Isu LRT Ampang : George Kent Gagal Bidaan

KUALA LUMPUR 3 JUN : PKR mendakwa konsortium yang memenangi tender projek sambungan LRT Ampang, George Kent, sebenarnya tidak layak dari segi pengalaman teknikal mahupun kemampuan kewangan untuk projek bernilai RM 960 juta itu.

Pengarah Strategi Rafizi Ramli berkata jurutera perunding Halcrow menunjukkan konsortium tersebut memperolehi markah rendah dalam penilaian teknikal dan gagal di dalam penilaian kewangan.

Penilaian tersebut di hantar ke Syarikat Prasarana Negara Sdn Bhd (SPNB) yang bertanggungjawab untuk mengendalikan projek tersebut.

“Konsortium berkenaan langsung tiada pengalaman dalam projek rel dan hanya pernah kendalikan projek bernilai RM 40 juta.

“Sedangkan, tujuh pembida lain dalam tender berkenaan kesemuanya telah menyiapkan projek bernilai antara RM458 hingga RM5 bilion,” dakwa Rafizi dalam satu sidang media di sini hari ini.

Mengikut dokumen yang diberikan kepada media, keputusan penilaian itu di dalam satu surat bertarikh September 2011 yang dihantar kepada Jawatankuasa Peroleh Menteri Kewangan (JPMK) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Surat tersebut dihantar oleh Pengarah Urusan Kumpulan Prasarana, Datuk Shahril Mokhtar.

“Berdasarkan dokumen-dokumen ini terbuktilah George Kent tidak mempunyai apa-apa kemahiran, kepakaran atau pengalaman kecualilah hubungan baik di antara George Kent dan Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Malangnya keputusan Perdana Menteri untuk campur tangan dengan membatalkan keputusan panel jawatankuasa penilai menggambarkan ketidakprihatinan beliau terhadap bahaya dan risiko keselamatan awam,” tegasnya.

Laporan sebelum mendakwa Najib campur tangan di dalam pemberian kontrak
projek LRT Ampang kepada George Kent.

Manakala Rafizi mendakwa SPNB telah memaklumkan bahawa Konsortium PDA terpilih sebagai kontraktor terbaik bagi projek itu dalam satu surat bertarikh 22 Jun.

Rafizi mendakwa tindakan itu mengesahkan Najib telah bertindak menukar keputusan SPNB dan menolak proses tender terbuka dalam projek mega yang melibatkan berbilion wang rakyat.

Sehubungan itu, Rafizi menyeru agar Najib Razak tampil menjelaskan sebab dan pertimbangan yang digunakan beliau sewaktu memberi keputusan menganugerahkan kerja-kerja tersebut kepada sebuah konsortium yang tidak layak.