Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Tiga kes baharu Covid-19 di Selangor, Ampang bebas kes aktif

SHAH ALAM, 24 JULAI: Tiga individu positif Covid-19 di Selangor hari ini selepas tiada kes direkodkan semalam.

Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) memaklumkan jumlah keseluruhan kes kini sebanyak 2,115.

Pasukan itu turut mengingatkan masyarakat terus patuhi tatacara operasi piawai (SOP) demi membendung penularan pendemik ini.

“Warga Selangor perlu diingatkan bahawa pemakaian pelitup muka sudah lama diwajibkan oleh Kerajaan Negeri sebagai langkah membanteras penyebaran Covid-19.

“Maka jadikan norma baharu ini sebagai rutin harian anda pada setiap masa. Jangan disebabkan anda, negara lumpuh semula,” tulis pasukan itu di Facebook.

Dalam perkembangan sama, STFC memaklumkan mukim Ampang kini bebas kes aktif sementara mukim Bukit Raja pula mengesan kes aktif baharu.

“Daerah Hulu Langat kini menjadi zon hijau manakala daerah Petaling menjadi zon kuning,” katanya.

Petang tadi, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan 21 kes baharu Covid-19 membabitkan kes import dan penularan dalam negara.

Categories
AGENSI SELANGOR

Empat kes baharu di Selangor, tiada penularan tempatan

SHAH ALAM, 20 JULAI: Selangor merekodkan empat kes baharu Covid-19 hari ini membabitkan kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

“Jangkitan import ini melibatkan dua kes pengembara dari Filipina manakala Rusia dan India masing-masing satu,” maklum Bilik Gerakan Negeri Selangor (BGNS).

Perkembangan itu menjadikan jumlah keseluruhan kes di Selangor sebanyak 2,107 setakat ini.

Bilangan kes sembuh dan dibenarkan keluar hospital pula sebanyak 1,888 manakala angka korban akibat pandemik itu kekal 24 orang.

Sementara itu, infografik dikongsikan Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) menunjukkan dua daerah di negeri masih berstatus zon kuning iaitu Sepang yang merekodkan 13 kes aktif manakala Gombak (satu).

“Taburan kes aktif sama seperti semalam dengan kes aktif juga masih lagi di paras dua angka.

“STFC konsisten menegaskan bahawa mematuhi amalan norma bahru serta saling berpesan adalah sangat kritikal untuk menghalang wabak Covid-19. Jangan cuai!,” katanya menerusi Facebook.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Covid-19: Penduduk Selangor digesa terus waspada, patuhi SOP

SHAH ALAM, 14 JULAI: Rakyat negeri ini dinasihat tidak bersikap sambil lewa dengan terus mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) walaupun kes Covid-19 semakin menurun.

Pasukan Petugas Covid-19 Selangor (STFC) memaklumkan hanya terdapat satu kes baharu dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan 2,093 kes.

“Kadar kes baharu rendah sejak kebelakangan ini bukan kayu ukur yang mutlak bagi keselamatan nyawa. Amalkan penjarakan fizikal, jaga kebersihan, pakai pelitup muka dan gunakan SELangkah pada setiap masa,” kata pasukan itu menerusi Facebook.

STFC berkata zon kes aktif juga kekal seperti semalam iaitu di Sepang membabitkan dua kawasan, Labu dengan 10 kes dan Dengkil (satu).

Bagaimanapun, pasukan itu menggesa pelaksanaan SOP dan amalan norma baharu dalam kehidupan harian kerana potensi ledakan Covid-19 masih wujud serta memerlukan sikap berhati-hati.