Categories
NASIONAL

Rakyat makin terbeban, masih ramai miskin

 

SHAH ALAM, 27 OKT: Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kononnya usaha kerajaan pimpinannya mula menampakkan hasil dalam merungkai kesengsaraan rakyat berdepan cabaran ekonomi semasa disifatkan sebagai tidak masuk akal.

Pengerusi KEADILAN Terengganu, Azan Ismail berkata, realitinya rakyat semakin terbeban dan masih ramai yang hidup dalam kemiskinan.

“Walaupun median pendapatan bulanan isi rumah RM4,585 pada 2014 meningkat kepada RM5,228 pada 2016 dengan kadar pertumbuhan pertumbuhan 6.6 peratus setahun pada nilai nominal, namun ia bukan ukuran untuk kerajaan ‘berkokok’ bahawa kehidupan rakyat sudah selesa serta lepas daripada kesengsaraan.

“Bagaimana pula dengan kenaikkan harga barang yang menyusahkan rakyat dan tidak selari dengan pendapatan mereka?

“Kenaikan harga bahan api misalnya mengakibat kos pengangkutan meningkat, membentuk pula kesan berantai kepada kenaikan beberapa kos sara hidup lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 20 Oktober lalu, Najib berkata usaha kerajaan kini mula menampakkan hasil apabila pendapatan rakyat dalam kumpulan berpendapatan rendah B40 dan pertengahan M40 meningkat dengan begitu ketara.

Mengambil contoh Indeks Harga Pengguna (CPI), Adun Bandar itu berkata, bagi bulan Mac 2017 naik ke paras 5.1 peratus berbanding Februari 2017 pada paras 4.5 peratus kerana peningkatan mendadak kos barangan dan perkhidmatan dalam kumpulan pengangkutan.

“Ini jelas memberikan kesan buruk kepada rakyat. Apakah kerajaan fikirkan perkara ini?

”Bukan itu sahaja, peningkatan kadar inflasi juga memberi kesan kepada kos sara hidup rakyat yang mencatatkan rekod sejak krisis kewangan dunia sedekad lalu.

”Bahkan, Malaysia telah merekodkan kadar inflasi sebanyak 4.3 peratus setahun pada September, yang tertinggi sejak bulan Mac akibat peningkatan kos pengangkutan dan harga bagi makanan dan minuman bukan alkohol,” katanya.

Katanya, pengenalan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) juga langsung tidak membantu meringankan beban rakyat, sebaliknya menambah beban termasuk menambahkan lagi jumlah miskin bandar.

“Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) juga tidak membantu menampung hidup rakyat kerana ia hanya pemberian ‘one-off’ yang bersifat sementara.

”Berhentilah Najib daripada memperbodohkan rakyat, rakyat sudah buka mata dan bijak menilai,” katanya.