Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Bursa Malaysia dibuka rendah jejaki prestasi global

KUALA LUMPUR, 22 MAC: Bursa Malaysia mencatatkan urus niaga yang rendah ketika dibuka pagi ini.

Pada 9.12 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 3.34 mata kepada 1,622.85 daripada paras 1,626.19 semasa ditutup pada urus niaga Jumaat minggu lepas.

Indeks utama meningkat 2.28 mata kepada 1,628.47 pada pukul 9 pagi dan kemudiannya mula turun satu minit selepas diniagakan.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung dengan 324 berbalas 268 manakala 358 kaunter tidak berubah, 1,287 tidak diniagakan dan 37 yang lain digantung.

Jumlah dagangan ialah 836.49 juta saham bernilai RM340.87 juta.

Menurut Public Bank Investment Bank Bhd, para pelabur sedang “menghadam” langkah Rizab Persekutuan AS untuk tidak melanjutkan tempoh rehat peraturan sementara pandemik yang berakhir bulan ini serta harga minyak yang kembali meningkat daripada penurunan teruk baru-baru ini.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, PBBank dan PChem masing-masing memperoleh satu sen kepada RM4.24 dan RM8.23 sementara Tenaga naik 20 sen kepada RM10.76.

Bagaimanapun, Maybank turun satu sen kepada RM8.37.

Bagi kaunter paling cergas, Macpie meningkat 11.5 sen kepada 67 sen dan warannya naik setengah sen kepada 12.5 sen, Dynacia dan AT, masing-masing tidak berubah pada 15 sen dan 11.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas lemah 26.93 mata kepada 11,896.28, FBMT 100 turun 29.59 mata kepada 11,571.99 dan FBM Emas Syariah menyusut 32.22 mata kepada 13,197.67.

FBM 70 lebih rendah 62.37 mata kepada 15,626.97 tetapi FBM ACE meningkat 140.77 pada 10,775.64.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 2.51 mata kepada 15,507.14, Indeks Perladangan susut 16.46 mata kepada 7,159.16 sementara Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.35 mata pada 193.48.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Prestasi ringgit dijangka ditentu harga minyak, ekonomi global

KUALA LUMPUR, 7 MAC: Prestasi ringgit pada minggu depan dijangka ditentukan oleh harga minyak serta pergerakan hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS).

Ketua Ahli Strategi Pasaran Global Axi Stephen Innes berkata senarai gaji bukan ladang AS yang diumumkan pada lewat Jumaat akan mempengaruhi dolar AS, dengan dolar yang lemah akan memberi impak negatif kepada hasil Perbendaharaan AS, manakala angka yang tinggi akan merumitkan usaha Presiden AS Joe Bidden untuk melaksanakan pakej rangsangan ekonominya yang bernilai US$1.9 trilion.

“Oleh kerana hasil Perbendaharaan AS adalah faktor yang lebih besar berbanding kenaikan harga minyak, saya fikir kita perlu lebih berhati-hati minggu depan. Jadi, saya mengunjurkan ringgit berada pada paras 4.06 dan 4.08 minggu depan,” katanya.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, ringgit terus turun berbanding dolar AS kepada 4.0720/0760 berbanding 4.0450/0443 pada penutup minggu sebelumnya.

Unit tempatan diniagakan tinggi berbanding mata wang utama lain.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0359/0395 daripada 3.0443/0490 pada minggu sebelumnya, mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.7544/7584 daripada 3.7985/8035.

Unit tempatan juga menokok berbanding pound Britain kepada 5.6267/6338 daripada 5.6395/6473 dan naik berbanding euro kepada 4.8563/8627 daripada 4.9054/9127.

– BERNAMA