Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kutipan sampah pascabanjir dijangka selesai minggu depan

SHAH ALAM, 2 JAN: KDEB Waste Management (KDEBWM) menjangka kerja pembersihan pascabanjir di seluruh kawasan terjejas di Selangor diselesaikan minggu depan.

Pengarah Urusannya Ramli Mohd Tahir berkata operasi di lapan kawasan mencapai 85 peratus dengan Sepang dan Petaling Jaya telah selesai manakala Klang, Shah Alam, Kajang, Kuala Selangor, Kuala Langat serta Subang Jaya disasar berakhir Khamis ini.

Katanya, lokasi utama, Taman Sri Muda pula 60 peratus dan proses pembersihan dijangka dapat dilakukan sepenuhnya tiga hari selepas itu.

“Taman Sri Muda memakan sedikit masa memandangkan kawasan itu sangat besar. Di sana sahaja ada 9,700 rumah serta 179 kilang membabitkan 25 taman, jadi sisa pukal banyak dan diharap penduduk dapat bersabar,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM), Ramli Mohd Tahir ketika diwawancara Media Selangor mengenai makluman terkini pengurusan sisa pepejal pascabanjir di pejabat KDEB, Shah Alam pada 27 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Sementara itu, Ramli memaklumkan sebanyak 33,000 tan sisa bencana diangkut dari semua kawasan terlibat setakat 11 hari operasi berkenaan.

Beliau turut menjangkakan sebanyak 2,500 hingga 3,000 tan sampah pukal lagi akan dikeluarkan menggunakan 80 unit lori Roll On Roll Off (RoRo) hari ini.

“Idea kita adalah untuk keluarkan sampah dari rumah sebanyak mungkin. Kita pindahkan lori RoRo dari kawasan sudah selesai bagi mengangkut sisa di tempat masih beroperasi terutama Taman Sri Muda,” katanya.

Syarikat pengurusan sisa pepejal milik penuh Kerajaan Negeri itu membersihkan kawasan terjejas banjir di beberapa daerah secara berperingkat menerima bantuan sukarelawan dan pihak berkuasa tempatan termasuk negeri lain bagi mempercepat urusan.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember tahun lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180 milimeter mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.