Categories
SELANGOR

Kutipan cukai lepasi sasaran, PDT Hulu Selangor bawa pulang RM200,000

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 29 NOV: Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Hulu Selangor merupakan satu-satunya petugas pemungut cukai berjaya melepasi sasaran prestasi kutipan cukai tanah semasa sebanyak 99 peratus dan kutipan tunggakan cukai tanah sebanyak 85.5 peratus, bagi 2016.

Ia mengatasi sasaran prestasi ditetapkan iaitu sebanyak 95 peratus kutipan cukai tanah semasa dan 75 peratus kutipan tunggakan cukai tanah.

Pencapaian itu membolehkannya menjadi penerima tunggal bagi Anugerah Prestasi Hasil Cukai Tanah Pejabat Daerah dan Tanah bagi 2016, seterusnya menerima insentif RM200,000.

Anugerah disampaikan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali kepada Pegawai Daerahnya, Mohd Fauzi Mohd Yatim, pada Majlis Apresiasi Hasil dan Belanjawan Negeri Selangor, di sebuah hotel, di sini, semalam.

Turut mengiringi, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya dan Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Noordin Sulaiman.

Sementara itu, Anugerah Pemungut Hasil Cukai Melebihi RM50 juta bagi 2016 diterima PDT Petaling, Klang dan Gombak dengan masing-masing menerima insentif RM50,000.

PDT Petaling berjaya mengutip RM161.14 juta, PDT Klang (RM108.85 juta) dan PDT Gombak (RM57.7 juta).

Bagi kategori Pejabat Pemungut Hasil Lain melebihi RM50 juta turut dimenangi tiga penerima dengan masing-masing menerima insentif RM50,000.

Ia dimenangi Pejabat Tanah dan Galian Selangor yang berjaya mengutip RM206.6 juta, Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (RM71.09 juta) dan Perbendaharaan Negeri Selangor yang mengutip duti hiburan RM57.15 juta).

=EZY=