Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

GPPMS Selamat, Bandar Pintar & Bandar Rendah Karbon – MB

CYBERJAYA, 21 OKT: Garis Panduan Pembangunan Mampan@Sepang (GPPMS) yang dilancarkan Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) menggabungkan elemen Selamat, Bandar Pintar dan Bandar Rendah Karbon sebagai pendekatan memacu pembangunan bandar secara holistik.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, GPPMS yang pertama kali dilaksanakan di Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu penting supaya ketiga-tiga elemen digariskan dapat dilaksanakan melalui penguatkuasaan undang-undang.

Katanya, ia juga bagi membolehkan kawalan perancangan disemak melalui pelan kelulusan yang mampu memberi impak positif terhadap kesejahteraan rakyat.

Dato’ Menteri Besar Selangor Amirudin Shari (tengah) bersama YDP Majlis Perbandaran Sepang Mohd Fauzi Mohd Yatim (kanan) ketika merasmikan Majlis Townhall Bandar Pintar dan Rendah Karbon Cyberjaya di Cyberview Resort & Spa, Cyberjaya pada 21 Oktober 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Jika berjaya digabungkan secara serasi akan menjadikan daerah Sepang termasuk Cyberjaya sebagai kawasan yang berdaya huni, selesa dan selamat untuk didiami.

“Saya percaya segala pembangunan yang masuk di daerah ini akan menjadi contoh bagaimana pembangunan yang berkembang pantas, maju dan berteknologi tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Townhall Bandar Pintar dan Rendah Karbon@Cyberjaya serta Pelancaran Garis Panduan Pembangunan Mampan@Sepang (GPPMS) Aplikasi Pintar i-Sepang, di Cyberview Resort & Spa, di sini hari ini.

Dato’ Menteri Besar Selangor Amirudin Shari (kiri) menandatangani anugerah Low Carbon Cities Award turut sama YDP Majlis Perbandaran Sepang Mohd Fauzi Mohd Yatim (kanan) ketika Majlis Townhall Bandar Pintar dan Rendah Karbon Cyberjaya di Cyberview Resort & Spa, Cyberjaya pada 21 Oktober 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Turut hadir, Yang Dipertua MPSepang, Mohd Fauzi Mohd Yatim; Pegawai Daerah Sepang, Mohd Yazid Sairi; Ahli Dewan Negeri Dengkil, Adhif Shan Abdullah dan Tengku Orang Kaya Maha Bijaya Sepang, Tengku Dato’ Dr Jamaluddin Tengku Mahmud Shah Al Haj.

Mengulas pembangunan aplikasi pintar I-Sepang, Amirudin berkata, penduduk di bawah pentadbiran PBT berkenaan boleh mendapatkan perkhidmatan MPSepang secara dalam talian dengan lebih efektif dan efisien.

“MPSepang akan memuatkan informasi terkini termasuk menyediakan kemudahan tempahan, semakan, membuat transaksi pembayaran cukai taksiran dan sewaan tanpa perlu ke kaunter perkhidmatan.

“Pelbagai info berkaitan MPSepang juga akan disalurkan yang menjadi sebahagian daripada inisiatif berterusan bagi mencapai hasrat menjadikan Sepang sebagai PBT ‘smart’ dan mampan,” katanya.

Terdahulu, Townhall selama sehari bersama fasilitator program International Green Training Centre (IGTC) menghimpunkan lebih 100 peserta dalam kalangan pegawai MPSepang, pemegang taruh, pihak berkepentingan termasuk pemaju di Cyberjaya.

Program seumpama itu sebagai wadah meningkatkan tahap kesedaran terhadap pembangunan bandar pintar dan bandar rendah karbon dalam kalangan pihak berkaitan.

Categories
SELANGOR

Pemadam Selangor selar cadangan RISDA eksport ketum

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 28 JULAI: Pemadam Negeri Selangor menyelar cadangan RISDA membenarkan pekebun kecil menanam ketum bagi tujuan eksport ke luar negara.

Pengerusi PEMADAM Selangor, Amirudin Shaari, berkata hal itu harus dipandang serius kerana bahaya penyalahgunaan ketum adalah sama dengan pengambilan dadah dan perkara itu tidak harus di pandang remeh.

“Walaupun tujuaannya membantu pekebun kecil menambah sumber pendapatan tetapi RISDA perlu mengambil berat jika disalahgunakan daun ketum boleh menjejaskan sistem saraf pusat manusia.

“Ia boleh menjadi ketagih kerana mengandungi ‘mitraginin’ yang tahapnya sama dengan dadah jenis morfin,” katanya dalam kenyataan.

ketum1Katanya, penyalahgunaan daun ketum boleh dikenakan tindakan di bawah seksyen 30(3) Akta Racun Merbahaya 1952.

“Kita sentiasa bekerjasama dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) bagi mencegah penyalahgunaan dadah.

“Minggu lalu, PEMADAM Hulu Selangor bersama AADK memberkas ladang pokok ketum dan berjaya merampas daun tumbuhan itu sebelum dijual kepada masyarakat setempat di sekitarnya,” katanya.

Oleh itu, PEMADAM menyeru agar RISDA dapat menghentikan niat untuk memohon kebenaran kepada Kerajaan Malaysia membenarkan aktiviti tanaman daun ketum tersebut.

Baru-baru ini, RISDA bercadang mendapatkan kebenaran kerajaan untuk menanam ketum secara komersial besar bagi memenuhi industri farmaseutikal negara luar.

-nR-