Categories
AGENDA NASIONAL

Pasukan khas ditubuh hantar segera alat kesihatan ke negeri kritikal

SHAH ALAM, 14 SEPT: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menubuhkan pasukan khas bagi menghantar segera bekalan peralatan kesihatan ke negeri yang merekodkan peningkatan kes Covid-19.

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata langkah itu bagi membantu beberapa negeri yang hospitalnya tidak mempunyai kemudahan lengkap seperti katil dilengkapi oksigen.

“Kita akan tubuhkan pasukan penghantaran segera di mana modular unit rawatan rapi (ICU) dan oksigen dapat dihantar secepat mungkin.

“Ini sebagai persediaan sekiranya berlakunya peningkatan kes di negeri lain (luar Lembah Klang) susulan kemunculan varian baru,” katanya ketika sesi Pertanyaan Menteri pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Semporna) berhubung langkah kerajaan mengatasi masalah kekurangan kemudahan kesihatan seperti oksigen di beberapa negeri termasuk Sabah.

Sementara itu, Khairy berkata KKM menyasarkan nisbah katil hospital kepada satu ribu penduduk pada kadar 2.08 pada akhir Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

Menurutnya, setakat tahun lalu nisbahnya adalah 2.01 di mana bilangan katil meningkat daripada 55,952 katil pada 2016 kepada 65,508 katil pada 2020.

“Kerajaan akan meneruskan usaha menambah bilangan katil menerusi pembinaan hospital baharu dan menaik taraf hospital serta fasiliti sedia ada.

“Tumpuan diberikan kepada kawasan di mana hospital sedia ada mempunyai kadar penggunaan katil yang tinggi,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Pasukan khas, penerima Skim Peduli Sihat dapat peruntukan

SHAH ALAM, 1 APRIL: Pasukan Khas Covid-19 negeri ini menerima peruntukan RM50,000 melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin 2.0 yang diumumkan Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pihaknya menghargai peranan pasukan khas yang aktif memerangi pandemik ini.

“Aspek penting dalam memerangi Covid-19 adalah kesihatan rakyat. Oleh itu, RM2 juta akan dibelanjakan untuk membekalkan topeng muka, cecair pembasmi kuman dan sarung tangan,” kata beliau ketika mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin 2.0 di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar di sini hari ini.

Amirudin turut mengumumkan peruntukan RM3 juta kepada stesen kuarantin yang menempatkan individu dalam pengawasan bagi kluster tabligh dan yang baru tiba dari luar negara.

“Kerajaan Negeri juga bersetuju menambah baik Skim Peduli Sihat dengan peruntukan RM42.5 juta bagi memberi manfaat kepada 85,000 penerima,” katanya.