlah yang memilih moratorium itu, 48 peratus atau 1,124 responden mahu mewujudkan simpanan waktu kecemasan.

“Ada juga yang mengambil moratorium ini untuk menggunakan duit tersebut membeli keperluan harian 21 peratus (491), pelaburan 16 peratus (375), membuat pinjaman yang lebih rendah 11 peratus (258) dan empat peratus (94) tiada perancangan.

“Bagaimanapun, undian ini tidak mengambarkan keseluruhan situasi sebenar kerana ia hanya undian secara rawak yang dilakukan dalam talian melalui Faceboook AKPK dan microsite AKPK, #askAKP dari April hingga Mei lepas,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program Ruang Bicara, terbitan Bernama TV malam tadi.

Dalam pada itu, Nirmala berkata kajian AKPK turut mendapati tahap tekanan kewangan meningkat sebanyak 35 peratus dalam kalangan golongan yang bekerja ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini.

Katanya, perkara itu berlaku kerana PKP dan pandemik Covid-19 adalah situasi luar jangka dan ramai yang tidak bersedia daripada segi simpanan wang untuk kecemasan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pascamoratorium: AKPK sedia khidmat nasihat bayar semula hutang

KUALA LUMPUR, 20 JUN: Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bersedia memberi khidmat nasihat serta penjadualan semula hutang kepada individu yang berdepan masalah pembayaran hutang pascamoratorium.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat AKPK Mohamad Khalil Jamaldin berkata agensi itu bersedia membantu mereka yang masih terkesan dari segi kewangan apabila pelaksanaan moratorium tersebut tamat pada 30 September ini.

“Bagi golongan yang pendapatannya tidak terjejas tetapi memilih untuk menerima moratorium dijangka tidak mempunyai masalah untuk membayar semula pinjaman setelah tamat tempoh moratorium.

“Namun bagi mereka yang masih terkesan dari segi kewangan dan menempuh saat sukar, diseru agar mendapatkan bantuan awal dengan menghubungi institusi kewangan masing-masing atau AKPK,” katanya dalam kenyataan hari ini.

AKPK turut menggariskan sembilan panduan bagi membantu mereka yang berkenaan membuat persediaan menghadapi cabaran kewangan pascamoratorium, antaranya bersedia dari segi mental dan emosi bahawa tiada lagi penangguhan bayaran selepas 30 September ini; tidak menunggu saat akhir dengan merancang awal pembayaran dan mengetahui ansuran bulanan terkini.

Mereka juga disaran menyemak semula kedudukan kewangan terkini; mengkaji semula bajet bulanan; menjana pendapatan baharu; mempelajari kemahiran baharu; meneroka pakej insentif Covid-19 dan tidak terjebak dalam skim penipuan kewangan.

Bagi mereka yang berminat mengetahui tip terkini pengurusan kewangan berhemat serta pembelajaran pengurusan kewangan dalam talian, bolehlah melayari laman sesawang power.akpk.org.my atau media sosial AKPK seperti Facebook, Twitter dan Instagram.

Bagi yang ingin mendapatkan bantuan, AKPK boleh dihubungi menerusi talian khidmat pelanggan 03-2616 7766 atau melalui laman web www.akpk.org.my serta pautan bit.ly/AKPKdmp2020.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Berhati-hati dengan individu dakwa ejen AKPK pihak ketiga

KUALA LUMPUR, 17 MEI: Penyedia perkhidmatan kaunseling kewangan dan pengurusan hutang, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) mengingatkan orang ramai agar tidak ditipu oleh individu yang mendakwa sebagai ejen pihak ketiga.

Dalam kenyataan, AKPK berkata ia tidak pernah melantik ejen pihak ketiga atau mengenakan bayaran untuk perkhidmatannya, berikutan semua individu boleh datang terus ke AKPK untuk mendapatkan perkhidmatan kaunseling kewangan dan pengurusan hutang secara percuma.

“Jika sesiapa didekati oleh individu yang mendakwa ejen AKPK, menawarkan perkhidmatan dengan bayaran, berwaspada bahawa individu tersebut adalah ejen palsu yang tidak mempunyai kuasa untuk bertindak bagi pihak agensi.

“Jika sesiapa menghadapi masalah kewangan, misalnya, rumah akan dilelong, kereta akan ditarik, jangan percaya pihak ketiga yang mendakwa mewakili AKPK dengan janji untuk menyelesaikan masalah anda dengan bayaran. Perkhidmatan kami adalah percuma untuk semua individu,” katanya.

-BERNAMA