Categories
SELANGOR

Perangsang Selangor salur RM14.7 juta laksanakan CSR

SHAH ALAM 31 MAC: Sejak 2011 sehingga 2013, Kumpulan Perangsang Selangor Berhad menyalurkan RM14.7 juta untuk melaksanakan progra di bawah Tanggungjawab Sosial Korporat.

Daripada jumlah ini, RM5.4 juta diperuntukkan untuk menyediakan latihan kemahiran hidup dan kursus keusahawanan di bawah Rangsangan Kerjaya Rakyat Selangor (RKRS) untuk pesara, ibu tunggal, remaja dan siswazah.

RKSSMenurut kenyataan media Perangsang Selangor, sehingga kini, 1,284 (72 peratus) orang peserta di bawah program RKRS berjaya mendapat pekerjaan atau memulakan perniagaan sendiri.

Baki peserta sama ada melanjutkan pelajaran atau masih dalam latihan sambil bekerja.

Berdasarkan kepada kejayaan ini, mulai tahun 2014 Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) memperuntukkan dana sejumlah RM5 juta untuk meneruskan latihan dan kursus di bawah program RKRS.

EZY

Categories
SELANGOR

Perangsang Selangor tandatangani MOU bangun sukan bernilai RM1.8 juta

SHAH ALAM 31 MAC: Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang Selangor) anak syarikat Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB), menandatangani Memorandum Persefahaman dengan lima buah kelab sukan untuk melaksanakan Rangsangan Sukan Selangor (RSS) bernilai RM1.8 juta.

Lima buah kelab sukan terlibat, termasuk Kelab Boling Seintak (boling), Sukan J World (badminton), Sekolah Renang Supersharkz (renang), Persatuan Lumba Basikal Selangor (lumba basikal) and Sukan Munro (bola sepak).

rss1“Kami mengenal pasti lima sukan paling popular dalam negara, Selangor mempunyai potensi untuk diwakili bakat muda melalui Kem Pembangunan Bakat Sukan dan Pasukan Sukan Elit.

“Kami juga akan terus mengenal pasti remaja berbakat untuk sukan lain di Selangor” kata Pengerusi, Perangsang Selangor,Raja Haji Idris Raja Kamarudin.

Beliau berkata, pelaksanaan Kem Pembangunan Bakat Sukan merangkumi pemilihan, latihan dan pembangunan ahli-ahli sukan muda berumur di antara 9 sehingga 12 tahun oleh
jurulatih profesional di Selangor.

Katanya apabila kem ini akan dilaksanakan kelak, ia akan mempunyai 1,090 orang pelatih dalam sukan boling (50), badminton (80), perenang (200), lumba basikal (360) dan bola sepak (400).

rss2Ahli-ahli sukan muda dan berpotensi akan dilatih dan diserapkan ke dalam pasukan Elit Perangsang Selangor untuk menyertai pertandingan di dalam dan luar negara.

Pasukan Elit diwakili oleh 34 orang pemain boling (12-22 tahun), 12 orang pemain badminton (13-20 tahun), 15 orang perenang (15-22 tahun), 12 orang pelumba basikal (13-18 tahun) dan 33 orang pemain bola sepak (13 -15 tahun).

Semua perbelanjaan bimbingan, latihan, peralatan dan pakaian sukan ditaja oleh Perangsang Selangor.

Perangsang Selangor juga menjalin kerjasama dengan Jawatankuasa Induk yang di Pengerusikan oleh Datuk Haji Emran Kadir, dan juga menaja RM100,000.00 untuk setiap kejohanan, iaitu Piala Kejohanan DYTM Raja Raja Muda Selangor di bawah umur 12 tahun dan Piala Kejohanan Ghani Mokhtar di bawah umur 16 tahun.

Tajaan ini bertujuan untuk mencungkil bakat pemain bola sepak remaja untuk mewakili Selangor dan Malaysia.

Pasukan Elit Badminton Perangsang Selangor telah menyertai beberapa pertandingan di peringkat nasional dan mencapai kejayaan cemerlang.

Dalam pertandingan 100 PLUS Litar Badminton Remaja Nasional, Pasukan Elit Badminton telah menjadi Johan dalam tiga kategori, iaitu Lelaki Individu di bawah umur 12 tahun, Wanita Individu di bawah umur 18 tahun dan Beregu Wanita di bawah umur 18 tahun.

Pasukan Lumba Basikal Elit Perangsang Selangor juga telah mencapai keputusan cemerlang dalam Litar 1 Sukan Excel Remaja di acara Perlumbaan Serampang Wanita dan dalam Lumba Mata Lelaki untuk kategori di bawah umur 16 tahun.

Pasukan Renang Elit Perangsang Selangor menghantar 19 orang perenang menyertai Kejohanan Renang Kumpulan Berumur Nasional Singapura yang diadakan di Sekolah Sukan Singapura pada 18-23 Mac 2014.

Sebanyak 49 pasukan daripada 10 buah negara turut menyertai kejohanan ini, ia itu Singapura, Malaysia, Indonesia, Thailand, Vietnam, Brunei, Filipina, Jepun, India and Hong Kong. Pasukan elit Perangsang Selangor telah memenangi 2 pingat emas, 5 pingat perak dan 2 pingat gangsa.

EZY

Categories
SELANGOR

Perangsang Selangor Sertai Perniagaan Telefon Prabayar

SHAH ALAM 19 JUN : Kumpulan Perangsang Telco Sdn. Bhd (PTSB) hari ini mengembangkan lagi perniagaannya dengan menyertai sektor perniagaan operator telefon bimbit prabayar di Malaysia.

Ini disahkan apabila PTSB menandatangani satu Perjanjian Pelaburan dan Pemegang Saham dengan SAMENA Telecom Limited (Samena), Connect Mena Limited Jebel Ali Free Zone (FRiENDi) dan Ceres Telecom Sdn Bhd (Ceres Telecom) dalam satu majlis yang diadakan di Dewan Kayangan, Hotel Quality tengah hari tadi.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perangsang, Suhaimi Kamarulzaman, PTSB yang juga merupakan anak syarikat milik Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang Selangor) menandatangani perjanjian tersebut untuk cadangan pelaburan perniagaan sebagai operator telefon bimbit prabayar melalui pegangan ekuiti 30 peratus dalam syarikat FRiENDi Malaysia.

“PTSB ditubuhkan sebagai induk perantaraan untuk pelaburan dalam sektor komunikasi dan susulan daripada pengembangan FRiENDi ke Malaysia, PTSB ditawarkan peluang untuk melabur dalam syarikat Ceres Telecom, entiti operator telefon bimbit prabayar tempatan terbaru.

“Ini satu peluang yang baik memandangkan Kumpulan FRiENDi juga kukuh sebagai Operator Rangkaian Maya Telefon Bimbit (MVNO) terkemuka di rantau Asia Selatan, Timur Tengah dan Afrika dan mempunyai tiga operasi di Oman, Jordan dan Arab Saudi,” jelas Suhaimi.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang turut hadir pada majlis tersebut berkata usaha ini secara tidak langsung membuka lebih peluang ekonomi kepada negeri Selangor.

“Pastinya persaingan yang sihat ini akan memberi lebih ruang kepada perkembangan ekonomi negeri Selangor yang dilihat semakin pesat membangun berbanding negeri lain khususnya dalam sektor ini,” ujar beliau dalam ucapannya.

Selain Abdul Khalid dan Suhaimi, Majlis Menandatangani Perjanjian tersebut turut disertai Pengarah Samena, Hisham Mohamad Ali Al-Alawi, Ketua Pegawai Eksekutif Pembangunan Perniagaan Kumpulan FRiENDi, Erik Dudman Nielsen, Ketua Pegawai Eksekutif FRiENDi Malaysia, Jonathan Marchbank, Pengerusi Kumpulan Perangsang, Raja Idris Raja Kamarudin serta Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Darul Ehsan, Azlan Md Alifiah.

Kumpulan FRiENDi merupakan kumpulan telekomunikasi inovatif yang beroperasi sebagai Operator Rangkaian Maya Telefon Bimbit (MVNO) dan Pemboleh Rangkaian Maya Telefon Bimbit dengan fokus liputan geografi Timur Tengah dan Afrika.

Baru-baru ini, Kumpulan FRiENDi mengumumkan perkongsian strategik dengan Kumpulan Virgin untuk menggabungkan aset MVNO Virgin di bawah pengurusan FRiENDi sekaligus memberi hak ekslusif memulakan operasi jenama MVNO di pasaran terpilih Asia Tenggara.