Categories
AGENSI PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Pencemaran diesel di Sungai Selangor: Polis tahan dua lelaki

SUBANG JAYA, 25 JUL: Polis Selangor menahan dua lelaki semalam, bagi membantu siasatan kes pencemaran diesel di Sungai Selangor, baru-baru ini.

Ketua Polis Negeri, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, kedua-dua lelaki itu masing-masing merupakan pengusaha dan pekerja pontun di sungai berkenaan.

“Mereka yang berusia awal 30-an ditahan di pontun itu di Kuala Selangor dan kini direman selama empat hari sehingga 28 Julai,” katanya kepada pemberita pada penutup seminar dan latihan ancaman keganasan di sini, hari ini.

Menurutnya, polis setakat ini telah merekodkan lebih 10 keterangan dalam siasatan kes itu.

Insiden pencemaran itu mengakibatkan henti tugas empat loji rawatan air, pada 21 Julai lalu yang menjejaskan pengguna di Selangor dan Kuala Lumpur.

Noor Azam berkata, siasatan juga dijalankan dengan kerjasama Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA

KSSB siasat punca pencemaran diesel Sungai Selangor

SHAH ALAM, 22 JUL: Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) sedang menyiasat punca pencemaran diesel di Sungai Selangor yang menyebabkan henti tugas tiga Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 (LRA SSP1, LRA SSP2 dan LRA SSP3).

Pengurus Kanan Perhubungan Awam dan Hal Ehwal Korporat KSSB, Abdul Wahab Nordin berkata, pihaknya mengesan tumpahan tumpahan diesel di kawasan Sungai Selangor berhampiran Kolam Hang Tuah pada 21 Julai kira-kirar jam 6.15 petang dan kesal dengan kejadian berlaku.

“Pasukan tindakan kecemasan (ERT) kami telah dikerahkan dengan segera ke tapak kejadian dan punca tumpahan telah dikenal pasti serta dikawal.

“Kami kini sedang memantau situasi dan bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, siasatan dilakukan dari semua sudut termasuk kemungkinan berlakunya unsur khianat serta sabotaj dan akan memberikan maklumat tambahan pada masa akan datang.

Katanya, KSSB turut menegaskan perlindungan alam sekitar, sungai dan sumber air adalah keutamaan mereka.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd sebelum ini mengesan pencemaran minyak diesel di LRA SSP1, LRA SSP2 dan LRA SSP3 serta LRA Rantau Panjang dari sumber air mentah Sungai Selangor.

Ekoran insiden pencemaran itu, LRA Rantau Panjang terpaksa dihentitugas pada jam 6 petang, LRA SSP3 pada jam 8 malam manakala LRA SSP1 serta LRA SSP2 pada jam 8.15 malam, semalam.

Bagaimanapun, ketiga-tiga LRA Sungai Selangor serta LRA Rantau Panjang kembali beroperasi pada kira-kira jam 3.30 pagi tadi.

Categories
SELANGOR

Air Selangor kesan pencemaran minyak diesel

SHAH ALAM, 21 JUL : Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mengesan pencemaran minyak diesel di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 (LRA SSP1, LRA SSP2 dan LRA SSP3) serta Loji Rawatan Air Rantau Panjang dari sumber air mentah Sungai Selangor.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasinya, Abdul Raof Ahmad berkata, ekoran insiden pencemaran itu, LRA Rantau Panjang terpaksa dihentitugas pada jam 6 petang hari ini, LRA SSP3 pada jam 8 malam dan LRA SSP1 serta LRA SSP2 pada jam 8.15 malam.

Katanya, pihak Air Selangor telah melaporkan insiden pencemaran ini kepada pihak berkuasa dan
mendapati punca pencemaran adalah dari kerja-kerja pengorekkan pasir di hulu sungai.

“Ini merupakan insiden kedua dalam tempoh tiga hari melibatkan penutupan kempat-empat Loji Rawatan Air Utama dan menyebabkan gangguan tidak berjadual berskala besar kepada pelanggan.

“Pihak kami tidak dapat memastikan jangkamasa pemulihan sekiranya insiden pencemaran sumber air
mentah kembali berulang dan berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi sebarang insiden seperti yang berlaku pada hari ini,” katanya.

Abdul Raof berkata, kawasan terjejas adalah adalah sama seperti senarai terdahulu dan sila rujuk
aplikasi telefon bimbit Air Selangor, laman sesawang www.syabas.com.my dan
facebook Air Selangor atau Twitter @air_selangor bagi mendapatkan maklumat dan
status terkini yang akan dikemaskini dari semasa ke semasa.