Categories
AGENDA NASIONAL

Rumah dilanda bah, pengantin harung air ke masjid langsung majlis nikah

HULU TERENGGANU, 26 FEB: Seorang pengantin perempuan terpaksa mengharungi banjir beberapa meter untuk menuju ke Masjid Kampung Matang di sini bagi melangsungkan majlis pernikahannya pagi tadi.

Zaleha Ahamad, 25, berkata majlis pernikahan itu sepatutnya diadakan di rumahnya di Kampung Matang di sini, namun terpaksa bertukar lokasi ke masjid itu kerana rumahnya dinaiki air lebih satu meter sejak semalam.

“Mengikut perancangan asal, selepas bernikah, saya dan suami Sayed Khalil Khusairi Tuan Hamzah (26 tahun) terus bersanding di rumah namun apakan daya, ia terpaksa dibatalkan.

“Tak sangka majlis pernikahan yang sepatutnya menjadi kenangan indah seumur hidup bertukar menjadi begini. Namun, saya fikir positif bahawa pengalaman mengharung banjir ini akan menjadi sesuatu yang manis untuk kami kongsikan kepada anak cucu nanti,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Kampung Matang adalah antara kampung yang sering terjejas banjir di daerah Hulu Terengganu kerana lokasinya terletak di kawasan yang agak rendah berhampiran Sungai Telemong.

Anak keempat daripada enam beradik itu berkata dia tidak menyangka banjir akan berlaku kali ini kerana kebiasaannya banjir di daerah itu hanya terjadi dalam tempoh November hingga awal Januari sahaja.

“Majlis ini dirancang sebulan lepas kerana kedua-dua keluarga pengantin beranggapan banjir sudah selesai. Walaupun tidak dapat melalui pengalaman sepertimana pengantin lain, saya dan suami tetap bersyukur kerana telah menghalalkan ikatan perhubungan.

“Khemah untuk jamuan semua tetamu pula terpaksa dialihkan ke atas jalan kerana halaman rumah dinaiki air,” katanya yang mengenali suami sejak sekolah menengah.

Ketika ini, seramai 493 penduduk daripada 156 keluarga terjejas banjir di daerah Hulu Terengganu dan ditempatkan di 14 pusat pemindahan sementara (PPS) daerah itu.

— BERNAMA

 

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jais benar akad nikah di masjid, surau terpilih bermula 4 Oktober

SHAH ALAM, 4 OKT: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) membenarkan majlis akad nikah di masjid dan surau yang diberi kebenaran untuk solat Jumaat mulai hari ini.

Berdasarkan infografik Jais di Facebook, jumlah kehadiran mengikut lokasi dengan majlis pernikahan di masjid dan surau boleh dijalankan pada setiap hari.

Sekiranya diadakan di Jais ataupun Pejabat Agama Islam Daerah (Paid), bilangan kehadiran adalah seramai tiga orang iaitu pengantin lelaki, pengantin perempuan dan wali sahaja.

Manakala bagi akad nikah di masjid dan surau, pihak yang dibenarkan ialah pengantin lelaki, pengantin perempuan, wali dan tiga orang lain yang ditentukan pihak berkenaan.

Jurugambar bagaimanapun tidak dibenarkan hadir majlis akad nikah.

Jais juga mengingatkan pihak hadir ke lokasi akad nikah perlu lengkap vaksin, namun bagi yang tidak lengkap wajib menjalani ujian polimeras masa nyata (RT-PCR) tiga hari sebelum majlis berlangsung.

Ketua pendaftar perkahwinan, penceraian dan rujuk atau pegawai tadbir agama boleh menangguhkan atau membatalkan upacara nikah jika melanggar syarat berkenaan.

Sebelum ini Jais hanya membenarkan pelaksanaan majlis akad nikah secara bersemuka mulai 1 Julai di pejabat pihak berkuasa agama itu dan Paid dari Isnin hingga Ahad.

Pasangan perlu mendapatkan tarikh janji temu terlebih dahulu dan kehadiran adalah terhad kepada pengantin lelaki, perempuan serta wali.