Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Bilik Gerakan Covid-19 Selangor pantau wabak menyeluruh

SHAH ALAM, 22 JAN: Bilik Gerakan Covid-19 Selangor akan memulakan operasinya di Pusat Operasi C5i Smart Selangor (SSOC) bagi pemantauan wabak dengan lebih sistematik.

Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) berkata pusat kawalan itu akan merancang pengurusan bantuan, menyokong operasi kawalan bersama agensi Persekutuan termasuk memantau kes pandemik di negeri ini.

“Pusat kawalan menelan belanja RM6 juta mempunyai keupayaan operasi 24 jam lengkap dengan jaringan internet berkelajuan tinggi.

“Ia turut dilengkapi pusat data hibrid dan sistem komunikasi berpusat serta Smart Data Platform yang dilengkapi dengan keupayaan analisis data raya,” kata agensi itu menerusi kenyataan.

Mengulas lanjut, SSDU memaklumkan SSOC siap dibangunkan pada Disember tahun lalu di Dewan Jubli Perak Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

Menurutnya, ia merangkumi lima fungsi bersepadu iaitu arahan, kawalan, komunikasi, komputer, kolobrasi dan kerjasama.

“Pembinaan SSOC ini merupakan salah satu daripada 60 inisiatif di bawah program Smart Selangor yang dibangunkan SSDU bagi menjadikan Selangor sebagai negeri pintar berdaya huni di rantau Asean menjelang 2025,” katanya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Bilik Gerakan Covid-19 lanjut waktu operasi hingga 7 malam

SHAH ALAM, 3 OKT: Bilik Gerakan Covid-19 Selangor dilanjutkan waktu operasi hingga jam 7 malam, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata keputusan itu susulan perkembangan Covid-19 yang membimbangkan termasuk jumlah kes harian di negeri ini mencapai dua angka selama lima hari berturut-turut.

“Justeru, operasi bilik gerakan di Bilik Gerakan MTES, Bangunan SUK Selangor akan dilanjutkan sehingga jam 7 malam berbanding dengan hanya pada waktu bekerja sebelum ini.

“Ini juga akan membolehkan Kerajaan Negeri membuat pantauan serta meneliti perkembangan terkini Covid-19,” katanya dalam kenyataan semalam.

Terdahulu, Amirudin mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Selangor (MKN) secara dalam talian.

Katanya, beliau turut mengadakan mesyuarat bersama Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) kelmarin bagi mendapatkan gambaran jelas dan tepat.

“Gambaran itu bagi merangka pendekatan yang terbaik sebagai persediaan menghadapi sebarang gelombang ketiga penularan wabak ini.

“Kerajaan Negeri yakin langkah-langkah bersesuaian akan mengawal situasi ketika ini daripada bertambah buruk,” katanya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

12 kes Covid-19 di Selangor dalam seminggu, keseluruhan 2,130

SHAH ALAM, 2 OGOS: Sebanyak 12 kes positif Covid-19 dilaporkan di Selangor sejak 27 Julai lalu hingga hari ini.

Menurut Bilik Gerakan Covid-19 negeri dari jumlah terbabit 10 adalah kes import manakala dua penularan tempatan.

Dalam tempoh sama sembilan pesakit disahkan sembuh selain tiada kematian direkodkan menjadikan jumlah kumulatif kekal 24 kes.

Turut dilaporkan satu kes import dari Filipina hari ini menjadikan keseluruhan sebanyak 2,130 kes.

Sementara itu Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) mengingatkan warga Selangor yang kembali ke negeri ini selepas pulang bercuti supaya peka dengan norma baharu serta tatacara operasi piawai (SOP).

“Terdapat segelintir kecil daripada kita yang bersikap tidak acuh dan sarkastik dengan pesanan orang lain tentang pematuhan SOP. Berikan sokongan membina dan positif kepada mereka yang menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Dua kes baharu Covid-19 di Selangor libat kes import

SHAH ALAM, 29 JULAI: Selangor kembali mencatat kes baharu Covid-19 hari ini dengan dua kes import berbanding sifar semalam.

Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) memaklumkan pertambahan kes itu menjadikan jumlah keseluruhan di negeri ini sebanyak 2,121 sehingga jam 12 tengah hari tadi.

“Kes baharu di Selangor yang dikesan semuanya merupakan kes import dan tidak melibatkan jangkitan tempatan,” kata agensi itu menerusi Twitter.

Sementara itu Bilik Gerakan Covid-19 Selangor melaporkan dua kes import berkenaan berpunca dari Gambia dan Ukraine.

Pada masa sama, terdapat empat daerah masih mencatatkan zon kuning dengan kes Covid-19 yang masih aktif iaitu Sepang dengan tiga kes diikuti Hulu Langat, Petaling dan Gombak masing-masing satu.

Categories
AGENSI SELANGOR

Empat kes baharu di Selangor, tiada penularan tempatan

SHAH ALAM, 20 JULAI: Selangor merekodkan empat kes baharu Covid-19 hari ini membabitkan kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

“Jangkitan import ini melibatkan dua kes pengembara dari Filipina manakala Rusia dan India masing-masing satu,” maklum Bilik Gerakan Negeri Selangor (BGNS).

Perkembangan itu menjadikan jumlah keseluruhan kes di Selangor sebanyak 2,107 setakat ini.

Bilangan kes sembuh dan dibenarkan keluar hospital pula sebanyak 1,888 manakala angka korban akibat pandemik itu kekal 24 orang.

Sementara itu, infografik dikongsikan Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) menunjukkan dua daerah di negeri masih berstatus zon kuning iaitu Sepang yang merekodkan 13 kes aktif manakala Gombak (satu).

“Taburan kes aktif sama seperti semalam dengan kes aktif juga masih lagi di paras dua angka.

“STFC konsisten menegaskan bahawa mematuhi amalan norma bahru serta saling berpesan adalah sangat kritikal untuk menghalang wabak Covid-19. Jangan cuai!,” katanya menerusi Facebook.

Categories
AGENSI SELANGOR

Covid-19: Satu kes import dari Sudan di Selangor

SHAH ALAM, 8 JULAI: Hanya satu kes dilaporkan di Selangor hari ini membabitkan kes import dari Sudan, menurut data Bilik Gerakan Covid-19 Selangor.

Penambahan itu menjadikan keseluruhan sebanyak 2,066 kes dengan lapan kes aktif manakala kematian setakat ini kekal 24.

Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) pula memaklumkan tiada kes dalam kalangan komuniti direkodkan setakat jam 12 tengah hari tadi.

“Amalkan norma baharu iaitu penjarakan fizikal, menjaga kebersihan diri serta memakai pelitup muka supaya tiada ruang tersedia untuk virus merebak,” katanya di Facebook.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham hari ini memaklumkan pertambahan tiga kes baharu pandemik itu membabitkan kes import menjadikan keseluruhan 8,677 kes.

Categories
SELANGOR

Tiada kes baharu Covid-19 di Selangor hari ini

SHAH ALAM, 23 JUN: Tiada kes baharu Covid-19 direkodkan di Selangor hari ini dengan kes aktif kekal 50, menurut data Bilik Gerakan Negeri.

Sepang merekodkan kes aktif tertinggi dengan 11 kes, Gombak dan Kuala Selangor (9), Kuala Langat (8), Klang (4) Hulu Langat (3) serta Petaling, Sabak Bernam dan Hulu Selangor (2).

Setakat hari ini Selangor merekodkan jumlah keseluruhan 2,027 kes dan 24 kematian. Kali pertama negeri ini tidak merekodkan kes baharu adalah pada 11 Jun lalu.

Malaysia merekodkan tiga kes baharu Covid-19 hari ini menjadikan jumlah keseluruhan 8,590 kes manakala kes kematian kekal sebanyak 121kes atau 1.41 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kes baharu Covid-19 di Selangor kekal tiga, libat kes import

SHAH ALAM, 9 JUN: Kes baharu positif Covid-19 di Selangor hari ini kekal tiga seperti semalam tanpa melibatkan jangkitan rakyat tempatan, menurut data Bilik Gerakan Negeri.

Keseluruhannya, sebanyak 1,971 kes dicatatkan dengan 213 daripadanya aktif.

“Satu kes import mendapat jangkitan dari Indonesia manakala dua lagi dari Arab Saudi,” katanya.

Setakat 12 tengah hari tadi, 1,624 pesakit pulih dan dibenarkan keluar hospital manakala angka korban kekal 23 orang.

Sementara itu, dua daerah di Selangor masih diklasifikasikan sebagai zon merah dengan Hulu Langat mencatat 85 kes aktif dan Sepang (68).

Tujuh daerah lain berada dalam zon kuning iaitu Petaling (18), Gombak (13), Kuala Langat (12), Hulu Selangor (tujuh), Klang (lima), Kuala Selangor (empat) dan Sabak Bernam (satu).

Categories
SELANGOR

Covid-19: Kes baharu di Selangor kembali ke dua angka

SHAH ALAM, 31 MEI: Selangor mencatatkan 31 kes baharu Covid-19 hari ini berbanding hanya lima yang direkodkan semalam.

Berdasarkan data Bilik Gerakan Negeri Selangor (BGNS) perkembangan itu menjadikan jumlah kes kumulatif di negeri ini adalah 1,909 dengan 278 aktif.

“Sebanyak 24 kes dicatatkan di Sepang, Gombak (dua) dan masing-masing satu kes di Hulu Langat serta Klang.

“Baki tiga kes lagi membabitkan kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara iaitu Mesir (dua) dan Jepun (satu),” menurut BGNS.

Sementara itu, sebanyak 1,531 pesakit sembuh dan dibenarkan keluar hospital manakala angka korban ekoran pandemik itu kekal 22 orang.

Malaysia mencatatkan 57 kes baharu Covid-19 hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes jangkitan yang dicatatkan sebanyak 7,819.

Bagaimanapun, hanya empat kes melibatkan warga tempatan dan selebihnya adalah warga asing.

Kes kematian dalam negara berikutan wabak itu juga kekal 115 orang untuk tempoh sembilan hari berturut-turut.

Categories
SELANGOR

Selangor rekod lima kes baharu Covid-19, turun banding semalam

SHAH ALAM, 30 MEI: Kes positif Covid-19 di Selangor hari ini turun ke angka satu digit apabila mencatatkan lima kes berbanding 28 yang direkodkan semalam.

Menurut data Bilik Gerakan Negeri Selangor (BGNS) perkembangan itu menjadikan jumlah kumulatif kes di negeri ini sebanyak 1,878 dengan 251 aktif setakat 12 tengah hari tadi.

“Dua kes dicatatkan di Hulu Langat merupakan kluster Madrasah An-Nabawiyah manakala satu kes di Petaling membabitkan saringan pusat jagaan warga emas.

“Baki dua kes lagi masing-masing kes import yang mendapat jangkitan dari Netherlands dan Qatar,” katanya.

Data berkenaan turut menunjukkan bilangan pesakit pulih dan dibenarkan keluar hospital sebanyak 1,530 manakala angka korban akibat pandemik itu kekal 22 orang.

Sementara itu, Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) menggesa masyarakat supaya terus berhati-hati dengan ancaman pembawa tanpa sindrom yang mungkin berada di kawasan berdekatan.

“Pastikan anda sentiasa mengamalkan penjarakan sosial, jaga kebersihan diri dan sentiasa pakai pelitup muka. Sayangi kebebasan anda dengan berdisiplin serta bertanggungjawab,” tulisnya di Facebook.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Bilik Gerakan Covid-19 Selangor seragam arahan, buat keputusan cepat

SHAH ALAM, 23 APRIL: Bilik Gerakan Covid-19 Selangor yang beroperasi 24 jam setiap hari menyelaras arahan Kerajaan Negeri secara seragam membabitkan pelbagai agensi.

Mula diaktifkan Mac lalu, Setiausaha Bahagian (Khidmat Pengurusan) Muhamad Shah Osmin berkata segala keputusan atau kebenaran boleh dilaksanakan dengan cepat.

“Fungsi (bilik gerakan) lebih kepada pusat arahan secara seragam, selaras arahan kepada petugas barisan hadapan sama ada di peringkat pejabat daerah mahupun pihak berkuasa tempatan.

“Tidak ambil masa yang lama, apabila sesuatu perkara diputuskan kita terus laksanakan,” katanya melalui video yang dikongsi Pejabat Dato’ Menteri Besar.

Muhamad Shah berkata bilik gerakan tersebut turut dijadikan pusat pengumpulan dan pengagihan sumbangan kepada golongan terjejas.

“Apa sahaja sumbangan diterima akan dipanjangkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan,” katanya lagi.

Kerajaan Selangor membuka Bilik Gerakan Covid-19 bagi membantu menyelesaikan masalah rakyat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Bilik gerakan tersebut diberi kuasa oleh Jawatankuasa Keselamatan Negeri yang dipengerusikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.