Categories
AGENDA AGENSI NASIONAL PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Fasa kedua pembersihan pascabanjir lancar, dijangka selesai Mac

SHAH ALAM, 24 JAN: Kerja pembersihan pascabanjir fasa kedua kawasan terjejas berjalan lancar dan mengikut jadual kutipan, kata pengarah urusan KDEB Waste Management (KDEBWM).

Ramli Mohd Tahir berkata pihaknya menjangkakan operasi sejak 8 Januari itu akan selesai sepenuhnya pada penghujung Mac.

“Di kawasan Taman Seri Muda kita fokuskan kerja pembersihan longkang sedalam 1.5 meter. KDEBWM juga akan mengutip sampah pukal yang masih dikeluarkan penduduk.

“KDEBWM komited mempertingkatkan usaha bagi memastikan tahap perkhidmatan terbaik diberikan kepada rakyat,” katanya menerusi kenyataan.

Bermula 8 Januari KDEBWM melaksanakan pembersihan fasa dua dengan memfokuskan pembasmian kuman selain kerja membersih parit tersumbat.

Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM), Ramli Mohd Tahir ketika diwawancara Media Selangor mengenai makluman terkini pengurusan sisa pepejal pasca banjir di pejabat KDEB, Shah Alam pada 27 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Sementara itu, Ramli berkata pihaknya membelanjakan sehingga RM11 juta sepanjang fasa pertama pembersihan di lapan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Antara kawasan terlibat Shah Alam, Hulu Langat, Subang Jaya, Klang, Kuala Langat, Sepang dan Kuala Selangor.

“Kos termasuk penyewaan jentera tambahan untuk digunakan di Taman Seri Muda, Taman Sri Nanding, Padang Jawa, Meru dan Kampung Bukit Lanchong,” katanya.

KDEBWM merupakan anak syarikat Kerajaan Negeri yang menguruskan sepenuhnya kutipan sampah domestik giat membersihkan kawasan terjejas banjir mulai 20 Disember secara berperingkat.

Sehingga 7 Januari lalu sebanyak 78,000 tan metrik sampah pukal dibersihkan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan dan agensi lain.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

3,000 guru tadika boleh mohon bantuan fasa dua mulai Ahad

SHAH ALAM, 12 OGOS: Permohonan fasa kedua bagi bantuan sekali bayar RM150 kepada guru tadika negeri ini dibuka mulai 15 Ogos hingga 6 September.

Dato’ Menteri Besar berkata inisiatif bawah Pakej Kita Selangor 2.0 bagi meringankan beban golongan pendidik sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan 3.0.

“Dari sasaran 10,197 guru yang bakal menerima manfaat ini, sebanyak 7,177 telah mengemukakan permohonan bantuan fasa pertama.

“Permohonan fasa kedua bermula 15 Ogos 2021 akan dibuka bagi memastikan peruntukan bantuan ini dimanfaatkan sepenuhnya,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari di Facebook.

Pada 23 Julai, setiausaha bahagian pengurusan sumber manusia Pejabat Setiausaha Kerajaan
Negeri berkata lebih 3,000 guru tadika belum memohon bantuan tersebut.

Mohd Hafeez Shaari menjelaskan inisiatif yang menyasarkan 10,197 guru boleh dimohon menerusi persatuan tadika berdaftar dan pejabat pendidikan daerah.

Pada 9 Jun, Amirudin mengumumkan bantuan sekali bayar RM150 kepada guru tadika manakala RM450 kepada 1,018 pengusaha melibatkan peruntukan RM1.99 juta.

Poster bantuan khas guru tadika untuk PKP 3.0 yang dikongsi di Facebook Amirudin Shari
Categories
AGENDA NASIONAL

Seluruh negara dijangka beralih ke fasa dua PPN awal Ogos

KUALA LUMPUR, 14 JULAI: Seluruh negara dijangka mampu beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada awal Ogos, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata jangkaan itu berdasarkan prestasi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang kini memberi petunjuk bahawa kadar individu yang lengkap dua dos vaksin telah melepasi nilai ambang 10 peratus yang ditetapkan untuk negara beralih dari Fasa Satu ke Fasa Dua PPN.

Perkembangan itu juga, katanya memberi gambaran bahawa negara berada di landasan yang betul dalam usaha mencapai imuniti kelompok.

“Indikator ini sejajar dengan perancangan Pelan Pemulihan Negara yang menjangkakan kadar vaksinasi akan mencapai 10 peratus populasi pada akhir bulan Julai ini.

“Sekiranya perkembangan positif ini berterusan, seluruh negara mampu beralih ke Fasa Dua pada awal bulan Ogos seperti negeri-negeri yang diumumkan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan PPN dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), hari ini.

Berdasarkan data PICK, jumlah populasi rakyat di negara ini yang telah melengkapkan dua dos vaksin mencapai 11.8 peratus semalam.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang beralih ke Fasa Dua PPN pada 5 Julai, diikuti Pulau Pinang (7 Julai), Sabah (10 Julai) dan Sarawak hari ini (14 Julai).

Di bawah PPN, peralihan fasa adalah setelah melepasi nilai ambang bagi ketiga-tiga indikator utama yang ditetapkan.

Tiga indikator perlu dipatuhi bagi membolehkan peralihan ke Fasa Dua PPN iaitu purata kes harian Covid-19 menurun di bawah 4,000 kes, kadar penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) pada paras sederhana dan kadar vaksinasi bagi populasi yang telah menerima dua dos lengkap mencapai 10 peratus.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Hampir 10 peratus divaksin, negeri yakin ke fasa dua pada September

SEPANG, 9 JULAI: Dato’ Menteri Besar yakin Selangor mampu beralih ke fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) menjelang Ogos atau September ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jangkaan itu berikutan suntikan vaksin untuk penduduk negeri ini yang hampir mencecah 10 peratus dalam tempoh beberapa hari.

“Antara ciri untuk ke fasa dua adalah kadar vaksinasi…kita akan cecah 10 peratus vaksinasi kalangan warga dewasa, itu memang saya yakin dalam dua, tiga hari atau minggu depan kita akan capai.

“Kalau ikut rancangan YB Khairy (Jamaluddin), 80 peratus populasi dewasa di Selangor menerima vaksin boleh dicapai Ogos ini. Jadi Ogos atau September kita akan lebih pantas ke fasa seterusnya,” katanya.

Beliau ditemui selepas meninjau pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) bersasar di Taman Murni di sini hari ini.

Amirudin berkata selain suntikan vaksin, terdapat beberapa faktor lain yang perlu diambil kira antaranya jumlah kes baharu dan sistem kesihatan.

Sebelum ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan tiga indikator perlu dipatuhi bagi membolehkan peralihan kepada fasa dua PPN.

Indikator itu termasuk purata kes harian Covid-19 bawah 4,000 kes, penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) pada kadar sederhana dan kadar vaksin dua dos mencapai 10 peratus.

Semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjelaskan jumlah jangkitan di Selangor dan Kuala Lumpur dijangka meningkat susulan saringan di kawasan PKPD.

Categories
AGENDA NASIONAL

Menteri: Lima negeri beralih ke fasa kedua pemulihan mulai 5 Julai

PUTRAJAYA, 3 JULAI: Perlis, Kelantan, Perak, Pahang dan Terengganu beralih ke Fasa Dua Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) mulai Isnin ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan itu dibuat berdasarkan nilai ambang di negeri-negeri berkenaan yang telah berjaya dicapai.

Beliau mengumumkan perkara itu pada sidang media bersama Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di sini hari ini.

Tiga indikator perlu dipatuhi bagi membolehkan peralihan kepada Fasa Dua PPN iaitu purata kes harian Covid-19 menurun di bawah 4,000 kes, kadar penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) pada paras sederhana dan kadar vaksinasi bagi populasi yang telah menerima dua dos lengkap mencapai 10 peratus.

Ismail Sabri berkata dalam Fasa Dua PPN, pergerakan rentas daerah dan negeri masih tidak dibenarkan kecuali untuk guru sekolah dan pelajar kelas-kelas peperiksaan.

“Selain itu, pengecualian khas akan diberikan kepada pasangan jarak jauh dalam kes-kes kecemasan dan keperluan khas dengan kelulusan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.

Beliau berkata sektor yang dibenarkan beroperasi dalam Fasa Dua PPN adalah Sektor Perdagangan dan Pengedaran iaitu kedai buku dan alat tulis; komputer dan telekomunikasi; barangan eletrik; kedai cuci kereta; dan kedai gunting rambut, iaitu hanya perkhidmatan gunting rambut asas.

Selain itu pasar tani dan pasar pagi dibenarkan beroperasi dari pukul 7.00 pagi sehingga 11 pagi dengan jualan dihadkan kepada enam komoditi utama iaitu sayur-sayuran, buah-buahan, barangan runcit, ayam proses, makanan laut dan daging.

“Bagaimanapun pasar minggu, pasar malam dan pasar tamu masih tidak dibenarkan dibuka,” katanya.

Di bawah Fasa Dua PPN, Ismail Sabri berkata kapasiti pekerja bagi sektor swasta dalam perkhidmatan perlu atau ‘essential services’ akan dinaikkan kepada 80 peratus dan pihak majikan perlu memastikan penjarakan fizikal serta tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan dipatuhi setiap masa.

Beliau turut memaklumkan yang aktiviti sukan dan rekreasi secara individu dan tiada sentuhan fizikal dengan mematuhi penjarakan fizikal sekurang-kurangnya dua hingga tiga meter bagi tujuan kesihatan, kecergasan dan kemahiran kendiri; adalah dibenarkan.

Ia termasuk aktiviti secara individu seperti joging, senaman, taichi, berbasikal, skate boarding, memancing, ekuestrian, memanah, mendaki, tenis perseorangan, golf, permotoran dan seumpamanya.

Sementara itu, Tengku Zafrul yang merupakan Menteri Penyelaras PPN berkata pelaksanaan PPN telah menunjukkan perkembangan positif apabila lima negeri kini beralih ke Fasa Dua.

“Nilai ambang di negeri-negeri dalam fasa dua ini akan dipantau dan dinilai, sekiranya ada peningkatan kes…ia akan dibincangkan dalam sidang khas MKN untuk keputusan lanjut,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Singapura kembali ke fasa dua pembukaan, perketat sempadan

SINGAPURA, 5 MEI: Singapura akan kembali ke fasa dua pembukaan semula kegiatan ekonomi dan sosial bermula 8 hingga 30 Mei.

Singapura kini berada di fasa tiga dari 28 Disember 2020.

Di bawah fasa dua, republik ini akan memperketat syarat kemasukan di sempadan mulai 7 Mei, jam 2359 untuk semua pelancong yang baru tiba dari negara atau wilayah berisiko tinggi.

Perkara itu diumumkan Pasukan Pelbagai Kementerian (MTF) Covid-19 pada sidang media maya di sini semalam.

Pengerusi bersama MTF Lawrence Wong berkata beberapa negara terus mengalami lonjakan semula kes dan kemunculan varian baharu virus juga telah dikesan di Singapura.

Wong berkata jumlah kes tempatan dan komuniti juga terus meningkat, menandakan penularan kes boleh meningkat jika tidak dibendung.

“Kami akan mengambil langkah tegas untuk membendung jangkitan Covid-19 di Singapura,” kata Wong yang juga Menteri Pendidikan.

Selain memperketat syarat kemasukan di sempadan, republik itujuga akan mengurangkan kebenaran masuk kepada warga asing dan penduduk tidak tetap.

MTF juga akan melanjutkan sejarah perjalanan sehingga 21 hari berbanding 14 hari, tetapi tidak termasuk untuk Gelembung Perjalanan Udara dan Laluan Hijau Timbal Balik.

Semakan semula tempoh Notis Duduk di Rumah (SHN) hingga 21 hari berbanding 14 hari juga akan dibuat.

Bagaimanapun, Australia, Brunei Darussalam, China, New Zealand, Taiwan, Hong Kong, dan Macau dikecualikan daripada semakan tersebut.

Mulai 8 Mei, langkah-langkah tambahan akan dikenakan untuk mengurangkan interaksi dalam kalangan masyarakat. Perkumpulan sosial hanya lima orang dibenarkan berbanding lapan sebelum ini.

Sementara itu, majikan mesti memastikan tidak lebih 50 peratus pekerja yang boleh bekerja dari rumah kembali ke tempat kerja.

Buat masa ini, sehingga 75 peratus pekerja yang bekerja dari rumah dibenarkan kembali ke tempat kerja.

Sehingga tengah hari ini, Singapura melaporkan lima kes baharu Covid-19 membabitkan jangkitan tempatan.

Selain itu, terdapat 12 kes import, melibatkan mereka di bawah kategori SHN sebaik tiba di Singapura.

Secara keseluruhan, terdapat 17 kes baharu di Singapura hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan 61,252.

Terdapat 10 kluster setakat ini dengan kes tertinggi berkaitan Kluster 62541, seorang jururawat di Hospital Tan Tock Seng (TTSH).

– BERNAMA