Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 120,000 pencari kerja dibantu guna portal MyfutureJobs – Perkeso

KUALA LUMPUR, 26 NOV: Program Insentif Pengambilan Kerja, PenjanaKerjaya membantu lebih 120,000 pencari kerja melalui Portal Perkhidmatan Pekerjaan Negara MyfutureJobs sejak ia dilancarkan Jun lepas.

Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dalam satu kenyataan hari ini menyatakan pada masa ini lebih 500,000 kekosongan diiklankan di MYFutureJobs, dengan lebih 400,000 pencari kerja melayari laman web itu.

“Portal itu memadankan pencari kerja dengan kekosongan ada dengan cepat dan tepat menggunakan faktor komprehensif termasuk kemahiran, kecekapan, pengetahuan, kelayakan akademik, pensijilan profesional, lokasi dan banyak lagi,” menurut kenyataan itu.

Ia sempena 2020 World Association of Public Employment Services (WAPES) Persidangan Rantau Asia Pasifik yang dianjurkan oleh Perkeso, WAPES dan Korea Employment Information Service (KEIS).

Persidangan sehari berlangsung secara maya hari ini, bertemakan ‘Mengutarakan Kesan Covid-19 terhadap Pasaran Buruh’, merangkumi strategi mendorong pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan dalam sektor rasmi.

Persidangan itu dihadiri peserta dari Eropah, Afrika dan Asia Pasifik memfokuskan kaedah menangani krisis Covid-19 terhadap pekerjaan.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Program PenjanaKerjaya bermula esok – Perkeso

KUALA LUMPUR, 14 JUN: Program Insentif Pengambilan Pekerja, PenjanaKerjaya, di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) akan bermula esok.

Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata majikan yang mempunyai kekosongan jawatan dan sedang mencari pekerja boleh mendaftarkan profil di penjanakerjaya.perkeso.gov.my.

Beliau berkata majikan yang telah mengambil pekerja melalui program itu mesti mendaftarkan pekerja-pekerja dengan Perkeso untuk caruman wajib.

“Mulai 1 Julai 2020, majikan boleh memilih nama pekerja yang diambil di bawah program ini melalui penjanakerjaya.perkeso.gov.my untuk kelulusan bayaran insentif.

“Insentif pengambilan pekerja akan dibayar pada bulan berikutnya selepas caruman Perkeso dibayar bersama dengan elaun mobiliti untuk pekerja layak, yang dibayar kepada pekerja melalui majikan mereka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohammed Azman berkata majikan hanya perlu memohon insentif untuk setiap pekerja yang diambil bekerja sekali sahaja dan pembayaran insentif pada bulan berikutnya (selama enam bulan) akan dilakukan secara automatik.

Menurutnya, garis panduan permohonan serta terma dan syarat telah dikeluarkan kepada majikan hari ini dan boleh diperoleh di laman web www.perkeso.gov.my.

“Memandangkan PenjanaKerjaya akan mewujudkan banyak peluang pekerjaan, Perkeso menggesa individu yang masih menganggur termasuk siswazah dan lepasan sekolah untuk mendaftar di portal MyFutureJobs (www.myfuturejobs.gov.my),” katanya dan menurutnya pencari kerja yang memerlukan bantuan boleh menghubungi atau hadir ke pejabat Perkeso di seluruh negara.

Beliau berkata Perkeso juga sedang meneliti peluang berkolaborasi dengan pelbagai agensi perkhidmatan pekerjaan swasta untuk meningkatkan prospek pekerjaan bagi pencari kerja.

Sementara itu, melalui soalan lazim (FAQ) PenjanaKerjaya, Perkeso memaklumkan terdapat empat insentif di bawah program itu iaitu #MyApprentice, #HireMalaysia, Bantuan Mobiliti dan Program Latihan.

#MyApprentice merupakan insentif bagi majikan yang mengambil pekerja tempatan secara perantis dalam kalangan lepasan sekolah dan siswazah. Insentif sebanyak RM600 untuk tempoh maksimum enam bulan akan disediakan bagi program ini.

#HireMalaysia pula mempunyai tiga kategori iaitu insentif pengambilan pekerja yang menggajikan pekerja tempatan di bawah umur 40 tahun, 40 tahun ke atas dan golongan terjejas termasuk golongan orang kurang upaya (OKU) serta peserta program Return to Work Perkeso berjumlah RM800 hingga RM1,000.

Bantuan Mobiliti merupakan bayaran one-off sebanyak RM600 yang dibayar melalui majikan untuk pekerja yang berpindah melebihi 100 kilometer (satu hala) dari lokasi tempat pemastautin pencari kerja. Bagi perpindahan melibatkan antara wilayah dari Sabah ke Sarawak atau ke Semenanjung atau sebaliknya akan menerima RM1,000.

– BERNAMA