Categories
SELANGOR

Haniza : Program Kitar Semula Langkah Proaktif Atasi Masalah Sampah

PETALING JAYA 14 SEPT : DUN Taman Medan dengan kerjasama Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan mengadakan kempen kitar semula secara aktif  bagi membantu mengatasi masalah sampah.

Di samping itu, kempen kesedaran akan turut dipergiatkan dengan mengalakkan penglibatan masyarakat secara menyeluruh.

Menurut Adun Taman Medan, Haniza Talha berkata dua inisiatif ini boleh dilaksanakan bagi memastikan kawasan persekitaran bebas daripada masalah sampah.

Masalah utama yang berlaku di kawasan ini ialah longgokan sampah di tempat pembuangan sampah yang sering menggangu penduduk.

Beliau berkata, semua pihak termasuk penduduk setempat perlu bertanggungjawab dan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memastikan masalah sama tidak berulang lagi.

“Saya dapati tindakan yang sesuai ialah sama ada memindahkan tapak sampah yang tidak sesuai ke kawasan lebih sesuai. Masalah ini boleh di atasi jika kita lakukannya secara holisitik.

“Siapa yang bersalah itu isu kedua, yang penting tindakan untuk diambil bagi mengatasi masalah ini. Masyarakat juga perlu sedar bahawa mereka tidak boleh meletak tanggungjawab itu di bahu PBT sahaja. Semua pihak perlu mainkan peranan,” katanya.

Haniza berkata demikian semasa mengadakan tinjauan di beberapa lokasi di sekitar Taman Medan untuk mengenalpasti kawasan yang mengalami masalah longgokan sampah.

Tinjauan itu turut disertai Pengarah Kesihatan dan Alam Sekitar MBPJ, Dr Chitra Devi Vadivellu serta beberapa anggota penguatkuasa MBPJ.

Tambahnya, isu sampah yang berlarutan sejak beberapa bulan lalu di kawasan itu dikatakan berpunca daripada sikap pihak tidak bertanggungjawab yang membuang sampah di kawasan tidak sepatutnya.

Katanya, ekoran daripada itu, pihak kontraktor mengalami kesukaran untuk mengutip sampah secara konsisten yang akhirnya menjadikan masalah di kawasan itu bertambah serius.

“Saya akan mengadakan perbincangan bersama penduduk setempat dalam masa terdekat bagi membincangkan masalah berkenaan selain perjumpaan lanjut bersama pihak MBPJ,” katanya.

Dalam pada itu, rata-rata penduduk setempat yang ditemui meminta Adun serta pihak MBPJ supaya kerap memantau masalah tersebut dari semasa ke semasa.