Categories
AGENDA NASIONAL

KPM pastikan pemeriksaan haid secara fizikal tidak berulang

KUALA LUMPUR, 27 OKT: Kementerian Pendidikan (KPM) memandang serius dakwaan berhubung terdapat amalan pemeriksaan haid secara fizikal dalam kalangan pelajar perempuan di sekolah.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata pihaknya komited dalam memastikan amalan itu tidak berulang, sekiranya ia benar wujud di mana-mana institusi KPM.

“Sejurus tiba dari Kuching di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), saya terus ke sebuah sekolah di Setapak, Kuala Lumpur bagi mendapatkan maklumat berhubung dakwaan berlaku amalan pemeriksaan haid secara fizikal dalam kalangan murid perempuan.

“Kedatangan saya adalah untuk mendengar dan mendapatkan maklum balas secara terus daripada murid di sekolah berkenaan,” katanya menerusi hantaran di Facebook, malam tadi.

Radzi berkata kedatangan beliau yang disertai Ketua Setiausaha KPM Datuk Yusran Shah Mohd Yusof dan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia Datin Seri Nor Zamani Abdol Hamid, juga bertujuan mendengar penjelasan daripada pengetua dan guru sekolah.

“Kami akan perhalusi perkara-perkara yang dimaklumkan semasa perjumpaan sebentar tadi (malam tadi). KPM sentiasa komited dalam menyediakan persekitaran yang selamat dan selesa di sekolah dan asrama. Ini bagi mewujudkan sekolah yang sejahtera untuk semua,” katanya.

Baru-baru ini, seorang pengguna menerusi ciapan di Twitter mendakwa seorang pelajar memberitahunya bahawa dia bersama kira-kira 30 pelajar lain berusia antara 18 dan 19 tahun telah dikumpulkan di sebuah kolej kira-kira pukul 7.50 malam pada 18 Okt lalu bagi menjalani pemeriksaan untuk membuktikan mereka sedang dalam haid.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pemeriksaan haid langgar hak kanak-kanak – Suhakam

KUALA LUMPUR, 24 APRIL: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menyifatkan “pemeriksaan datang bulan” sebagai pelanggaran terhadap hak kanak-kanak dan menyalahi undang-undang kerana wujud unsur gangguan dan penderaan seksual.

Pesuruhjaya Kanak-kanak Suhakam Profesor Datuk Noor Aziah Mohd Awal berkata selaras dengan Perkara 28 Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCRC) yang telah diratifikasi oleh Malaysia pada 1995, negara wajib untuk memastikan sekolah melaksanakan disiplin selaras dengan hak dan kemuliaan kanak-kanak.

“Di bawah Konvensyen yang sama, Perkara 16, 19 dan 36 masing-masing menyatakan bahawa kanak-kanak mempunyai hak untuk privasi, perlindungan daripada penyalahgunaan, keganasan dan pengabaian dan perlindungan dari segala bentuk eksploitasi lain yang merangkumi eksploitasi seksual dan gangguan seksual,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Sebelum ini tular di laman Twitter beberapa pelajar mendedahkan amalan “pemeriksaan datang bulan” terhadap pelajar perempuan semasa bulan Ramadan di sekolah, dan mereka mendakwa turut diminta membuka pakaian dalam bagi membuktikan mereka sedang dalam haid dan tidak boleh berpuasa.

Sementara itu, Noor Aziah turut mengingatkan Kementerian Pendidikan (KPM) tentang tanggungjawabnya untuk melindungi semua kanak-kanak atau pelajar daripada segala bentuk gangguan dan eksploitasi seksual, sebagaimana dinyatakan dalam Perkara 34.

Justeru, beliau meminta KPM untuk mengambil tindakan tegas terhadap guru dan pihak sekolah yang telah melanggar hak dan maruah kanak-kanak sebelum ini.

Menurutnya, garis panduan mendisplinkan pelajar yang lebih jelas mesti diperkenalkan untuk memastikan penyalahgunaan kuasa dalam kalangan guru tidak berulang.

“Amat penting bagi Malaysia untuk mewujudkan dan memastikan persekitaran yang lebih selamat untuk generasi masa hadapan kita,” katanya.

Beliau juga menyeru semua kementerian dan pihak berkepentingan termasuk ibu bapa dan guru untuk bersama-sama memastikan sekolah dan sekolah berasrama penuh menjadi tempat yang selamat untuk kanak-kanak pada setiap masa.

– BERNAMA