Categories
AGENDA NASIONAL

Tuah diberi nama Merdeka, dapat makan percuma

KEPALA BATAS, 23 OGOS: Kalau nak makan percuma, sebut nama tiga kali, demikian kelebihan seorang nelayan di Penaga sini yang bernama, Mohd Merdeka Ismail.

Sejak kecil, Mohd Merdeka yang dilahirkan pada 31 Ogos 1957, berasa malu dengan namanya dan sering diejek kawan-kawan sekolah, namun berbeza pula tahun ini kerana sebuah kedai kopi di Kampung Simpang Tiga, Penaga sini memberikan keistimewaan khas kepada beliau.

Beliau berkata minggu lepas, pemilik kedai kopi itu memberitahu bahawa beliau boleh makan dan minum secara percuma dikedainya pada bulan ini, dengan hanya menyebut namanya sebanyak tiga kali.

“Mula-mula saya ingat pemilik kedai kopi itu hanya bergurau…tetapi selepas saya menyebut Merdeka…Merdeka…Merdeka…pemilik kedai itu pun minta saya order apa sahaja, beliau akan belanja,” katanya kepada Bernama di rumahnya baru-baru ini.

Mohd Merdeka berkata itu bukan satu-satunya perkara istimewa yang pernah berlaku pada dirinya, disebabkan namanya itu, beliau berpeluang menjejakkan kaki ke Istana Negara, Kuala Lumpur apabila dijemput Yang di-Pertuan Agong ke-13 Sultan Mizan Zainal Abidin, pada 2007 melalui Himpunan Anak-Anak Merdeka di seluruh negara.

Mengimbas kembali kenangan manis bergelar anak merdeka ditambah lagi mengabadikan perkataan merdeka pada namanya, Mohd Merdeka berkata namanya yang diberikan oleh bidan kampung yang menyambut kelahirannya pada 7 pagi di Tasek Gelugor, telah menyebabkan beliau kerap mendapat habuan istimewa.

“Ramai yang tidak tahu nama itu telah menjadikan saya seperti seorang yang terkenal umpama selebriti dalam kalangan penduduk kampung sini dan juga pernah beberapa kali dijemput untuk hadir ke majlis sambutan ambang kemerdekaan,” katanya.

Bapa kepada seorang anak perempuan itu juga berkata, nama ini membuatkan semangat cintakan negara menjadi lebih utuh dan berharap keharmonian yang dicapai dapat dirasai sampai bila-bila.

“Nama ini telah mengingatkan saya dan semua rakyat bahawa negara telah bebas dari jajahan dan kita harus mengekalkan keharmonian negara dan semangat cintakan negara,” katanya.

Beliau berkata anaknya, Izzatul Nabila, 24, pada mula juga berasa malu dengan nama ayahnya, yang dianggap pelik oleh kawan-kawan sekolah dan sering dijadikan topik gurauan.

Namun setelah sekian lama, Mohd Merdeka berkata, anaknya kini lebih berasa bangga dengan nama itu daripada malu, kerana ayahnya memiliki nama yang serupa dengan hari kemerdekaan negara.

-BERNAMA

Categories
AGENDA ALAM SEKITAR & CUACA NASIONAL

Selebriti berperanan sampaikan mesej alam sekitar

KUALA LUMPUR, 6 JUN: Selebriti atau ikon masyarakat mempunyai peranan penting dalam perspektif bidang Komunikasi Alam Sekitar kerana golongan itu lazimnya merupakan individu dikenali umum yang mempunyai pengaruh besar dalam masyarakat.

Pensyarah kanan yang juga Pengerusi Rancangan Prasiswazah (Komunikasi Alam Sekitar) di Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Mohamad Saifudin Mohamad Saleh berkata tindakan mereka ke arah penyampaian mesej alam sekitar, yang kebiasaannya dianggap berat, abstrak dan sukar difahami dapat menarik perhatian masyarakat.

“Baru-baru ini, tular tentang selebriti tempatan, Maya Karin yang menzahirkan rasa kecewanya terhadap sebuah portal beli-belah dalam talian kerana membenarkan iklan dan penjualan telur penyu dalam platformnya.

“Selepas beliau berkongsi ciapan Turtle Conservation Society of Malaysia berhubung isu terbabit, dapat dilihat berlaku kebanjiran perkongsian rata-ratanya daripada pengikut laman media sosial beliau, yang turut sama menyuarakan kekecewaan mereka,” katanya dalam kolum Tinta Minda di Bernama.com.

Beliau berkata selebriti yang berpengaruh berupaya menjalankan peranan semak dan imbang, sekali gus mempunyai kapasiti besar untuk membawa isu alam sekitar ke ruangan pendapat umum dan dibincangkan secara meluas oleh umum.

“Misalnya, dalam isu penjualan telur penyu ini, dapat dilihat bahawa liputan terhadap isu ini adalah amat meluas selepas daripada tindakan Maya menyuarakan perkara berkenaan dalam platform media sosialnya.

“Bayangkan jika isu sebegini hanya dikongsikan oleh mana-mana individu lain yang kurang berpengaruh dalam masyarakat, kebarangkalian isu ini untuk tular, mendapat perhatian publik, dan mendapat respons pantas daripada pihak yang terlibat adalah tipis. Kemungkinan ia akan berakhir dengan kekecewaan sahaja,” katanya.

Justeru, katanya tidak hairanlah mengapa isu penjualan telur penyu ini tular di media sosial dan mendapat perhatian pelbagai pihak sehingga pihak yang berkenaan tampil dengan penjelasan secara terbuka menyuarakan bahawa mereka telah pun mengambil tindakan yang sewajarnya dalam menangani isu berkenaan.

Mohamad Saifudin berkata kepentingan terhadap penjagaan alam sekitar masih tidak menjadi agenda penting dalam kehidupan sesetengah anggota masyarakat, lantaran dianggap enteng.

“Pemerkasaan peranan komunikasi alam sekitar yang menekankan tentang peri pentingnya penyampaian mesej alam sekitar kepada masyarakat sama ada menerusi media sosial mahupun media tradisional adalah penting bagi meningkatkan kesedaran dan pengetahuan masyarakat Malaysia berkenaan isu sebegini.

“Percayalah, peningkatan kesedaran dan pengetahuan masyarakat terhadap isu alam sekitar berupaya meningkatkan amalan mereka dalam penjagaan alam sekitar,” katanya.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Selangor Food Mega Festival: Jadikan acara tahunan, selit aktiviti seni

Oleh : NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 31 MEI: Selangor Food Mega Festival 2015 (SFMF) menerima maklum balas positif masyarakat dan selebriti kerana berjaya mencipta kelainan tersendiri walaupun julung kali diadakan.

Chef Selebriti, Karl Shafek menyifatkan penganjurannya mewarnai kalendar pelancongan dan wajar dijadikan acara tahunan.

karl syafiq“Selain memberi pendedahan kepada masyarakat berkenaan makanan, vendor juga mempunyai ruang mempromosi produk mereka.

“Diharap festival ini akan dianjurkan lagi tahun hadapan dan disaran menambah aktiviti sampingan.

“Makanan adalah program utama tetapi seni juga boleh diselitkan bagi menarik lebih ramai pengunjung,” katanya ketika ditemui di SFMF, di Dataran Kemerdekaan, di sini.

SFMF adalah aktiviti anjuran Tourism Selangor dengan kerjasama Kerajaan Negeri menampilkan hidangan lazat pelbagai budaya selain menyediakan landasan kepada pengusaha makanan tempatan melebarkan pasaran mereka.

SFMF yang membuka tirainya semalam menyaksikan penyertaan 130 pengusaha makanan dengan lebih 50 jenis menu masakan tradisional, eksotik dan urban di Selangor.

Bagi pemilik Bob Republic Burger Bakar, Mohd Najib Halimi, 35, festival itu memberi kesempatan untuk memperkenalkan menu istimewanya iaitu rusuk lembu bakar kepada pengunjung.

Festival Makanan Selangor 2015 (17)“Festival ini andasan yang baik memperkenalkan produk saya yang sudah empat tahun di pasaran dan mempunyai sembilan cawangan termasuk Melaka serta Pahang,” katanya.

Penggemar makanan, Nur Izzati Naim, 27, pula berkata, dia amat teruja dengan pelbagai makanan di SFMF dan bercadang berada lebih lama untuk menikmati seberapa banyak makanan yang belum dicubanya.

“Kesempatan yang baik kerana sebelum ini saya pernah ke sebuah lokasi untuk satu menu menarik.

“Tetapi, kali ini satu lokasi dengan pelbagai menu menarik dan saya perlu mengambil masa untuk menjamah hidangan itu,” katanya.

-NFN-