Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Hulu Kelang catat satu kes Covid-19, Gombak kini zon kuning

SHAH ALAM, 17 OGOS: Daerah Gombak kini berstatus zon kuning selepas mukim Hulu Kelang mencatatkan satu kes aktif Covid-19 hari ini.

Pasukan Petugas Covid-19 Selangor (STFC) memaklumkan pertambahan kes baharu itu menyaksikan daerah Gombak merekodkan 263 kes setakat ini.

“Sasaran #SelangorBebasCOVID19 mampu dicapai apabila komitmen dilaksanakan bersama.

“Jadi mari kita jaga penjarakan fizikal satu meter, basuh tangan dengan kerap dan guna Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) untuk daftar pengunjung di premis,” katanya menerusi Twitter.

Sebelum ini, hanya daerah Hulu Langat berada di zon kuning dengan satu kes Covid-19 yang dirawat menjadikan keseluruhan 634 kes.

Selangor merekodkan 2,150 kes keseluruhan setakat ini dan jumlah kematian kekal 24 orang.

Malaysia merekodkan 12 kes baharu Covid-19 hari ini membabitkan 10 penularan tempatan dan dua jangkitan dari luar negara.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan berkata satu kes baharu direkodkan di Selangor hari ini dikesan menerusi saringan bergejala di Hospital Sungai Buloh.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Covid-19: Selangor catat kes tunggal babitkan rakyat tempatan

SHAH ALAM, 17 OGOS: Selangor mencatatkan satu kes positif Covid-19 hari ini membabitkan warganegara Malaysia menerusi saringan bergejala di Hospital Sungai Buloh.

Perkembangan itu menyaksikan aliran kes kembali menurun berbanding lima kes membabitkan jangkitan dari luar negara semalam.

“Jangan meninggalkan norma baharu dan rekod kemasukan pengunjung ke premis dengan Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah). Jangan culas!” kata Pasukan Petugas Covid-19 Selangor (STFC) menerusi Twitter hari ini.

Pertambahan kes tunggal itu menjadikan jumlah keseluruhan di Selangor adalah 2,150.

Sebanyak 12 kes baharu positif Covid-19 direkodkan hari ini membabitkan 10 penularan tempatan dan dua jangkitan dari luar negara.

Semua kes tempatan berkenaan membabitkan warganegara Malaysia manakala kes import adalah bukan warganegara dari Syiria dan Filipina di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

STFC: Selangor ada potensi bebas Covid-19

SHAH ALAM, 11 OGOS: Selangor berupaya bebas daripada Covid-19 meskipun pernah menjadi negeri paling teruk terjejas wabak itu.

Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) berkata ia berdasarkan corak kes jangkitan kebelakangan ini yang merekodkan sifar kes dalam tempoh empat hari berturut-turut dari 3 hingga 6 Ogos lalu.

“Pernah menjadi negeri yang paling terjejas dengan Covid-19, pencapaian ini merupakan prestasi terbaik Selangor dan satu kesungguhan yang menginspirasikan dalam perlawanan menggempur wabak,” tulisnya di Facebook.

Bagaimanapun, pasukan itu terus mengingatkan masyarakat supaya mematuhi norma baharu selain menggunakan aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) setiap kali memasuki premis.

“Inilah (patuh norma baharu) ‘vaksin’ kita, inilah senjata kita,” katanya lagi.

Selangor mencatat 11 kali sifar kes Covid-19 sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada 10 Jun lalu.

Hari ini, Selangor merekodkan satu kes baharu membabitkan pengembara yang pulang dari New Zealand sekali gus menjadikan jumlah kes sebanyak 2,139.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Covid-19: Kali ke-39 Selangor tiada kes penularan tempatan

SHAH ALAM, 11 OGOS: Situasi Covid-19 di Selangor terus menunjukkan perkembangan positif apabila mencatatkan sifar kes penularan tempatan buat kali ke-39 sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut data Bilik Gerakan Negeri Selangor (BGNS) hanya satu kes baharu direkodkan hari ini membabitkan pengembara yang pulang dari New Zealand.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes di negeri ini sebanyak 2,139 manakala empat kes aktif dengan kebolehjangkitan.

“Tiada kes pulih dan dibenarkan keluar hospital menjadikan jumlah kes sembuh sebanyak 1,905 dan angka kematian kekal 24 orang,” menurut data berkenaan.

Tiga daerah masih berstatus zon kuning susulan terdapat kes aktif iaitu Sepang (dua) manakala Hulu Langat dan Petaling masing-masing satu.

Sementara itu, Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) menggesa orang ramai supaya sentiasa mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dalam usaha membendung pandemik itu.

“STFC ingin mengingatkan bahawa norma baru (seperti) penjarakan fizikal, basuh tangan secara kerap, gunakan SELangkah (Langkah Masuh Dengan Selamat) ketika masuk premis bukanlah satu pilihan tetapi keperluan yang perlu dipatuhi,” katanya di Facebook.

Hari ini, Malaysia merekodkan sembilan kes baharu membabitkan lima kes import dan empat penularan tempatan.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Selangor perkenal SELangkad, khusus untuk OKU

SHAH ALAM, 11 OGOS: Selangor memperkenalkan kad SELangkad (Kad Selamat Melangkah) iaitu sistem pendaftaran masuk bagi orang kelainan upaya (OKU) ke premis perniagaan atau jabatan kerajaan.

Pengerusi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata penjaga premis hanya perlu meminta kad untuk mengimbas kod QR sekali gus memudahkan urusan pengunjung dalam kalangan OKU.

“Alhamdulillah atas komitmen kami, STFC perkenal SELangkad untuk mencapai UHC (perlindungan kesihatan menyeluruh) dengan memastikan tiada sesiapa ditinggalkan,” katanya menerusi Twitter hari ini.

Dalam perkembangan sama laman Facebook SELangkah berkata kad tersebut diberikan secara percuma kepada golongan OKU di Selangor.

“Hari ini SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat) maju setapak lagi menerusi pengenalan kad SELangkad yang merupakan kad fizikal dengan kod QR tersendiri untuk kegunaan warga OKU.

“Mereka tidak perlu lagi melakukan proses mengimbas kod QR yang sukar dilakukan terutama melibatkan OKU penglihatan,” katanya.

Pada 4 Mei lalu Selangor memperkenalkan aplikasi SELangkah bagi memudahkan proses menjejak kontak jika berlaku jangkitan wabak Covid-19.

Pemilik premis hanya perlu mencetak kod QR melalui portal selangkah.mbiselangor.com.my atau selangkah.my dan mempamerkannya untuk diimbas pengunjung.

SELangkah hanya memerlukan maklumat nama dan nombor telefon tanpa mendedahkan data peribadi individu.

Hubungi skuad SELangkad di talian 014-3025655 untuk maklumat lanjut.

Categories
AGENSI SELANGOR

Selangor catat empat kes baharu Covid-19, satu penularan tempatan

SHAH ALAM, 10 OGOS: Sebanyak empat kes baharu Covid-19 direkodkan di Selangor hari ini menjadikan keseluruhan 2,138 kes, menurut Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC).

Tiga daripada kes baharu adalah warga asing yang mendapat jangkitan dari luar manakala baki penularan tempatan membabitkan saringan kemasukan kerja di mukim Cheras.

“Jadikan norma baharu sebagai rutin harian. Masukkan dalam perancangan dan daftar premis anda (rumah atau premis komersil) dengan SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat),” tulisnya di Facebook.

Dalam perkongsian berasingan, pasukan itu memaklumkan Hulu Langat memasuki zon kuning susulan pertambahan satu kes aktif di mukim Cheras.

Sementara itu, mukim Bukit Raja di Petaling bertukar status kepada zon hijau apabila tiada kes aktif dikesan di kawasan terbabit, menjadikan jumlah kes aktif di Selangor setakat ini sebanyak empat kes.

Hari ini Malaysia merekodkan 11 kes baharu Covid-19 membabitkan enam penularan tempatan dan lima jangkitan import.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Patuhi norma baharu ketika cuti hujung minggu, elak penularan Covid-19

SHAH ALAM, 8 OGOS: Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) sekali lagi mengingatkan orang awam supaya patuh norma baharu ketika cuti hujung minggu ini bagi mengekang penularan Covid-19.

Pasukan itu juga mengingatkan orang awam mengimbas kod QR Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) di setiap premis yang dikunjungi selain memakai pelitup muka, menggunakan cecair pembasmi kuman dan amalkan penjarakan fizikal.

“Hari ini hanya satu kes dilaporkan membabitkan kes import dari Jepun. Ini menjadikan keseluruhan sebanyak 2,133 kes.

“Bilangan kes aktif juga kurang dari lima dalam tempoh lima hari berturut-turut,” katanya melalui hantaran di Facebook hari ini.

Sementara itu Bilik Gerakan Covid-19 negeri melaporkan hari ini merupakan kali ke-37 Selangor mencatatkan sifar kes penularan tempatan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksana bermula 18 Mac lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah petang tadi memaklumkan terdapat tujuh kes baharu dengan satu darinya penularan tempatan menjadikan keseluruhan sebanyak 9,070 kes.

Categories
AGENSI SELANGOR

STFC: Imbas SELangkah guna Maybank QRPay

SHAH ALAM, 7 OGOS: Pengguna aplikasi Maybank2U kini boleh mengimbas kod QR Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) menggunakan Maybank QRPay.

Pasukan Petugas Covid-19 Selangor (STFC) berkata perkembangan itu memudahkan urusan pengguna di semua premis.

“Muat turun dan aktifkan Maybank QRPay hari ini juga!” tulisnya di Twitter.

Aplikasi SELangkah yang digunakan di 77,470 premis dimanfaatkan oleh 6.15 juta individu setakat 15 Julai lalu, menghampiri jumlah keseluruhan rakyat Selangor.

Kerajaan mewajibkan pengunaan MySejahtera di setiap premis seluruh negara melalui Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) tetapi membenarkan aplikasi menjejak kontak lain terus digunakan.

Langkah itu susulan Kementerian Kesihatan berdepan masalah mengesan kontak rapat di premis yang tidak mempunyai rekod maklumat pelanggan sekiranya ada kes positif.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Enam kes baharu Covid-19 di Selangor hari ini – STFC

SHAH ALAM, 1 OGOS: Kes Covid-19 di Selangor melonjak kepada 2,129 kes selepas enam kes baharu dilaporkan hari ini.

Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) berkata lima kes import membabitkan empat warganegara manakala satu kes penularan tempatan dari Kluster Bukit Tiram.

“Jadikan kesempatan cuti ini untuk saling berpesan sesama keluarga kepentingan mengamalkan norma baharu dalam rutin kehidupan.

“Sesiapa memiliki ibu bapa berusia gunakan ruang ini untuk menerangkan tahap risiko jangkitan dan kepentingan berdisiplin mengikut SOP (tatacara operasi piawai),” katanya di Facebook hari ini.

Sementara itu menurut Bilik Gerakan Covid-19 dua kes import mendapat jangkitan dari India manakala masing-masing satu kes dari Emiriah Arab Bersatu, Jepun dan Switzerland.

Hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan terdapat pertambahan sembilan kes menjadikan keseluruhan kes 8,985 semuanya.

Tujuh daripadanya merupakan kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Categories
AGENSI SELANGOR

Selangor catat satu kes baharu Covid-19, babit warganegara

SHAH ALAM, 31 JULAI: Satu kes baharu Covid-19 yang dilaporkan di Selangor hari ini dikesan melalui saringan pra-pembedahan di sebuah pusat perubatan.

Menurut Bilik Gerakan Covid-19 kes itu direkodkan di Sepang menjadikan daerah berkenaan mencatatkan empat kes aktif.

Selangor setakat ini mencatatkan tujuh kes aktif dengan tiga lagi direkodkan di Hulu Langat, Petaling dan Gombak.

Sementara itu Pasukan Petugas Covid-19 Selangor (STFC) memaklumkan kes berkenaan membabitkan warganegara.

“Sempena sambutan Aidiladha kali ini, pastikan anda sentiasa mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) bagi mengelakkan kewujudan kluster baharu,” katanya di Facebook.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan terdapat pertambahan 12 kes baharu hari ini dengan tujuh penularan tempatan.

Categories
AGENSI SELANGOR

Covid-19: Tiada kes baharu di Selangor, masyarakat digesa pakai pelitup muka

SHAH ALAM, 26 JULAI: Tiada kes baharu Covid-19 direkodkan di Selangor hari ini menjadikan jumlah kes di negeri ini 2,118 semuanya, menurut data Bilik Gerakan Negeri Selangor (BGNS).

Menurut infografik dikongsikan BGNS itu lagi bilangan kes sembuh pula1,892 dan angka kematian kekal 24 orang.

“Susulan 14 kes aktif dikesan di Selangor setakat ini, empat daerah masih diklasifikasikan sebagai zon kuning iaitu Sepang (11) manakala Hulu Langat, Petaling dan Gombak (satu),” maklum BGNS.

Sementara itu, Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) terus menggesa masyarakat supaya sentiasa memakai pelitup muka ketika berkunjung ke tempat awam bagi mengelak penularan wabak.

“Pelitup muka wajib dipakai di Selangor. Begitu juga menjaga penjarakan fizikal dan kebersihan serta rekod kehadiran pengunjung premis menggunakan SELangkah pada setiap masa.

“Jadikan (pemakaian pelitup muka) sebagai rutin harian. Jangan disebabkan anda, negara lumpuh semula,” tegas pasukan itu.

Categories
AGENSI SELANGOR

Tiga kes baharu Covid-19 di Selangor, satu kes import

SHAH ALAM, 25 JULAI: Tiga kes baharu Covid-19 di Selangor menjadikan keseluruhan 2,118 kes sehingga 12 tengah hari tadi.

Jabatan Kesihatan Selangor memaklumkan dua daripadanya membabitkan penularan tempatan manakala satu kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

“Dua kes tempatan masing-masing satu di mukim Cheras iaitu saringan kemasukan kerja manakala mukim Dengkil (saringan kontak rapat kluster rumah kongsi).

“Tiada kes pulih dan dibenarkan keluar hospital serta tiada kes kematian dicatatkan,” kata jabatan itu di Facebook.

Sementara itu, Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) mengingatkan masyarakat supaya terus mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

“Pelitup muka sudah lama diwajibkan oleh Kerajaan Selangor sebagai langkah membanteras penyebaran virus Covid-19.

“Jadikan sebagai rutin harian anda pada setiap masa. Jangan disebabkan anda, negara lumpuh semula,” tulis pasukan itu.

Kes harian Covid-19 di Selangor mencatatkan satu angka selama 35 hari berturut-turut sejak 21 Jun lalu.