Categories
SELANGOR

Perangsang Selangor belanja RM3.2 juta laksanakan RKRS

SHAH ALAM 1 JULAI: Perangsang Selangor membelanjakan lebih RM3.2 juta bagi melaksanakan program Rangsangan Kerjaya Rakyat Selangor (RKRS).

Ketua Jabatan Perhubungan Awam Perangsang Selangor, Amin Lin Abdullah berkata ia merangkumi kursus meningkatkan kemahiran dan pembangunan keusahawanan serta penyediaan latihan sambil kerja, penginapan dan makanan kepada lebih 1,000 orang peserta di Selangor.

RKSSKatanya, Perangsang Selangor juga membelanjakan sebanyak RM159,393.00 untuk pembelian haiwan penternakan bernilai RM45,000, perkakasan percetakan bernilai RM45,000.

Turut dibelanjakan adalah perkakasan pengadun tepung bernilai RM39,600 dan mesin jahit bernilai RM29,793 yang dibekalkan kepada peserta untuk memulakan perniagaan sendiri.

Katanya, kursus meningkatkan kemahiran yang telah dilaksanakan adalah seperti, kursus Pemeringkatan Marin, Perbankan dan Kewangan Islam, Pengurusan dan Operasi Halal dan Aplikasi Adobe Photoshop dan Aplikasi Microsoft.

“Manakala kursus pembangunan keusahawanan yang telah dijalankan pula adalah seperti, kursus Percetakan Segera, Jahitan Pakaian, Penternakan Haiwan, Bakeri dan Kerjaya Mutawif,” katanya dalam satu kenyataan media.

Categories
SELANGOR

Perangsang Selangor salur RM14.7 juta laksanakan CSR

SHAH ALAM 31 MAC: Sejak 2011 sehingga 2013, Kumpulan Perangsang Selangor Berhad menyalurkan RM14.7 juta untuk melaksanakan progra di bawah Tanggungjawab Sosial Korporat.

Daripada jumlah ini, RM5.4 juta diperuntukkan untuk menyediakan latihan kemahiran hidup dan kursus keusahawanan di bawah Rangsangan Kerjaya Rakyat Selangor (RKRS) untuk pesara, ibu tunggal, remaja dan siswazah.

RKSSMenurut kenyataan media Perangsang Selangor, sehingga kini, 1,284 (72 peratus) orang peserta di bawah program RKRS berjaya mendapat pekerjaan atau memulakan perniagaan sendiri.

Baki peserta sama ada melanjutkan pelajaran atau masih dalam latihan sambil bekerja.

Berdasarkan kepada kejayaan ini, mulai tahun 2014 Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) memperuntukkan dana sejumlah RM5 juta untuk meneruskan latihan dan kursus di bawah program RKRS.

EZY

Categories
NASIONAL SELANGOR

RKSS Berjaya Bantu Siswazah Selangor Peroleh Pekerjaan

SHAH ALAM 30 SEPT: Walaupun berjaya menggengam segulung Diploma Pentadbiran daripada Universiti Selangor(Unisel)setahun lalu, Suraya Muhammad, 25, masih gagal mendapatkan pekerjaan sehinggalah beliau menyertai program Rangsangan Kerjaya Siswazah Selangor(RKSS).

Katanya, beliau mengambil kursus jangka pendek selama tiga bulan bagi kemahiran menjahit dan ternyata ia memberi perubahan dalam kehidupannya kini.

“Saya mempelajari teknik menggunakan mesin jahit serta jenis-jenis jahitan mesin serta pelbagai lagi kemahiran yang saya perlukan sehinggalah saya mampu mengambil tempahan menjahit baju secara kecil-kecilan,” katanya ketika ditemui di Majlis Alumni RKSS kali pertama di Hotel Quality Shah Alam hari ini.

Bagi Mohd Izaruddin Saad, 22, beliau berpendapat graduan-graduan yang masih mencari pekerjaan harus menyertai kursus-kursus seperti ini kerana banyak manfaat yang diperoleh seperti dapat meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang sedia ada.

“Selain belajar, saya juga dapat memperolehi pendapatan melalui elaun yang diberikan dan kerja sambilan membaiki komputer hasil kursus yang saya sertai ini,” katanya yang selesai menamatkan kursus Teknologi Maklumat, Pembaikan Komputer yang disediakan RKSS ini.

Sementara itu, RKSS yang dilancarkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada September 2011 lalu ini menerima sebanyak 578 peserta dan seramai 329 daripadanya berjaya mendapat pekerjaan dan memulakan perniagaan sendiri manakala sebahagian lagi menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Program yang dipelopori oleh anak syarikat Kerajaan Negeri iaitu Kumpulan Perangsang Selangor Berhad ini memperuntukkan sebanyak RM1.5 juta pada tahun lalu untuk menyediakan 14 kursus jangka pendek bagi meningkatkan kemahiran dan ilmu keusahawanan dalam pelbagai bidang.

Menurut Pengerusi Kumpulan Perangsang Selangor, Raja Idris Raja Kamaruddin, idea asal program ini diilhamkan oleh Penasihat Ekonomi Negeri Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menyediakan kaedah terbaik bagi membantu siswazah menganggur meningkatkan pengetahuan, nilai diri dan keyakinan mendapatkan pekerjaan atau memulakan perniagaan sendiri.

“Ini merupakan salah satu aktiviti tanggungjawab sosial korporat syarikat supaya siswazah negeri ini dapat mempelajari sesuatu kemahiran yang mereka ingin ceburi untuk dijadikan kerjaya di masa hadapan,” katanya ketika memberi ucapan di majlis itu.

Abdul Khalid pula berkata, Kerajaan Negeri komited dalam melaksanakan hasrat Merakyatkan Ekonomi Selangor(MES) dan ini merupakan salah satu usaha murni bagi membantu negeri ini mengurangkan kadar siswazah menganggur.

“Tanggungjawab sosial ini merupakan pelaburan jangka panjang yang akan memberi manfaat kepada negeri ini di masa hadapan,” katanya.

Majlis Alumni RKSS yang diadakan julung-julung kalinya ini dihadiri Abdul Khalid serta peserta RKSS dan penyelia kursus-kursus yang disediakan.