Categories
AGAMA AGENDA NASIONAL

Tabung Haji perkenal perkhidmatan pindahan dana guna JomPAY

KUALA LUMPUR, 3 FEB: Lembaga Tabung Haji (TH) memperkenalkan kemudahan pemindahan dana dalam talian menerusi JomPAY sebagai sebahagian usaha ke arah pendigitalan dengan menyediakan lebih banyak titik sentuh untuk memudahkan pendeposit.

Pengarah Eksekutif Operasi TH, Mustakim Mohamad berkata pendeposit dapat memindahkan dana daripada akaun simpanan atau semasa bank kepada akaun simpanan TH melalui platform perbankan Internet sedia ada.

“Tambahan pula, pendeposit tidak perlu membuat sebarang pendaftaran untuk menggunakan kemudahan ini dan ia adalah percuma,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut TH jumlah transaksi pendeposit yang menggunakan kemudahan perbankan Internet dan pelbagai saluran dalam talian meningkat kepada hampir 80 peratus berbanding transaksi dilakukan di kaunter.

Ia menjelaskan sebanyak 28 bank di Malaysia menyediakan kemudahan ini menerusi platform perbankan Internet masing-masing.

‘Biller Code’ JomPAY bagi simpanan TH adalah 60228 dengan 15-digit nombor Akaun Simpanan TH perlu dimasukkan sebagai Ref-1.

– BERNAMA

Grafik: Facebook Tabung Haji