Categories
SUKANKINI

WC2018: Gol Umtiti bawa Perancis ke final

OLEH HAFIZAN TAIB

SAINT PETERSBURG, 11 JUL: Gol Samuel Umtiti melayakkan Perancis ke perlawanan akhir Piala Dunia apabila menewaskan Belgium 1 – 0 di Stadium Saint Petersburg di sini.

Jaringan pertahanan Barcelona pada awal babak kedua menjadi pemisah kepada kedua pasukan dalam perlawanan separuh akhir itu, selepas empat puluh lima minit pertama berlalu tanpa cetakan gol.

Gol Umtiti pada minit ke 51 berpunca daripada sepakan sudut Antoine Griezmann disambutnya dengan satu tandukan mengelirukan melepasi kawalan pertahanan dan penjaga gol Belgium, Thibaut Courtois.

Belgium diketuai Eden Hazard dibantu Kevin De Bruyne dan Romelu Lukaku menguasai permainan di peringkat awal, sering menyerang dan mengancam Perancis namun diselamatkan kecekapan ketua pasukan, Hugo Lloris mengawal pintu gol.

Lloris turut menafikan percubaan Axel Witsel pada sepuluh minit terakhir perlawanan bagi menghidupkan peluang skuad kendalian Roberto Martinez itu.

Perancis sebaliknya juga hampa bagi menambah gol menerusi Kylian Mbappe dan Griezmann yang melihat percubaan mereka tersekat dengan tindakan cemerlang Courtois.

Skuad bimbingan Didier Deschamps akan menanti pemenang antara England dan Croatia untuk bertemu dalam perlawanan akhir di Moscow, 15 Julai ini.

Categories
SUKANKINI

WC2018: Serangan taktikal menjadi, Perancis atasi Uruguay 2-0

OLEH HAFIZAN TAIB

NIZHNY NOVGOROD, 7 JUL: Perancis muncul pasukan pertama layak ke separuh akhir dengan mengatasi Uruguay 2 – 0 hasil jaringan Raphael Varane dan Antoine Griezmann.

Dalam perlawanan suku akhir di sini, juara 1998 itu mendapat gol pertama hasil tandukan Varane yang menyambut kemas sepakan percuma Griezmann lalu melepas jangkauan penjaga gol, Fernando Muslera, pada minit ke-40.

Skuad kendalian Didier Deschamps mengukuhkan kedudukan dengan jaringan kedua melalui Griezmann (m61) yang merembat kencang pada jarak 20 meter cuba ditampan Muslera tetapi masuk mengatasi garisan gol.

Uruguay yang turun tanpa penyerang Paris Saint-Germain, Edinson Cavani akibat cedera, bergantung harap kepada gandingan Luis Suarez dan Cristhian Stuani bagi mengugat pertahahan Perancis namun gagal mencipta jaringan.

Pasukan Amerika Selatan itu nyaris mendapat gol pada akhir babak pertama dengan tandukan Martin Caceres tetapi diselamatkan penjaga gol dan ketua pasukan, Hugo Lloris.