Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Bursa Malaysia dibuka rendah jejaki prestasi global

KUALA LUMPUR, 22 MAC: Bursa Malaysia mencatatkan urus niaga yang rendah ketika dibuka pagi ini.

Pada 9.12 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 3.34 mata kepada 1,622.85 daripada paras 1,626.19 semasa ditutup pada urus niaga Jumaat minggu lepas.

Indeks utama meningkat 2.28 mata kepada 1,628.47 pada pukul 9 pagi dan kemudiannya mula turun satu minit selepas diniagakan.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung dengan 324 berbalas 268 manakala 358 kaunter tidak berubah, 1,287 tidak diniagakan dan 37 yang lain digantung.

Jumlah dagangan ialah 836.49 juta saham bernilai RM340.87 juta.

Menurut Public Bank Investment Bank Bhd, para pelabur sedang “menghadam” langkah Rizab Persekutuan AS untuk tidak melanjutkan tempoh rehat peraturan sementara pandemik yang berakhir bulan ini serta harga minyak yang kembali meningkat daripada penurunan teruk baru-baru ini.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, PBBank dan PChem masing-masing memperoleh satu sen kepada RM4.24 dan RM8.23 sementara Tenaga naik 20 sen kepada RM10.76.

Bagaimanapun, Maybank turun satu sen kepada RM8.37.

Bagi kaunter paling cergas, Macpie meningkat 11.5 sen kepada 67 sen dan warannya naik setengah sen kepada 12.5 sen, Dynacia dan AT, masing-masing tidak berubah pada 15 sen dan 11.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas lemah 26.93 mata kepada 11,896.28, FBMT 100 turun 29.59 mata kepada 11,571.99 dan FBM Emas Syariah menyusut 32.22 mata kepada 13,197.67.

FBM 70 lebih rendah 62.37 mata kepada 15,626.97 tetapi FBM ACE meningkat 140.77 pada 10,775.64.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 2.51 mata kepada 15,507.14, Indeks Perladangan susut 16.46 mata kepada 7,159.16 sementara Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.35 mata pada 193.48.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Bursa Malaysia diniaga tinggi awal dagangan

KUALA LUMPUR, 9 DIS: Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi hari ini, dipacu oleh aktiviti belian membabitkan kaunter-kaunter berkaitan indeks yang didahului oleh Public Bank.

Pada 9.05 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 11.27 mata kepada 1,642.97 selepas menokok 9.29 mata kepada 1,640.99 sewaktu dagangan dibuka.

Public Bank menyumbang 10.742 mata kepada kenaikan indeks itu selepas menokok RM1.42 kepada RM19.88 dengan sejumlah 2.77 juta saham saling berpindah tangan.

Semalam, kumpulan perbankan itu mengumumkan cadangan terbitan bonus sehingga 15.53 bilion saham bonus berdasarkan asas empat saham bagi setiap pegangan saham sedia ada.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 305 berbanding 230 manakala 345 kaunter lain tidak berubah, 1,259 tidak diniagakan dan 18 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 654.11 juta unit bernilai RM343.07 juta.

Rakuten Trade Sdn Bhd menjangkakan sentimen memberangsangkan secara meluas itu akan terus ketara manakala saham berkaitan vaksin yang menyaksikan aktiviti jualan semalam sebaliknya mungkin menjadi sasaran belian pada harga rendah hari ini.

Firma pembrokeran itu berkata pengumuman prestasi kewangan Top Glove hari ini juga berkemungkinan besar akan memacu minat terhadap kaunter saham sarung tangan selain kaunter peralatan perlindungan diri yang berkaitan dengan penjagaan kesihatan.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd pula menyifatkan sektor penjagaan kesihatan berkemungkinan terus menjadi tumpuan susulan peningkatan kes Covid-19.

“Kami menjangkakan segmen penjagaan kesihatan akan melantun semula sekurang-kurangnya pada sesi awal dagangan hari ini susulan perkembangan saham-saham penjagaan kesihatan yang didahului oleh Top Glove menjelang pengumuman prestasi kewangannya,” kata firma itu dalam nota penyelidikannya.

Selain itu, saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank naik dua sen kepada RM8.26, IHH Healthcare meraih lapan sen kepada RM5.63 manakala Petronas Chemicals tidak berubah pada RM7.60.

Tenaga pula susut dua sen kepada RM10.74, Top Glove turun satu sen kepada RM7.08 dan Hartalega berkurangan 16 sen kepada RM14.50.

Bagi saham aktif, Pegasus dan Fintec masing-masing tidak berubah pada tiga sen dan 10.5 sen, XOX turun setengah sen kepada 10 sen dan P.A Resources masing-masing susut satu sen kepada 17.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menokok 72.92 mata kepada 11,888.71, Indeks FBMT 100 menambah 57.27 mata kepada 11,625.9 dan FBM ACE meraih 57.31 mata kepada 10,914.9.

FBM 70 susut 12.21 mata kepada 15,355.33 manakala Indeks Syariah FBM Emas turun 19.29 mata kepada 13,580.59.

Dalam pada itu, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 0.32 mata kepada 175.2, Indeks Perladangan susut 24.19 mata kepada 7,345.52 namun Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 268.25 mata kepada 14,832.61.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Top Glove antara saham paling untung di Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR, 14 JULAI: Top Glove Corporation Bhd muncul sebagai syarikat ketiga terbesar di Bursa Malaysia, mengatasi Tenaga Nasional Bhd (TNB), apabila permodalan pasaran syarikat pembuat sarung tangan itu meningkat kepada RM64.73 bilion ketika ditutup semalam.

Pada 5 petang, saham Top Glove ditutup 9.5 peratus atau RM2.08 lebih tinggi pada RM24 dengan 32.6 juta saham diniagakan.

Kaunter itu mencapai paras tertinggi pada RM24.50 hari ini, dan kini ia berada di belakang dua saham teratas daripada segi permodalan pasaran – Maybank (RM88.7 bilion) dan Public Bank (RM71.9 bilion).

Sementara itu, nilai pasaran TNB adalah RM64.58 bilion pada penutup dagangan semalam.

Pengerusi Top Glove, Tan Sri Lim Wee Chai berkata pembuat sarung tangan terbesar di dunia itu mensasarkan untuk membina dua kilang setiap tahun untuk memenuhi permintaan global bagi sarung tangan getah dalam industri perubatan dan tahap kesedaran mengenai kebersihan yang meningkat di kalangan orang ramai berikutan penularan Covid-19 .

Beliau berkata syarikat itu kini mempunyai 45 kilang dan daripada jumlah itu sebanyak 34 adalah kilang sarung tangan dengan 700 barisan pengeluaran yang mempunyai kapasiti untuk membuat sebanyak 78.7 bilion sarung tangan setahun.

Top Glove juga kekal terbuka untuk penggabungan dan pengambilalihan, usaha sama serta peluang kepelbagaian.

Dalam nota semalam, Kenanga Research berkata ia menaikkan harga sasaran Top Glove kepada RM32, dengan mengambil kira sasaran pengurusan bahawa purata harga jualan sarung tangan pada bulan Ogos ditetapkan menjadi 30 peratus lebih tinggi bulan ke bulan berbanding sasaran sebelumnya sebanyak +10 peratus

MIDF Research berkata ia menjangkakan pengeluaran Top Glove akan meningkat sebanyak 36 peratus daripada 73.8 bilion keping pada suku ketiga 2020 kepada 100.4 bilion keping pada suku keempat 2021.

Justeru, ia meningkatkan saranan ‘beli’ saham Top Glove daripada ‘Neutral’ dengan harga sasaran yang disemak semula sebanyak RM26.12 sesaham daripada RM17.30 sebelumnya.

Sementara itu, AmBank Research percaya bahawa momentum kenaikan saham Top Glove akan terus meningkat pada harga sasaran seterusnya pada RM24.82 dan RM26.62 kerana saham telah melonjak mengatasi tahap rintangan pada RM20.16 dengan jumlah dagangan yang tinggi.

-BERNAMA

Kes Rafizi Bukti Umno-BN Tak Mahu Telus Dan Bertanggungjawab

SHAH ALAM 2 OGOS : Kerajaan Selangor kesal terhadap pendakwaan yang dikenakan ke atas Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berhubung pendedahannya mengenai butiran perbankan National Feedlot Corporation (NFC).

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, tindakan ke atas Rafizi membuktikan  komitmen kerajaan Umno-BN terhadap ketelusan dan kebertanggungjawaban yang diuar-uarkan Perdana Menteri ternyata hanya janji kosong.

“Kerajaan Negeri berpendapat rakyat Malaysia haruslah diberi peluang untuk mengambil bahagian dalam memastikan wang rakyat ditadbir dan diurus secara adil dan beramanah.

“Bagi menepati janji Kerajaan Selangor untuk membanteras kegiatan rasuah di setiap peringkat, kita menyediakan satu dana khas (whistle blower fund) untuk membantu membiayai kos guaman Rafizi,” katanya semasa sidang media di SUK di sini semalam.

Menurut Abdul Khalid, dana itu diperolehi menerusi peruntukan Geran Selangorku sejumlah RM5 juta untuk membanteras rasuah.

Beliau berkata, dana itu akan digunakan kepada pihak yang dianiayai dalam usaha membanteras rasuah di negeri ini.

“Kerajaan Negeri boleh menggunakan dana tersebut untuk mempertahankan individu yang teraniaya supaya usaha membanteras rasuah dapat dilakukan dengan lebih efektif,” katanya lagi.

Mahkamah Seksyen Shah Alam menetapkan bayaran ikat jamin sebanyak RM15,000 terhadap Rafizi dan bekas kerani Public Bank, Johari Mohamad serta menetapkan tarikh perbicaraan kes ini pada 10 Septermber depan.

Rafizi ditahan polis atas pertuduhan mengikut Akta Bank dan Institusi Kewangan (Bafia) 1989.