Categories
SELANGOR

‘Ibu Reda Azrul Pergi, Moga Yon Bersemadi Tenang’

perajurit 2

KLANG 5 MAC : Saya reda beliau pergi. Semoga Yon bersemadi dengan tenang, kata Saadiah Mohd Amin ibu kepada Lans Koperal Mohd Azrul Tukiran.

Mohd Azrul,27, atau lebih mesra dipanggil Ayon oleh keluarganya terkorban dalam kejadian serangan hendap sekumpulan lelaki bersenjata di Kampung Seri Jaya, Simunul, Semporna, Sabah.

Saadiah,60, berkata kejadian yang berlaku sememangnya tidak mungkin dapat dilupakan oleh ahli keluarganya.

?Ayon pernah kata, dia kalau boleh nak buat mak ayah bangga dengannya. Sekarang cita-citanya dah tercapai.

?Bukan saja mak ayah, malah dia buat satu Malaysia bangga dengannya. Cuma bezanya sekarang dia dah tiada,” katanya ketika ditemui.

Anak ke enam daripada tujuh adik beradik itu mula menyertai Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau pada 2006.

Mohd Azrul antara anggota polis yang terkorban dalam serangan hendap kumpulan bersenjata di perkampungan air itu pada jam 8 malam, sabtu lepas.

Saadiah menambah, Mohd Azrul ada menelefon memaklumkan beliau akan menyertai operasi itu.

“Masa itu saya sudah tidak senang hati, tapi apakan daya itu tugas beliau.

“Arwah memang minat jadi anggota pasukan keselamatan lebih-lebih lagi bapanya seorang bekas askar.

“Nampaknya hajat arwah untuk bertunang dengan pilihannya seorang jururawat hujung tahun ini tidak kesampaian,” katanya dengan nada sebak ketika menerima kunjungan Exco Kebajikan Selangor, Rodziah Ismail.

perajurit 1

Rodziah turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada keluarga selepas meluangkan masa bertemu keluarga Mohd Azrul kira-kira setengah jam.

Jenazah Azrul disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Rantau Panjang, Klang semalam.

“Saya hadir menyatakan takziah dan hormat kepada pejuang kita yang berani berjuang mempertahankan tanah air.

?Saya datang sebagai wakil Kerajaan Negeri, Menteri Besar akan membuat pengumuman untuk menyediakan satu tabung khas esok, jadi saya tidak mahu mendahuluinya,” kata Rodziah.

Selain Azrul, turut terkorban Supritendan Ibrahim Lebar, 52, dari Cawangan Khas Bukit Aman, Sarjan Abdul Azis Sakirun, 48, (Batalion 14 PGA) Koperal Salam Togiran, 42, (Cawangan Pengangkutan Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau), Asisten Supritendan Michael Padel, 36 (Ketua Cawangan Khas Polis Daerah Semporna), Sarjan Baharin Hamid, 49, (Kontinjen Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah).

Manakala dalam kejadian di Lahad Datu, dua anggota komando VAT69 yang terkorban Sarjan Sabarudin Daud, 46, dan Asisten Supritendan Zulkifli Mamat, 29.