Categories
AGENDA NASIONAL

Patuh arahan parti, Amirudin sedia tanding kerusi Gombak

SHAH ALAM, 16 APRIL: Dato’ Seri Amirudin Shari menyerahkan keputusan untuk bertanding mana-mana kerusi dalam pilihan raya umum ke-15 kepada pucuk pimpinan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN).

Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Selangor yang juga wakil rakyat Sungai Tua, salah satu Dewan Undangan Negeri dalam Parlimen Gombak, juga sedia jika dinamakan sebagai calon kerusi Parlimen tersebut.

“Kemungkinan bagi saya itu macam-macam. Mungkin (bertanding) dan mungkin juga tidak tetapi yang pasti, kemungkinan untuk saya lompat parti itu tidak ada,” tegasnya.

Amirudin ditanya sama ada beliau mungkin bertanding kerusi yang pernah disandang pemimpin utama KEADILAN selepas majlis pelancaran inisiatif Infrastruktur Digital Pintar Smart Selangor (SDI) di Wisma Ehsan di sini hari ini.

Dato’ Menteri Besar juga menjelaskan beliau sebagai ahli parti yang setia perlu patuh sebarang keputusan pimpinan tertinggi parti.

“Saya berhasrat memastikan Selangor menyumbang kerusi untuk KEADILAN serta Pakatan Harapan (PAKATAN). Itu adalah strategi dan taktikal yang akan dibincangkan bila tiba masa yang sesuai,” katanya.

Categories
SELANGOR

BN gagal tawar apa-apa tekad, sekadar bijak melaga rakyat

OLEH NORHAYATI UMOR

SEMENYIH, 1 MAC: Barisan Nasional (BN) gagal menawarkan apa-apa tekad kepada penduduk Semenyih sebaliknya hanya mampu melagakan antara satu sama lain.

Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Selangor, Amirudin Shari berkata, sebaliknya Calon Pakatan Harapan (PAKATAN), Muhamad Aiman menawarkan lima agenda sebagai tekad menjadikan Semenyih lebih maju.

“Calon kita saudara Muhammad Aiman tawar lima tekad sebagai komitmen beliau untuk penduduk Semenyih tetapi BN tiada apa-apa yang ditawarkan.

“Datang bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tawar nak bawa Rosmah ke Semenyih jika menang. Kamu semua nak ke terima Rosmah datang Semenyih?

“Mereka tak pandai, tapi hanya pandai lagakan orang, tiada dasar atau polisi,” katanya pada Majlis Malam Irama Harapan Semenyih di Bandar Tasik Kesuma, di sini.

Amirudin yang juga Dato’ Menteri Besar turut menyelar kenyataan Najib yang mendakwa pengurangan kadar tol di beberapa lebuhraya hanya menguntungkan pelanggan kelab malam.

“Beliau tidak tahu yang menggunakan tol itu ada dalam kalangan pekerja shift malam, berniaga sehingga lewat malam cari rezeki, inilah nasib kalau biar BN menang.

“Kita mahu menghapuskan tol secara berperingkat, ia bukan mudah sebab BN buat perjanjian yang menyusahkan, kalau hapuskan secara terus pastinya hutang negara bertambah,” katanya.

Pada masa sama, beliau percaya walaupun BN menggunakan pelbagai helah dan menakutkan rakyat dengan sentimen perkauman, namun dengan adanya muafakat, rakyat dapat menilai.

“Untuk teruskan perubahan dan kemajuan secara senada dengan Kerajaan Persekutuan, pelbagai helah BN cuba taburkan, saya percaya dengan adanya muafakat, rakyat akan bangkit melawan kejahatan.

“Kalau tergerak untuk tukar BN, fikirlah..ia tidak akan bawa apa-apa sebab terbukti BN merupakan kerajaan buruk yang ditukar rakyat,” katanya.

Katanya, gabungan PAKATAN juga mampu menterjemahkan demokrasi dan terbukti berjaya memerintah sekali gus memajukan negeri dan menjaga semua kaum.

 

Categories
SELANGOR

Semarak Srikandi KEADILAN pupuk minat wanita muda

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SUBANG JAYA, 10 FEB: Program Semarak Srikandi yang digerakkan Srikandi KEADILAN menjadi wahana penting dalam usaha memupuk minat wanita muda melalui aktiviti kemasyarakatan.

Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Selangor, Amirudin Shari berkata, beliau menyokong penuh program berkenaan dan sentiasa berpegang kepada falsafah utama sebagai pemimpin iaitu ‘bekerja untuk rakyat, berkhidmat kepada negara’.

“Sejarah mencatatkan pemimpin wanita ternama di dunia seperti Benazir Bhutto, Margaret Thatcher, Corazon Aquino bermula sebagai aktivis politik.

“Minat mereka terhadap bidang politik bermula dengan aktiviti kemasyarakatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Hi Tea Pimpinan KEADILAN Bersama Srikandi KEADILAN, di Hotel Empire, di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali; Timbalan Ketua Wanita KEADILAN, Dr Daroyah Alwi; Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua dan Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Elizabeth Wong.

Amirudin yang juga Dato’ Menteri Besar berkata, Kerajaan Negeri mementingkan budaya kesukarelawanan dan kemasyarakatan dalam memacu pembangunan di Selangor khususnya.

Katanya, sebagai negeri termaju di Malaysia, pembangunan tidak seharusnya dilihat dalam bentuk Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan pelaburan sahaja, tetapi harus seiring dengan pembangunan sahsiah, rohani serta manusiawi.

“Dalam belanjawan baru-baru ini, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM10 juta bagi memberdaya golongan belia ke arah mewujudkan sebagai ‘A Volunteerism State’.

“Kumpulan Team Selangor dan Q Skuad sentiasa diberi sokongan dalam memainkan peranan penting memberdaya aktiviti kemasyarakatan,” katanya.

Pada masa sama, beliau berharap program Semarak Srikandi bakal mencetus fenomena dalam kalangan wanita muda, sekali gus memperluaskan budaya turun padang.

Katanya, program terbabit harus menjadi wadah dalam melahirkan pemimpin yang peduli rakyat dan proaktif dalam menyelesaikan permasalahan masyarakat.