Categories
SELANGOR

‘Sub-urban’ meriahkan pembangunan Daerah Gombak

OLEH AFIX REDZUAN

GOMBAK, 23 OKT: Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Gombak bersedia menerima limpahan penduduk yang dijangka memenuhi daerah itu beberapa tahun mendatang susulan pembukaan kawasan ‘sub-urban’ seperti di Kuang dan Kundang.

Pegawai Daerah Gombak, Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim berkata, walaupun Gombak merupakan antara daerah muda di Selangor tetapi kawasan sekitarnya turut menerima tempias pembangunan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang menyaksikan peningkatan penduduk.

Menurutnya, isu kepadatan penduduk tidak menjadi masalah utama buat masa ini kerana keluasan lingkaran kawasan sekeliling membolehkan projek Rumah Mampu Milik dan Rumah Selangorku dibangunkan khususnya di mukim Rawang dan Kuang.

“Perkara ini akan terus berkembang dengan adanya jaringan perhubungan jalan dan lebuhraya baharu yang menyaksikan capaian ke pusat pembangunan akan menjadi lebih mudah.

“Lebuhraya KL-Kuala Selangor (LATAR) dan Rawang Bypass sedikit sebanyak membuka pembangunan baharu seperti di Sungai Serai dan kawasan Kundang. Pelbagai syarikat menghantar cadangan pembangunan dan kita jangkakan kawasan itu terus akan membangun selepas ini.

“Kita mengharapkan dengan capaian lebuhraya sedia akan akan menyaksikan lebih banyak industri-industri berkembang pesat selepas ini dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan,” katanya kepada SelangorKini.

Tanpa berselindung, Amirul Azizan mengakui PDT Gombak berhadapan kekurangan tanah simpanan (bank land) kerana kawasan sedia ada sudah melalui proses urbanisasi dan kematangan sama seperti daerah Petaling.

Katanya, PDT Gombak sentiasa menyokong sebarang usaha pembangunan semula kawasan lama yang pastinya dalam hala tuju pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya diberikan wajah baru tambahan proses naik taraf dapat dilakukan sejajar dengan perkembangan arus semasa.

“Rizab tanah di Gombak tidak sebanyak Hulu Selangor, Kuala Langat dan Sabak Bernam. ‘Land bank’ kita hampir sama seperti Petaling. Kita di pejabat daerah menyokong suapaya dapat dibangunkan semula kawasan lama untuk membaik pulih sistem perparitan dan jajaran.

“Kadang-kadang punca banjir akibat longkang dibina pemaju berbeza. Ini menyebabkan pergerakan air tidak berkesan, jadi pembangunan semula dapat kita baiki perkara seperti itu,” katanya.

Menyentuh soal permohonan pemilikan tanah, beliau berkata PDT Gombak masih meneruskan proses itu seperti biasa dan melakukan kerja-kerja lapangan walaupun ia mengambil sedikit masa untuk diselesaikan.

Selain itu, pihaknya turut memantau hak milik sedia ada selain memanjangkan tempoh pajakan seperti yang dipohon pemilik.

Keadaan itu termasuk pengeluaran Lesen Pendudukan Sementara (TOL) bagi lima perkara iaitu tanaman kontan, tapak semaian, lokasi papan iklan, parkir awam dan pondok pengawal.

Categories
SELANGOR

Program ‘meniti di bibir rakyat’ antara pengisian Jelajah Maju Bersama Daerah Gombak

OLEH AFIX REDZUAN

GOMBAK, 24 OKT: Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Gombak bersedia menerima kunjungan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan barisan kempimpinan Kerajaan Negeri sempena Jelajah Maju Bersama yang berlangsung Jumaat ini.

Pegawai Daerah Gombak, Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim berkata, selaku tuan rumah, pasukannya kini dalam persiapan terakhir untuk memastikan segala program dirancangkan berjalan lancar.

“Ini merupakan lokasi ketiga jelajah Dato’ Menteri Besar ke daerah di Selangor selepas Sepang dan Hulu Selangor. Kita sudah mengaturkan beberapa program yang boleh disifatkan ‘menjadi sebutan di bibir rakyat Selangor’.

“Kita mengharapkan program berjalan lancar dan keadaan cuaca juga baik sepanjang hari jelajah, Insya-Allah,” katanya.

Beliau berkata, kesempatan ini juga akan digunakan sebaik mungkin untuk rakyat meluahkan pandangan untuk proses penambahbaikan di masa akan datang.

Difahamkan, Amirudin akan bersama-sama penjawat awam dalam Himpunan Pagi di PDT Gombak sebelum mempengerusikan Mesyuarat Exco pada sebelah pagi.

Acara diteruskan dengan Solat Jumaat di Masjid Jamek Al-Amaniah, Batu Caves dan Kenduri Rakyat serta disusuli dengan lawatan di beberapa kawasan sekitar Daerah Gombak.