Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Skim aturan ulang alik Malaysia-Singapura catat satu kes

KOTA TINGGI, 6 SEPT: Satu kes Covid-19 direkodkan di bawah skim Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) perjalanan rentas sempadan Malaysia dan Singapura yang dilaksanakan sejak 17 Ogos lepas, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata bagi skim Laluan Hijau Timbal Balik (RGL), tiada kes dilaporkan berlaku setakat ini.

“Imported case (kes import)… ada satu positif di bawah PCA dan sudah dirawat.

“Apabila dikenal pasti positif, apa yang kita buat ialah mengendalikan kes ini dengan cepat iaitu siasat perjalanan mereka dan juga kontak rapat. Jika didapati kontak ada di Malaysia, mereka akan diisolasi, malah pihak Singapura juga akan dimaklumkan bahawa mereka perlu cari kontak rapat yang lain,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Klinik Kesihatan Sungai Rengit, di sini hari ini.

Beliau berkata individu yang disahkan positif itu merupakan seorang lelaki warganegara Malaysia berusia 35 tahun dan bekerja di Singapura, yang pulang ke negara ini di bawah skim PCA pada 29 Ogos lepas.

Dr Adham berkata lelaki terbabit yang tidak bergejala didapati positif Covid-19 pada 2 September telah dimasukkan ke sebuah hospital di negeri ini dan kini berada dalam keadaan stabil.

Mengulas lanjut, Dr Adham berkata sejak 17 Ogos hingga hari ini, seramai 2,647 individu di bawah PCA dan 815 bagi RGL direkodkan memasuki negara ini dari Singapura.

Pelaksanaan Skim RGL dan PCA bertujuan menangani keperluan kumpulan berbeza yang melakukan perjalanan rentas sempadan di antara Malaysia dan Singapura.

Terdahulu, beliau berkata Klinik Kesihatan Sungai Rengit adalah satu-satunya klinik kesihatan di negara ini yang mempunyai kelengkapan 10 katil di Unit Kecemasan bagi menampung keperluan kes kecemasan di kawasan sekitar, terutamanya di kawasan Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid), Kompleks Bersepadu Pengerang.

-BERNAMA

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

Shura: PCA zalim dan menyalahi syarak

pcaSHAH ALAM, 4 OKT: Undang-Undang Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 (PCA) yang diluluskan dengan sokongan majoriti Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menyalahi Hukum Syariah Islam kerana ia adalah jelmaan semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang tidak memberi keadilan kepada pihak tertuduh.

Pengerusi Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (Shura), Abdul Ghani Shamsuddin, berkata PCA membuka ruang kepada pemerintah menyalahgunakan kuasa demi kepentingan politik.

“Kita tidak boleh lawan kejahatan dengan kejahatan, keburukan dengan keburukan yang barangkali kita membuka pintu untuk orang lain membuat jahat, zalim kepada orang lain yang sudah pasti tidak menyelesaikan masalah.

“Buat jahat suatu kezaliman, tetapi memperuntukkan kemudahan bagi orang menyalahgunakan kuasa juga merupakan satu kezaliman yang besar,” kata Abdul Ghani ketika dihubungi TV Selangor.

Menurut Abdul Ghani, kegagalan membawa tertuduh ke muka pengadilan menyebabkan berlaku penyalahgunaan kuasa, kezaliman dan penganiayaan terhadap tertuduh.

“Orang ini tiada tempat untuk mendapatkan perlindungan dan ini menjadikan masyarakat kita bertambah zalim lagi,” tambah beliau lagi.

Abdul Ghani juga mengingatkan Kerajaan Pusat bahawa Allah SWT dalam Al-Quran turut menyebut agar seseorang itu diadili sebelum dijatuhkan hukuman.

Categories
NASIONAL

PCA tindakan terkebelakang kerajaan BN dalam perjuang hak asasi manusia

keganasan-polis

SHAH ALAM 3 OKT : Kerajaan Barisan Nasional (BN) mengambil tindakan terkebelakang dalam mempertahankan kebebasan manusia apabila meluluskan kembali pelaksanaan tahanan tanpa bicara, tegas Human Rights Watch (HRW).

Timbalan Pengarah Asia HRW, Phil Robertson, berkata beliau mengecam pindaan Rang Undang-undang Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 (PCA) kerana melanggar kebebasan manusia tanpa mencapai matlamat sebenarnya untuk mengurangkan jenayah.

“Kerajaan perlu segera membatalkan pindaan itu yang akan mengembalikan semula penahanan tanpa perbicaraan ,” kata Robertson dalam satu kenyataan.

Kata Robertson, dengan pindaan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan mengancam kebebasan rakyat dan memberikan gambaran buruk reputasi negara di peringkat dunia.

Beliau menyeru Najib Razak mengotakan janjinya pada September 2011 untuk membawa negara yang menghormati semangat demokrasi dengan keamanan serta undang-undang dipertahankan sejajar dengan keluhuran perlembagaan dan undang-undang.

Sebelum ini, usaha wakil rakyat Pakatan Rakyat untuk menggagalkan kelulusan rang undang-undang itu tidak berjaya apabila ia diluluskan dengan suara majoriti daripada penyokong kerajaan Barisan Nasional.