Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

100 staf KDEBWM bersih besar-besaran Sri Muda Ahad ini

SHAH ALAM, 4 FEB: Seramai 100 kakitangan KDEB Waste Management (KDEBWM) terlibat dalam kerja pembersihan pascabanjir di Taman Sri Muda Ahad ini.

Operasi besar-besaran itu menumpukan kerja mengorek dan membersihkan longkang serta parit tersumbat termasuk mengutip sampah pukal, kata Pengarah Urusannya Ramli Mohd Tahir.

“Di Taman Sri Muda kawasannya besar dan mengambil masa agak lama berbanding tempat lain yang kebanyakan sudah bersih dan hanya fokus pembersihan biasa serta kutipan sampah pukal.

“Kita harap penduduk bersabar dan mohon juga beri kerjasama dengan menjaga kebersihan kawasan persekitaran bagi memudahkan pihak KDEBWM,” katanya kepada SelangorKini.

Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM), Ramli Mohd Tahir ketika diwawancara Media Selangor mengenai makluman terkini pengurusan sisa pepejal pascabanjir di pejabat KDEB, Shah Alam pada 27 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Menurut Ramli, penduduk di kawasan terbabit yang masih mempunyai sampah pukal diminta segera mengumpul dan KDEBWM akan mengutipnya.

“Kita minta penduduk di Taman Sri Muda beri kerjasama. Walaupun kutipan tersebut sebenarnya sudah berakhir tetapi kita akan bantu bagi memastikan kawasan ini bersih,” katanya.

KDEBWM, anak syarikat Kerajaan Negeri yang menguruskan sepenuhnya kutipan sampah domestik giat membersihkan kawasan terjejas banjir mulai 20 Disember tahun lalu secara berperingkat.

Sebanyak 78,000 tan metrik sampah pukal dibersihkan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan dan agensi lain yang selesai sepenuhnya pada 7 Januari lalu.

Categories
AGENDA AGENSI NASIONAL PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Fasa kedua pembersihan pascabanjir lancar, dijangka selesai Mac

SHAH ALAM, 24 JAN: Kerja pembersihan pascabanjir fasa kedua kawasan terjejas berjalan lancar dan mengikut jadual kutipan, kata pengarah urusan KDEB Waste Management (KDEBWM).

Ramli Mohd Tahir berkata pihaknya menjangkakan operasi sejak 8 Januari itu akan selesai sepenuhnya pada penghujung Mac.

“Di kawasan Taman Seri Muda kita fokuskan kerja pembersihan longkang sedalam 1.5 meter. KDEBWM juga akan mengutip sampah pukal yang masih dikeluarkan penduduk.

“KDEBWM komited mempertingkatkan usaha bagi memastikan tahap perkhidmatan terbaik diberikan kepada rakyat,” katanya menerusi kenyataan.

Bermula 8 Januari KDEBWM melaksanakan pembersihan fasa dua dengan memfokuskan pembasmian kuman selain kerja membersih parit tersumbat.

Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM), Ramli Mohd Tahir ketika diwawancara Media Selangor mengenai makluman terkini pengurusan sisa pepejal pasca banjir di pejabat KDEB, Shah Alam pada 27 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Sementara itu, Ramli berkata pihaknya membelanjakan sehingga RM11 juta sepanjang fasa pertama pembersihan di lapan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Antara kawasan terlibat Shah Alam, Hulu Langat, Subang Jaya, Klang, Kuala Langat, Sepang dan Kuala Selangor.

“Kos termasuk penyewaan jentera tambahan untuk digunakan di Taman Seri Muda, Taman Sri Nanding, Padang Jawa, Meru dan Kampung Bukit Lanchong,” katanya.

KDEBWM merupakan anak syarikat Kerajaan Negeri yang menguruskan sepenuhnya kutipan sampah domestik giat membersihkan kawasan terjejas banjir mulai 20 Disember secara berperingkat.

Sehingga 7 Januari lalu sebanyak 78,000 tan metrik sampah pukal dibersihkan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan dan agensi lain.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lebih 47,000 tan metrik sampah banjir dikutip, kerja pembersihan hampir selesai

SHAH ALAM, 6 JAN: Sebanyak 47,006.95 tan metrik sampah pukal dibersihkan di lapan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang terjejas banjir setakat 10 malam tadi.

Dalam laporan pengendali sisa pepejal KDEB Waste Management, kebanyakan sampah dibersihkan dalam kawasan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dengan 20,264.50 tan.

Diikuti Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) melibatkan 8,407 tan serta Majlis Perbandaran Klang (MPK) dengan 7,245 tan.

Pembersihan kawasan di tiga pihak berkuasa tempatan itu hampir siap sepenuhnya dengan MBSA dan MPK sebanyak 95 peratus manakala MBSJ 92 peratus.

Kerja pembersihan di Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Perbandaran Sepang, Majlis Perbandaran Kajang, Majlis Perbandaran Kuala Langat dan Majlis Perbandaran Kuala Selangor selesai sepenuhnya secara berperingkat mulai 31 Disember hingga semalam.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kutipan sampah pascabanjir dijangka selesai minggu depan

SHAH ALAM, 2 JAN: KDEB Waste Management (KDEBWM) menjangka kerja pembersihan pascabanjir di seluruh kawasan terjejas di Selangor diselesaikan minggu depan.

Pengarah Urusannya Ramli Mohd Tahir berkata operasi di lapan kawasan mencapai 85 peratus dengan Sepang dan Petaling Jaya telah selesai manakala Klang, Shah Alam, Kajang, Kuala Selangor, Kuala Langat serta Subang Jaya disasar berakhir Khamis ini.

Katanya, lokasi utama, Taman Sri Muda pula 60 peratus dan proses pembersihan dijangka dapat dilakukan sepenuhnya tiga hari selepas itu.

“Taman Sri Muda memakan sedikit masa memandangkan kawasan itu sangat besar. Di sana sahaja ada 9,700 rumah serta 179 kilang membabitkan 25 taman, jadi sisa pukal banyak dan diharap penduduk dapat bersabar,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM), Ramli Mohd Tahir ketika diwawancara Media Selangor mengenai makluman terkini pengurusan sisa pepejal pascabanjir di pejabat KDEB, Shah Alam pada 27 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Sementara itu, Ramli memaklumkan sebanyak 33,000 tan sisa bencana diangkut dari semua kawasan terlibat setakat 11 hari operasi berkenaan.

Beliau turut menjangkakan sebanyak 2,500 hingga 3,000 tan sampah pukal lagi akan dikeluarkan menggunakan 80 unit lori Roll On Roll Off (RoRo) hari ini.

“Idea kita adalah untuk keluarkan sampah dari rumah sebanyak mungkin. Kita pindahkan lori RoRo dari kawasan sudah selesai bagi mengangkut sisa di tempat masih beroperasi terutama Taman Sri Muda,” katanya.

Syarikat pengurusan sisa pepejal milik penuh Kerajaan Negeri itu membersihkan kawasan terjejas banjir di beberapa daerah secara berperingkat menerima bantuan sukarelawan dan pihak berkuasa tempatan termasuk negeri lain bagi mempercepat urusan.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember tahun lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180 milimeter mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Categories
AGENDA NASIONAL

KDEBWM angkut 2,077 tan metrik sampah pascabanjir

SHAH ALAM, 26 DIS: KDEB Waste Management (KDEBWM) menjalankan kerja pembersihan pascabanjir di kawasan terjejas sekitar negeri ini dengan mengangkut 2,077 tan metrik setakat 9 malam tadi.

Menerusi Facebook, agensi itu memaklumkan pihaknya akan memastikan perkhidmatan disediakan dapat membantu meringankan beban mangsa banjir.

“Sehingga 9 malam ini (tadi), sebanyak 2,077 tan metrik sampah pascabanjir telah dikutip menggunakan 336 lori RORO  (roll-on-roll-off) dan  51 jengkaut dengan kekuatan 767 petugas,” menurutnya.

KDEBWM menjelaskan akan terus berusaha untuk mempercepatkan proses pembersihan pascabanjir di Selangor.

Sebelum ini, agensi pengendali sisa pepejal itu memaklumkan operasi pembersihan pascabanjir telah dimulakan Jumaat lalu di beberapa kawasan terjejas antaranya Hulu Langat, Puchong, Meru, Semenyih dan Kampung Bestari Jaya.