Categories
AGENDA NASIONAL

Cegah Covid-19, majikan diseru tangani penginapan sempit pekerja asing

KUALA LUMPUR, 29 NOV: Masalah penginapan pekerja warga asing yang sempit dan sesak perlu ditangani dengan segera bagi memastikan isu itu tidak menjadi punca penularan jangkitan Covid-19 dan lain-lain penyakit berjangkit, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata perkara itu adalah selaras dengan Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

“Memandangkan isu penularan Covid-19 dalam kalangan pekerja bukan warganegara merupakan isu penting yang perlu ditangani, Kementerian Kesihatan (KKM) menyeru pihak majikan untuk memainkan peranan lebih besar dalam sama-sama menanganinya.

“Sehubungan itu, KKM menyambut baik tindakan penguatkuasaan Akta 446 ini oleh Kementerian Sumber Manusia ke atas pihak majikan yang gagal mematuhi ketetapan akta tersebut,” katanya dalam hantaran Facebook rasminya hari ini.

Beliau berkata seperti yang sering ditekankan KKM, terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada penularan penyakit berjangkit dalam kalangan pekerja, termasuk isu tempat penginapan, kebersihan kendiri dan juga persekitaran di tempat tinggal serta tempat kerja.

Beliau berkata KKM memandang serius peningkatan kejadian penularan jangkitan Covid-19 di tempat kerja memandangkan tenaga kerja adalah aset berharga sesebuah syarikat mahupun organisasi, baik pekerja warganegara mahupun bukan.

Terdahulu, Dr Noor Hisham pada tengah hari tadi meninjau aktiviti di lapangan bagi kluster Tapak Bina Awan Baru.

Kluster itu yang melibatkan daerah Kepong dan Cheras diisytiharkan semalam susulan kes positif yang dikesan melalui saringan bersasar ke atas pekerja di sebuah tapak pembinaan di Bandar Baru Sentul.

Beliau berkata hingga 8 malam 28 Nov, seramai 482 individu disaring dengan 410 kes dilaporkan positif.

“Penilaian risiko dan pengesanan kontak rapat di kawasan tapak bina dan kawasan sekitar tempat kerja dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Kepong pada 27 Nov.

“Tapak bina ini ditutup di bawah Seksyen 18 (1) (f) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) pada 27 Nov bagi tujuan pembersihan dan disinfeksi,” katanya.

-BERNAMA