Categories
AGENDA NASIONAL

Kuarantin 14 hari bagi pengembara dari negara lapor virus jenis baharu

KUALA LUMPUR, 24 APRIL: Pengembara yang baru tiba dari negara yang melaporkan penularan virus Covid-19 Varian Yang Membimbangkan (VOC) jenis baharu perlu menjalani tempoh kuarantin wajib yang dipanjangkan kepada 14 hari berbanding 10 hari sebelum ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata arahan itu sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan penularan VOC jenis baharu di Malaysia memandangkan ada dalam kalangan varian itu telahpun dikesan di Malaysia, misalnya varian B.1.351 atau South African variant.

“Melihat kepada perkembangan pelaporan beberapa jenis VOC baharu lagi di banyak negara luar, adalah dikhuatiri varian ini kemungkinan boleh dibawa masuk oleh pengembara yang mengembara ke Malaysia.

“VOC ini boleh menyebabkan penularan jangkitan berlaku dengan pantas, jangkitan dengan gejala teruk dan komplikasi, kurang keberkesanan perlindungan yang diberikan oleh vaksin serta kesukaran mengesan jangkitan melalui ujian makmal tertentu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Ismail Sabri berkata pengembara juga perlu menjalani ujian pengesanan jangkitan Covid-19 tiga hari sebelum tarikh berlepas, menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian (kuarantin) di stesen kuarantin serta mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang masih berkuat kuasa di Malaysia.

Beliau berkata berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), terdapat tiga jenis varian yang membimbangkan iaitu B.1.351 yang mula dilaporkan di Afrika Selatan, B.1.1.7 dari United Kingdom; dan B.1.1.28 atau P1 dari Brazil dan Jepun.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM lulus lebih 400 permohonan pengembara jalani kuarantin di rumah

SHAH ALAM, 30 MAC: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meluluskan 409 daripada 2,743 permohonan untuk menjalani kuarantin wajib di kediaman sejak Januari hingga 27 Mac lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Noor Hisham Abdullah berkata kelulusan berdasarkan penilaian risiko jangkitan Covid-19 menggunakan kriteria yang ditetapkan.

“Kriterianya termasuklah bukti pengembara telah mengambil vaksin Covid-19 yang lengkap dan mereka dari negara yang berisiko rendah.

“Selain itu, mereka mempunyai kediaman yang bersesuaian untuk kuarantin termasuk tiada risiko jangkitan kepada ahli keluarga atau individu serumah serta keputusan ujian Covid-19 yang negatif,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menjelaskan pada 12 Mac lalu, KKM memutuskan penilaian risiko perlu dijalankan terhadap pengembara yang telah menjalani imunisasi lengkap dan memohon untuk pengecualian kuarantin di stesen kuarantin.

Dr Noor Hisham berkata pengembara yang memenuhi kriteria akan diberi kelonggaran untuk menjalani kuarantin wajib di rumah namun tertakluk kepada syarat kuarantin yang ditetapkan kerajaan.

“KKM akan terus memantau perkembangan jangkitan Covid-19 dalam dan luar negara di mana saringan dalam kalangan pengembara diteruskan di semua pintu masuk antarabangsa,” katanya.