Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri Bertindak Tegas Atasi Pembakaran Terbuka

 


SHAH ALAM, 15 OGOS: Bagi mengawal keadaan jerubu di Selangor, Kerajaan Negeri akan merampas tanah-tanah lapang daripada pemilik yang membuat pembakaran terbuka.

Menurut Exco Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong, tindakan tegas terpaksa di ambil kerana cuaca panas yang akan berterusan hingga ke September akan membuat keadaan jerebu semakin teruk.

“Sebagai contoh di Johan Setia ada pemilik-pemilik tanah dalam kawasan seluas 600 hektar yang sebulan lebih bomba, Jabatan Hutan dan Majlis Perbandaran Klang cuba memadamkan kebakaran.

“Bagaimanapun ianya amat sukar kerana di situ adalah kawasan tanah gambut yang memang susah nak padamkan api.

“Jadi hari ini kita dah buat keputusan akan bertindak tegas. Pertama, merampas tanah terbiar dan kedua merampas tanah yang terdapat pembakaran terbuka di atasnya,” ujar Elizabeth dalam sidang media selepas mesyuarat Exco Kerajaan Negeri.

Satu jawatankuasa khas yang di pantau oleh Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor juga telah ditubuhkan untuk memantau dan merampas tanah-tanah yang terdapat pembakaran terbuka.