Categories
AGENDA NASIONAL

Pesakit umur 26 dan 28 tahun antara individu maut akibat Covid-19

SHAH ALAM, 9 JUN: Dua pesakit berumur 26 dan 28 tahun antara 75 individu maut akibat jangkitan Covid-19 hari ini, menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

KKM memaklumkan kedua-dua mangsa yang mempunyai sejarah penyakit buah pinggang kronik meninggal dunia di Hospital Ampang.

Majoriti kes kematian melibatkan individu lanjut usia yang mempunyai sejarah penyakit kencing manis, jantung, obesiti dan darah tinggi.

Mengikut data dikongsi KKM, Selangor mencatatkan jumlah kematian tertinggi iaitu 23 kes diikuti Johor (18) dan Kelantan (tujuh).

Manakala Kuala Lumpur dan Kedah (lima); Sabah, Melaka, Negeri Sembilan dan Sarawak (tiga), Perak (dua) serta Pulau Pinang, Terengganu dan Labuan (satu).

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

18 daripada 24 kematian Covid-19 di Selangor libatkan pesakit kronik

SHAH ALAM, 15 JULAI: Sebanyak 18 daripada 24 kematian akibat Covid-19 di Selangor melibatkan pesakit kronik, kata EXCO kesihatan.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata mereka adalah penghidap tekanan darah tinggi seramai sembilan orang, kencing manis (enam), jantung (dua) dan barah (satu).

“Mereka yang menghidap penyakit berkenaan tidak boleh mengawal wabak berkenaan dengan baik.

“Oleh sebab itu Kerajaan Negeri mengambil pendekatan dengan melaksanakan saringan Covid-19 terus ke rumah kepada golongan sasar iaitu warga emas bagi mencegah penularan wabak berkenaan,” katanya menjawab soalan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Hulu Kelang, Saari Sungib pada sidang Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Sehingga jam 12 tengah hari semalam, negeri ini merekodkan 2,093 kes Covid-19 dengan satu kes positif baharu.

Kini, lapan daerah termasuk Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat, Hulu Selangor dan Gombak merekodkan zon hijau sementara Sepang masih zon kuning dengan 11 kes aktif.