Categories
AGENDA ALAM SEKITAR & CUACA NASIONAL

Penyu mendarat meningkat 70 peratus, PKP beri kesan positif

KUALA TERENGGANU, 26 JUN: Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (PKPP) Rantau Abang di Dungun merekodkan peningkatan jumlah pendaratan penyu sebanyak 3,783 dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.

Ketua PKPP Rantau Abang, Mohammad Firdaus Abdillah berkata ia adalah peningkatan hampir 70 peratus berbanding 2,573 pendaratan penyu dalam tempoh sama tahun lepas.

“Kami tidak menolak kemungkinan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lepas meningkatkan pendaratan penyu di Terengganu kerana kurangnya gangguan di pantai sepanjang tempoh berkenaan.

“PKP ini tidak boleh dijadikan parameter ukuran kerana ianya baru terjadi pada 2020 dan tidak boleh dijadikan rujukan disebabkan tiada PKP sebelum ini yang berulang.

“Selain itu, pantai pendaratan penyu utama di negeri Terengganu sememangnya diletakkan notis larangan orang awam berada di pantai bermula 5 petang sehingga 8 pagi. Oleh itu, perubahan trafik orang awam ke pantai sangat minimum sama ada sebelum atau sepanjang tempoh PKP.

“Bagaimanapun, impak PKP sangat positif terutama di pulau peranginan kerana trafik bot pelancong berkurangan dengan mendadak dan kesannya dapat dilihat dengan berkurangnya laporan kematian penyu kerana terkena kipas bot,” katanya kepada Bernama hari ini.

Daripada jumlah 3,783 pendaratan itu, 3,780 adalah pendaratan penyu Agar manakala tiga lagi adalah pendaratan penyu Karah.

Dalam pada itu, Mohammad Firdaus berkata berdasarkan rekod dan kerja pemuliharaan penyu dijalankan sejak 1990-an yang mana beberapa tempat dijadikan pusat pemuliharaan penyu, pihaknya tidak menolak kemungkinan anak penyu ditetaskan pada 2000 mula naik mendarat pada tahun ini setelah mencapai tempoh matang untuk bertelur.

“Jika perkara ini benar maka lambakan penyu akan bermula 2020 dan akan terus menerus meningkat untuk tahun-tahun mendatang.

“Pendapat ini juga berasaskan kepada pendaratan di Pulau Redang yang bermula pada tahun 1993 dan berlaku peningkatan pendaratan penyu pada 2013 iaitu selepas 20 tahun program pemuliharaan dilaksanakan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA ALAM SEKITAR & CUACA NASIONAL

Selebriti berperanan sampaikan mesej alam sekitar

KUALA LUMPUR, 6 JUN: Selebriti atau ikon masyarakat mempunyai peranan penting dalam perspektif bidang Komunikasi Alam Sekitar kerana golongan itu lazimnya merupakan individu dikenali umum yang mempunyai pengaruh besar dalam masyarakat.

Pensyarah kanan yang juga Pengerusi Rancangan Prasiswazah (Komunikasi Alam Sekitar) di Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Mohamad Saifudin Mohamad Saleh berkata tindakan mereka ke arah penyampaian mesej alam sekitar, yang kebiasaannya dianggap berat, abstrak dan sukar difahami dapat menarik perhatian masyarakat.

“Baru-baru ini, tular tentang selebriti tempatan, Maya Karin yang menzahirkan rasa kecewanya terhadap sebuah portal beli-belah dalam talian kerana membenarkan iklan dan penjualan telur penyu dalam platformnya.

“Selepas beliau berkongsi ciapan Turtle Conservation Society of Malaysia berhubung isu terbabit, dapat dilihat berlaku kebanjiran perkongsian rata-ratanya daripada pengikut laman media sosial beliau, yang turut sama menyuarakan kekecewaan mereka,” katanya dalam kolum Tinta Minda di Bernama.com.

Beliau berkata selebriti yang berpengaruh berupaya menjalankan peranan semak dan imbang, sekali gus mempunyai kapasiti besar untuk membawa isu alam sekitar ke ruangan pendapat umum dan dibincangkan secara meluas oleh umum.

“Misalnya, dalam isu penjualan telur penyu ini, dapat dilihat bahawa liputan terhadap isu ini adalah amat meluas selepas daripada tindakan Maya menyuarakan perkara berkenaan dalam platform media sosialnya.

“Bayangkan jika isu sebegini hanya dikongsikan oleh mana-mana individu lain yang kurang berpengaruh dalam masyarakat, kebarangkalian isu ini untuk tular, mendapat perhatian publik, dan mendapat respons pantas daripada pihak yang terlibat adalah tipis. Kemungkinan ia akan berakhir dengan kekecewaan sahaja,” katanya.

Justeru, katanya tidak hairanlah mengapa isu penjualan telur penyu ini tular di media sosial dan mendapat perhatian pelbagai pihak sehingga pihak yang berkenaan tampil dengan penjelasan secara terbuka menyuarakan bahawa mereka telah pun mengambil tindakan yang sewajarnya dalam menangani isu berkenaan.

Mohamad Saifudin berkata kepentingan terhadap penjagaan alam sekitar masih tidak menjadi agenda penting dalam kehidupan sesetengah anggota masyarakat, lantaran dianggap enteng.

“Pemerkasaan peranan komunikasi alam sekitar yang menekankan tentang peri pentingnya penyampaian mesej alam sekitar kepada masyarakat sama ada menerusi media sosial mahupun media tradisional adalah penting bagi meningkatkan kesedaran dan pengetahuan masyarakat Malaysia berkenaan isu sebegini.

“Percayalah, peningkatan kesedaran dan pengetahuan masyarakat terhadap isu alam sekitar berupaya meningkatkan amalan mereka dalam penjagaan alam sekitar,” katanya.

-BERNAMA