Categories
SELANGOR

Pemadam Selangor selar cadangan RISDA eksport ketum

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 28 JULAI: Pemadam Negeri Selangor menyelar cadangan RISDA membenarkan pekebun kecil menanam ketum bagi tujuan eksport ke luar negara.

Pengerusi PEMADAM Selangor, Amirudin Shaari, berkata hal itu harus dipandang serius kerana bahaya penyalahgunaan ketum adalah sama dengan pengambilan dadah dan perkara itu tidak harus di pandang remeh.

“Walaupun tujuaannya membantu pekebun kecil menambah sumber pendapatan tetapi RISDA perlu mengambil berat jika disalahgunakan daun ketum boleh menjejaskan sistem saraf pusat manusia.

“Ia boleh menjadi ketagih kerana mengandungi ‘mitraginin’ yang tahapnya sama dengan dadah jenis morfin,” katanya dalam kenyataan.

ketum1Katanya, penyalahgunaan daun ketum boleh dikenakan tindakan di bawah seksyen 30(3) Akta Racun Merbahaya 1952.

“Kita sentiasa bekerjasama dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) bagi mencegah penyalahgunaan dadah.

“Minggu lalu, PEMADAM Hulu Selangor bersama AADK memberkas ladang pokok ketum dan berjaya merampas daun tumbuhan itu sebelum dijual kepada masyarakat setempat di sekitarnya,” katanya.

Oleh itu, PEMADAM menyeru agar RISDA dapat menghentikan niat untuk memohon kebenaran kepada Kerajaan Malaysia membenarkan aktiviti tanaman daun ketum tersebut.

Baru-baru ini, RISDA bercadang mendapatkan kebenaran kerajaan untuk menanam ketum secara komersial besar bagi memenuhi industri farmaseutikal negara luar.

-nR-