Categories
NASIONAL

Aliran trafik perlahan di beberapa lebuh raya utama

KUALA LUMPUR, 5 FEB: Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama dilaporkan bergerak perlahan ​​​​​berikutan orang ramai bercuti dan pulang ke kampung sempena cuti sekolah serta perayaan Tahun Baharu Cina, hari ini.

Menurut jurucakap PLUS Malaysia Berhad, setakat 2 petang tadi, aliran trafik di bahagian selatan perlahan dari Machap ke Yong Peng.

“Turut perlahan di kawasan bangunan Sultan Iskandar dari arah Singapura menuju ke Malaysia,” katanya lapor BERNAMA.

Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata, aliran trafik di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 dan LPT 2 di kedua-dua arah dilaporkan lancar setakat ini.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

Laluan Bukit Lanjan-Shah Alam di NKVE ditutup sementara Ahad ini

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 9 MAC: Laluan di antara persimpangan bertingkat Bukit Lanjan dan persimpangan bertingkat Shah Alam di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) akan ditutup sementara bermula jam 12.30 pagi hingga 10.00 pagi pada Ahad, 13 Mac ini.

Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad (PLUS), Datuk Noorizah Abd Hamid, berkata penutupan itu dibuat bagi memberi laluan kepada penganjuran acara Larian Amal, UEM Charity Run.

Katanya, ia membabitkan persimpangan bertingkat Subang, persimpangan bertingkat Damansara dan persimpangan bertingkat Kota Damansara serta sebahagian persimpangan bertingkat Bukit Lanjan dan Shah Alam.

noorizah_plus-tol_600“Orang ramai dinasihatkan supaya menggunakan laluan alternatif serta merancang perjalanan mereka sepanjang penutupan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, pengguna jalan raya dari arah utara masih boleh terus ke Kuala Lumpur menerusi Plaza Tol Jalan Duta yang beroperasi seperti biasa.

Bagaimanapun, Noorizah berkata orang ramai yang ingin ke Lebuhraya Elite, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Seremban dan destinasi lain ke Selatan perlu keluar dari Lebuhraya Utara – Selatan menerusi persimpangan Rawang Selatan dan menggunakan Lebuhraya Guthrie sebelum memasuki Lebuhraya Elite menerusi Plaza Tol Shah Alam.

Manakala bagi kenderaan dari arah Lebuhraya Elite menghala ke Utara pula, mereka perlu keluar di Plaza Tol Shah Alam sebelum menggunakan Lebuhraya Guthrie dan masuk ke Lebuhraya Utara – Selatan menerusi persimpangan Rawang Selatan sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi Utara.

Jelasnya, laluan Bukit Lanjan – Shah Alam di NKVE dijangka dibuka semula kepada orang ramai mulai jam 10.00 pagi pada 13.00 Mac sejurus berakhirnya program Larian Amal itu.

-nR-