Categories
AGENDA NASIONAL

PGA rampas rokok seludup nilai RM500,000 di Tumpat

KOTA BHARU, 20 MAC: Batalion 9 Pasukan Gerakan Am merampas 67 kotak besar rokok putih bernilai RM500,000 dipercayai diseludup masuk dari negara jiran di Kampung Kok Bedullah, Tumpat, semalam.

Pegawai Pemerintah PGA9 Supt Nor Azizan Yusof berkata rampasan dilakukan selepas sepasukan anggota risikannya bersama anggota ronda cegah jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat terserempak dengan sebuah lori dalam keadaan mencurigakan, kira-kira 6 pagi.

Beliau berkata ketika cuba ditahan pemandu lori bertindak melarikan diri ke dalam semak berdekatan sebaik memberhentikan lori di tepi jalan.

“Anggota yang membuat pemeriksaan di situ gagal mengesan pemandu lori kerana dipercayai sudah melarikan diri dan meninggalkan kenderaannya.

“Pemeriksaan lanjut yang dijalankan di bahagian belakang lori menemukan 67 kotak besar yang setiap satunya berisi 50 karton rokok dipercayai buatan China,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Nor Azizan berkata kesemua rokok itu disyaki diseludup masuk melalui pangkalan haram untuk pasaran tempatan di negara ini.

“Kesemua barangan kes iaitu lori dan rokok dibawa ke Balai Polis Tumpat untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967.

“Jumlah keseluruhan rampasan termasuk kenderaan dianggarkan bernilai RM512,500,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Rokok, arak seludup nilai lebih RM1.8 juta dirampas

KUALA LUMPUR, 7 FEB: Pelbagai jenis arak dan rokok bernilai RM1.8 juta dirampas dalam beberapa serbuan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Sungai Besi, Puchong dan Muar semalam.

Komander PGA Briged Tengah ACP Muhammad Abdul Halim berkata dalam tiga serbuan di sekitar Sungai Besi dan Puchong pada pukul 5.30 petang, polis turut menahan enam orang terdiri daripada seorang lelaki tempatan, tiga lelaki dan dua wanita Myanmar, kesemuanya berusia antara 29 hingga 52 tahun.

“Dalam serbuan pertama sebanyak 7,956 tin bir dan 958 botol wiski dirampas manakala dalam serbuan ketiga pula polis merampas 240 tin bir dan 132 botol wiski.

“Dalam serbuan kedua sebanyak 3,182 tin bir dan 956 botol wiski selain 450 karton rokok pelbagai jenama membabitkan 90,000 batang rokok dirampas,” katanya satu dalam kenyataan semalam.

Di Muar pula, Muhammad berkata Cawangan Risik Batalion 6 Muar menyerbu sebuah premis di Bukit Gambir dan merampas 36 tong berisi 7,200 liter pati wiski dan 1,353 botol wiski pelbagai jenama.

Beliau berkata dalam serbuan kira-kira 7 malam itu, polis menahan lima lelaki tempatan dan empat lelaki Indonesia berusia 17 tahun hingga 50 tahun.

“Dengan penahanan suspek dan rampasan yang dibuat, polis percaya dapat melumpuhkan sindiket pengedaran minuman keras dan rokok tanpa cukai di sekitar Lembah Klang dan Muar,” katanya.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

52 suspek kes tembak PGA direman bawah SOSMA

KANGAR, 8 DIS: Seramai 52 suspek yang ditahan sebelum ini berhubung siasatan kes tembak sehingga mengorbankan seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di sempadan Malaysia-Thailand, direman 28 hari di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad berkata 22 suspek yang tamat tempoh reman disambung lagi hari ini manakala 30 orang akan direman esok di bawah akta SOSMA untuk siasatan lanjut.

“Seorang suspek pula dibebaskan dan akan menjadi saksi pendakwaan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di sini hari ini.

Beliau berkata kesemua 52 suspek berumur 20 hingga 65 tahun itu akan dituduh di bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan kerana melakukan jenayah terancang.

Mengenai tiga suspek warga Thailand yang ditahan di negara itu, Surina berkata pihaknya masih menunggu maklum balas daripada kerajaan Thailand supaya membenarkan polis membawa masuk suspek utama kes itu ke negara ini.

Beliau berkata terdapat beberapa lagi tangkapan akan dibuat bagi memastikan semua suspek terlibat dibawa ke muka pengadilan.

Pada 24 Nov, seorang anggota PGA, Sarjan Baharuddin Ramli, 54, terkorban manakala rakannya Sarjan Norihan a/l Tari, 39, cedera parah selepas berbalas tembakan dengan sekumpulan penyeludup, kira-kira 600 meter dari pos kawalan TS9 di Padang Besar.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Sarjan Norihan semakin pulih, pindah ke wad biasa

GEORGE TOWN, 30 NOV: Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarjan Norihan a/l Tari, 39, yang cedera akibat ditembak penyeludup Selasa lalu, telah dipindahkan ke wad biasa di Hospital Pulau Pinang (HPP) semalam selepas keadaan kesihatannya semakin baik.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Seri Abd Rahim Jaafar berkata Norihan telah dipindahkan ke wad biasa dari Unit Rawatan Rapi (ICU), namun masih berada di bawah pemantauan dan pemerhatian doktor pakar.

“Setakat ini, beliau masih belum boleh menerima pelawat kerana perlu banyak berehat dan doktor pakar masih membuat penilaian sama ada perlu melakukan pembedahan susulan untuk mengeluarkan satu lagi peluru.

“Saya difahamkan kedudukan peluru itu terlalu dekat dengan tulang belakangnya serta kemungkinan memberi kesan (bahaya) jika cuba dibuang,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Norihan, yang dipindahkan dari Hospital Tunku Fauziah (HTF) Kangar ke HPP, Rabu lalu, selamat menjalani pembedahan mengeluarkan dua daripada tiga butir peluru dalam badannya.

Dalam insiden pada jam 3.10 pagi Selasa itu, Norihan dan Sarjan Baharuddin Ramli, 54, berdepan kejadian berbalas tembakan dengan sekumpulan penyeludup di sempadan Malaysia-Thailand.

Badaruddin terbunuh manakala Norihan mengalami kecederaan parah. Kedua-dua mereka adalah anggota Batalion 3 (Senoi Praaq), Briged Utara, PGA, yang terlibat dalam Op Benteng.

– BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

18 suspek kes tembak anggota PGA direman

KANGAR, 25 NOV: Seramai 18 lelaki termasuk warga Thailand yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung insiden berbalas tembakan antara anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan penyeludup di sempadan Malaysia-Thailand semalam, direman bermula hari ini.

Tiga warga Thailand direman selama tujuh hari sehingga 1 Disember manakala 15 warga tempatan pula direman selama empat hari sehingga 28 November.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Majistret Kangar, Monica Joseph Gaisah.

Kesemua mereka berumur antara 19 hingga 37 tahun itu dikawal oleh polis dibawa ke bilik reman dalam keadaan bergari kira-kira pukul 8.50 pagi.

Dalam insiden awal pagi semalam, Kpl Baharuddin Ramli, 54, terbunuh manakala rakannya Kpl Norihan a/l Tari, 39, cedera parah apabila berbalas tembakan dengan sekumpulan penyeludup di lokasi kejadian iaitu kira-kira 600 meter dari pos kawalan TS9 di Padang Besar, Perlis.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 302/307 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad ketika dihubungi berkata tangkapan kesemua 18 individu itu dilakukan di Perlis semalam, membabitkan dua siri tangkapan.

“Tangkapan pertama dilakukan pada 7 pagi manakala tangkapan kedua pada 9.30 pagi,” katanya.

Mendiang Baharuddin, daripada suku kaum Semelai meninggal dunia di tempat kejadian manakala rakannya Norihan menjalani rawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Empat lelaki disyaki edar air ketum campur ubat batuk ditahan

KOTA BHARU, 4 JAN: Empat lelaki termasuk tiga warga Thailand ditahan dalam dua serbuan berasingan di Rantau Panjang, Pasir Mas malam tadi dipercayai terlibat dalam pengedaran air ketum yang dicampur ubat batuk.

Pegawai Pemerintah Batalion Ke-7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) Superintendan Azhari Nusi berkata kesemua suspek berumur 22 hingga 50 tahun ditahan dalam operasi di sekitar Pasir Mas bermula jam 6.30 petang hingga 11.30 malam tadi.

Katanya ubat batuk, daun serta air ketum yang sudah dipaket untuk dijual yang dianggarkan bernilai lebih RM10,000 dirampas dalam operasi itu.

“Dalam serbuan pertama di Jalan Besar Rantau Panjang pada jam 6.45 petang semalam pihak kami berjaya menahan tiga lelaki Thailand dan berjaya merampas 82 botol ubat batuk (9.84 liter), 57 bungkus cecair kehitaman disyaki campuran air ketum dan ubat batuk (34.2 liter) dan satu jag berisi satu liter cecair kehitaman juga disyaki campuran ubat batuk dan air ketum.

“Serbuan kedua pula pasukan kami menahan seorang lelaki tempatan berumur 50 tahun selepas pemeriksaan di bawah rumahnya menemui sebanyak 216 botol mengandungi 23.76 liter cecair disyaki ubat batuk,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azhari berkata turut dirampas bersama tiga lelaki warga Thailand yang ditahan itu adalah wang tunai berjumlah RM607 dipercayai wang hasil jualan air ketum berkenaan.

“Siasatan yang dijalankan mendapati kesemua daun ketum yang diproses diperolehi dari Kedah. Air rebusan daun ketum yang dicampur dengan ubat batuk dijual kepada pelanggan dengan harga RM20 sebungkus,” katanya.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Belanjawan Pakatan: Tugas PGA dikaji, RELA bakal jadi polis

Belanjawan-Pakatan-Rakyat-2014KUALA LUMPUR 24 OKT : Belanjawan 2014 Pakatan Rakyat mencadangkan kajian dan penugasan semula Pasukan Gerakan Am (PGA) dan rizab bukan Polis sepeti RELA perlu beralih daripada tugas kepolisan atau diberi peluang untuk menjadi polis.

Belanjawan 2014 Pakatan Rakyat itu turut mencadangkan supaya kerajaan meningkatkan keupayaan penyiasatan polis dengan memperkasakan Jabatan Siasatan Jenayah membabitkan penambahan 1,000 Pegawai Penyiasat supaya mempunyai nisbah kes sebanyak 1:5.

Kerajaan juga perlu menubuhkan Suruhanjaya Bebas untuk Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang berkesan bagi menghilangkan keraguan rakyat berkenaan tanggungjawab serta komitmen polis terhadap perkhidmatan awam, penubuhan Unit Jenayah Terancang dengan anggota yang mencukupi bagi menangani jenayah dengan lebih berkesan.

PR juga menggesa kerajaan memberikan tumpuan kepada peningkatan sumber manusia, perlindungan dan penyampaian perkhidmatan polis dengan memaksimumkan fungsi teras juga bukan teras tugas mereka.

Pada masa sama, PR mencadangkan supaya cadangan Laporan Suruhanjaya DiRaja bagi penambahbaikan operasi dan pengurusan polis atau Laporan Dzaiddin diberikan perhatian serius.

Anggota polis yang mahir dan beruniform juga perlu dipindahkan daripada kerja pentadbiran kepada tugas polis sebenar, selain melantik orang awam untuk memenuhi fungsi pentadbiran.

Mengikut rekod, polis tidak memerlukan peningkatan 30 peratus tenaga kerja yang dicadangkan Kementerian Dalam Negeri untuk tambahan kira-kira 40,000 pegawai kerana negara mempunyai seorang pegawai polis untuk setiap 270 rakkyat ( 1:270) yang hampir dengan nisbah disyorkan Interpol iaitu 1:250, sejak 2011.

-NFN-