Categories
SELANGOR

Hina PBT di FB, MPK lapor polis

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 12 OGOS: Satu laporan polis dibuat Majlis Perbandaran Klang (MPK) terhadap pemilik akaun facebook ekoran statusnya di laman sosial itu didakwa berbaur penghinaan terhadap MPK, petang semalam.

Pengarah Komunikasi Korporat MPK, Norfiza Mahfiz berkata, MPK mendakwa sebaran di laman sosial itu juga dipercayai sengaja memburukkan kakitangan MPK sekaligus mempertikaikan kewibawaan Kerajaan Negeri.

“Laporan polis ini dibuat bertujuan menjaga kepentingan dan maruah serta integriti pegawai dan kakitangan yang menjalankan tugas dengan amanah.

“MPK memohon pihak polis mengambil tindakan sewajarnya,” katanya kepada SelangorKini.

Norfiza mendakwa, menerusi Facebook itu, individu berkenaan dipercayai mengeluarkan perkataan berbaur lucah dan menghina pihak kerajaan secara terus serta ditujukan kepada agensi lain termasuk Jabatan Kerja Raya.

Laporan polis itu dibuat Norfiza dan Timbalan Pengarah Kesihatan, Hasnor Harith dan Ahli Majlis MPK, Dato’ Deepakaran serta 50 kakitangan MPK di Balai Polis Klang Selatan.

Dalam saluran laman sosial itu didakwa mempertikaikan tahap kecemerlangan PBT di Selangor yang diiktiraf mendapat lima dan empat bintang.